Pengurus Portugal Akui Cristiano Ronaldo Menangis di Bilik Persalinan

Pemain terbaik dunia, Cristiano Ronaldo terpaksa melalui malam yang menyedihkan apabila pasukan yang diketuainya, Portugal, tewas tipis 1-0 kepada Belgium, sekaligus menutup peluang buat mereka untuk mempertahankan kejuaraan Euro yang dimenanginya pada tahun 2016.

Turut berduka dengan kekalahan tersebut, pengurus Portugal, Fernando Santos mengatakan bahawa keputusan perlawanan tersebut adalah tidak adil dan membuatkan para pemain mereka menangis kesedihan.

Thorgan Hazard muncul wira Belgium selepas menjaringkan gol cantik dari luar kotak penalti sekaligus menjadi pemisah antara kedua-dua pasukan dalam perlawanan di Seville tersebut, walaupun Portugal dilihat lebih banyak menguasai perlawanan.

Walaupun penyerang harapannya gagal menjaringkan gol, Santos tetap tidak menyalahkan kaptennya tersebut.

“Ronaldo dah jaringkan lima gol dalam kejohanan,” Santos berkata.

“Dia tak jaringkan gol hari ini tetapi dia adalah kapten sebenar dalam segenap segi.

“Dia cuba mengubah keputusan perlawanan. Tak ada isu pun dengan Ronaldo.”

Gol jaringan Hazard sebenarnya merupakan satu-satunya percubaan tepat buat Belgium dan Santos mengatakan bahawa keputusan perlawanan tidak menggambarkan apa yang terjadi di atas padang.

“Aku rasa tak adil tapi inilah bola sepak. Kau sumbat gol kau menang – diorang sumbat gol dan kitorang tidak,” tambah Santos lagi.

“Tapi selain daripada 10 minit pertama yang mana kami tidak bermain dengan baik, pemain aku bermain dengan mentaliti yang kuat dan cuba untuk menyerang.

“Kami nak dapatkan bola. Kami ada 29 percubaan dan tak mampu sumbat satu pun gol.

“Diorang pula ada enam cubaan dan satu cubaan tepat dan diorang menang.

“Cubaan kami terkena palang dan terus memberikan ancaman tapi bola taknak masuk.

“Kami tak mengalah dan tetap rasa yang kami boleh ubah keadaan tapi inilah bola sepak. Kadang-kadang kita dapat peluang sikit je tapi menang.

“Kami sangat kecewa. Kami rasa kami boleh layak ke perlawanan akhir dan menang – itulah sifat kami.

“Sebahagian daripada pemain ada menangis di bilik persalinan tapi kami masih boleh menang banyak lagi piala dan sekarang ni kami nak tumpu ke Piala Dunia.”

Tatkala Santos mengatakan keputusan tersebut tidak adil, pengurus Belgium pula mendakwa kemenangan yang sukar tersebut menunjukkan sifat cekal dan melawan pasukannya.

“Kami mengawal permainan dan bertahan elok jika perlu,”ujar bekas pengurus Everton tersebut.

“Sebenarnya perlawanan ni bukan tentang berapa bagus kami boleh main, tapi lebih kepada macam mana kami nak menyesuaikan diri kepada sisi terbaik Portugal, dan mereka memang buat apa yang mereka bagus untuk menang.

“Sebab itulah mereka merupakan juara bertahan dan pemenang Nations League.

“Mereka ada pengalaman yang mantap dan tahu macam mana nak ambil kesempatan untuk melukai kita.

“Kami tunjukkan konsentrasi yang mantap dan bertahan dengan baik. Kami juga jaringkan gol yang sangat baik.

“Pada separuh masa kedua momentum dilihat banyak beralih kepada Portugal dan kami terpaksa menunjukkan mentaliti yang mapan. Semuanya adalah tentang disiplin dan taktik yang cerdik.

“Kami tak pernah hilang fokus dan ada masanya situasi jadi sukar. Cara Portugal menekan untuk menang sampai habis perlawanan…aku rasa puas hati sangat.

“Inilah apa yang pasukan yang menang perlukan. Kami tahu kami ada pemain berbakat tapi ada juga benda lain yang kami kena tunjuk hari ni. Bagi kami, ini adalah ujian yang paling berat setakat ini.”

Dengan kemenangan ini, Belgium bakal beraksi di peringkat suku akhir menentang pasukan yang dilihat sangat konsisten ketika ini, Itali.

Pada masa yang sama, Belgium masih lagi menunggu keputusan laporan kecederaan dua pemain perancang mereka, kapten Eden Hazard dan juga Kevin De Bruyne.

De Bruyne tidak dapat bermain di sebahagian besar separuh masa kedua kerana tercedera selepas dikasari Joao Palhinha, manakala Hazard pula mengalami kecederaan otot di lewat perlawanan.

“Kami kena tunggu 48 jam untuk mendapat pengesahan tentang kecederaan tu,” ujar Martinez lagi.

“Kami akan balik ke Belgium dan buat imbasan esok.”

Andai kedua-dua tonggak tersebut tidak sempat untuk sembuh, maka Martinez berhadapan tugas yang berat untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

Sumber : Mirror, Yahoo

BACA:  Inter Milan Beli Nainggolan Dari AS Roma Dengan Harga €38 Juta