Siapa yang tidak kenal akan pengurus lagenda Manchester United, Louis Van Gaal – pengurus pertama yang berjaya memenangi piala selepas era Alex Ferguson, di mana dia telah menghadirkan Piala FA ke Old Trafford pada 2016.
Selepas dipecat United, Van Gaal tidak memegang mana-mana jawatan secara rasmi sebagai jurulatih atau pengurus pasukan, dan dia kini dikatakan dilamar sebuah kelab Jepun, Vissel Kobe.
Menurut agensi berita Jepun, Hochi, kelab Liga J tersebut telah meletakkan Van Gaal sebagai sasaran utama mereka selepas mengalami prestasi buruk di mana mereka sekadar menduduki tangga ke-11 daripada 18 pasukan, 10 mata di atas zon penyingkiran.
Pada bulan Mac 2017, kelab Kobe ini berjaya mendapatkan pemenang Piala Dunia, Lukas Podolski dan setakat ini Podolski telah berjaya menjaringkan 2 gol dalam empat perlawanan, namun belum cukup untuk menyelamatkan jurulatih Nelsinho daripada dipecat.
Meskipun dipecat, Nelsinho mengakui kegagalannya dan tidak menyalahkan mana-mana pihak seperti FA Jepun atau FJLLP.
“Malangnya, aku tak berjaya untuk mencapai apa yang kami sasarkan tapi aku dapat lihat pasukan ini berkembang pesat untuk dikenali dalam arena bola sepak,” kata Nelsinho dalam satu kenyataan rasmi kelab.
“Tetapi sebagai seorang yang professional, aku mengakui aku gagal untuk mencapai sasaran semua orang,” katanya lagi.
Jika Van Gaal menerima tawaran Vissel Kobe, dia akan menjadi pengurus pertama di Jepun yang pernah memenangi Liga Juara-juara. Lagi pula, Van Gaal dapat mengeksperimenkan falsafahnya di benua Asia, memandangkan dia tidak pernah menguruskan mana-mana pasukan di luar Eropah.
Mana tahu mungkin orang Jepun lebih cepat faham falsafahnya berbanding pemain Syaitan Merah, ye dak?
Walaupun memenangi Piala FA, Van Gaal dipecat kerana pihak pengurusan tidak berpuas hati dengan kualiti permainan yang diterapkan bekas pengurus Belanda ini.
Pada musim 2015-16, United sekadar menjaringkan 49 gol dan mereka dikecam, dicaci, dimaki dan dihina kerana permainan yang kurang menyerang dan menjadikan De Gea sebagai perancang utama pasukan.
Namun, dalam setiap hitam ada putihnya.
Van Gaal dipuji kerana menaikkan nama beberapa pemain muda seperti Jesse Lingard, Tyler Blackett dan yang paling utama – Marcus Rashford.
Sumber berita : Dream Team