Pengurus Armenia Dakwa Wujud Masalah Antara Mkhitaryan dan Mourinho

Pengurus kebangsaan Armenia, Artur Petrosyan berkata memang wujud masalah di antara Henrikh Mkhitaryan dan Jose Mourinho di Manchester United, sambil menambah beliau gembira Mkhitaryan memilih untuk menyertai Arsenal.

Mkhitaryan baru sahaja menyertai Arsenal dalam perjanjian pertukaran pemain, dengan Alexis Sanchez berpindah ke Manchester United. Musim ini menyaksikan Mkhitaryan mendapat peluang yang agak singkat dalam kesebelasan utama dengan Mourinho memilih untuk menggunakan Jesse Lingard di posisi Mkhitaryan.

Hubungan yang bermasalah

Petrosyan percaya bintang pasukan kebangsaan Armenia ini mendapat layanan yang teruk dari Mourinho sepanjang berada di Old Trafford.

Beliau juga berkata perpindahan Mkhitaryan bakal mendatangkan kebaikan kepada pasukan kebangsaan dan pemain itu sendiri kerana Mkhitaryan kini berada di kelab yang berupaya menggunakan kualitinya dengan sebaik mungkin.

“Saya rasa Henrikh ada masalah dengan pengurus Manchester United. Tetapi di Arsenal, ia bakal menjadi situasi yang berbeza. Mkhitaryan tidak akan terlalu terbeban dengan tugasan pertahanan.”

Miki The Scorpion King

“Pengurus Arsenal, Arsene Wenger mahu pasukannya bermain bolasepak yang lebih cantik. Corak permainan Mkhitaryan memang sesuai dengan Arsenal.”

“Saya percaya Mkhitaryan mampu beraksi cemerlang di Liga Perdana Inggeris. Beliau merupakan antara pemain terbaik di Liga Perdana Inggeris ketika ini, tetapi di bawah jagaan Arsene Wenger, Mkhitaryan akan menjadi bertambah bagus.”

Petrosyan sempat memberikan pendapatnya mengenai tempoh mencabar Mkhitaryan di Old Trafford dimana beliau jarang diturunkan oleh Mourinho.

“Saya percaya peminat Manchester United menyukai Mkhitaryan. Itu bermakna beliau telah melakukan perkara yang bagus buat kelab tersebut.”

Pengurus Armenia yang gembira dengan keputusan Miki meninggalkan Mourinho

“Saya tidak gembira dengan tindakan Mourinho tidak menurunkan Mkhitaryan, tetapi itu keputusan beliau. Mourinho tahu apa yang diinginkannya. Saya gembira Mkhitaryan telah meninggalkan United.”

Pemain antarabangsa Armenia ini perlu menunggu lebih lama untuk melakukan debut kerana Arsenal sudah tersingkir dari saingan Piala FA musim ini. Ini bermakna Arsenal tidak akan terlibat dalam sebarang perlawanan hujung minggu ini.

Mkhitaryan berpeluang diturunkan dalam perlawanan Liga Perdana Inggeris pertengahan minggu hadapan menentang Swansea di gelanggang sendiri.

BACA:  10 Isu Yang Pengurus Baru United Perlu Segera Selesaikan