Penjaga Gol Benfica Pecahkan Rekod 15 Tahun Iker Casillas Dalam Perlawanan Menentang Manchester United

Iker Casillas adalah satu nama yang cukup besar dalam arena bola sepak dunia di mana dia telah menjadi penjaga gol utama gergasi La Liga, Real Madrid selama 16 tahun. Di samping itu, dia juga telah menggondol kesemua piala utama yang disertainya – La Liga, Copa Del Rey, Liga Juara-juara, Kejohanan Eropah dan Piala Dunia.

Casillas juga turut memegang rekod sebagai penjaga gol paling muda melakukan debut di Liga Juara-juara iaitu pada tahun 1999 ketika dia berusia 18 tahun 117 hari – dalam perlawanan Real Madrid menentang Olympiakos.

Walaubagaimanapun, semalam rekod Casillas ini telah dipecahkan oleh penjaga gol muda kelab Benfica, Mile Svilar.

Dalam perlawanan menentang Manchester United semalam, Svilar baru berusia 18 tahun 52 hari diturunkan dalam kesebelasan utama Benfica menentang Manchester United.

Svilar beraksi cemerlang dalam perlawanan tersebut sebelum melakukan kesilapan dengan membenarkan bola tendangan Marcus Rashford melepasi garisan golnya pada separuh masa kedua.

Svilar diturunkan selepas penjaga gol veteran dari Brazil, Julio Cesar mengalami kecederaan.

Pemain muda ini dilahirkan di Antwerp, sebuah bandar di Belgium dan dia kini mewakili pasukan kebangsaan bawah-19 negara tersebut. Dia menyertai Benfica pada musim panas lalu selepas dibeli dari Anderlecht.

Untuk rekod, penjaga gol ketiga termua melakukan debut dalam liga Juara-juara adalah Nikolay Mihaylov pada tahun 2006 di mana dia bermain untuk Levski Sofia menentang Werder Bremen ketika berusia 18 tahun 124 hari.

Berikut adalah rekod 10 penjaga gol termuda melakukan debut dalam Liga Juara-juara.

10 penjaga gol termuda di UCL | Gambar : Goal.com

Engkau masa berumur 18 buat apa? Layan MiRC?

Baca Juga

Baca Juga