Penjaga Gol Liga Maghribi Jaringkan Gol Sendiri Persis Game FIFA

Malang tidak berbau – peribahasa ini cukup sesuai dan sering berlaku dalam bola sepak. Episod malang dalam sukan nombor satu dunia ini termasuklah berlakunya kecederaan, gol tak dikira kerana ofsaid, ataupun bola terkena tangan lawan sebelum diorang jaringkan gol.

Akan tetapi, malang yang terjadi apabila terjaringkan gol sendiri adalah satu perkara yang memang sukar untuk diterima apatah lagi gol sendiri tersebut mirip sekali apa yang berlaku dalam permainan konsol FIFA dan inilah yang berlaku kepada seorang penjaga gol dalam aksi liga Maghribi.

Mehdi Ouaya, penjaga gol Rapide Oued Zen telah melakukan aksi yang sangat ajaib tersebut dalam pertemuan menentang pasukan yang sama-sama bertarung di zon penyingkiran bersama pasukannya, Hassania Agadir.

Ketika pasukannya ketinggalan satu gol tanpa balas, Agadir selaku pasukan pelawat telah melakukan satu pressure sehingga membuatkan pertahanan lawan melakukan hantaran yang sangat merisaukan kepada penjaga gol, Ouaya.

Bola paras lutut tersebut dihantar dengan agak laju ke arah kaki kanan Ouaya dan penjaga gol tersebut tidak mampu mampu untuk melakukan first timer kerana dia adalah pemain kidal.

Ouaya cuba menahan bola tersebut, namun bola melantun pergi ke belakangnya dan dengan seorang pemain Agadir semakin dekat dengannya, penjaga gol tersebut cuba melakukan sepakan ala-ala lipat di depan pintu golnya.

Mungkin kerana panik, Ouaya yang menghadap golnya yang terbuka melakukan sepakan secara terburu-buru tanpa sempat mengagak kedudukan bola lalu bola yang ditendang tersebut meluru laju ke dalam golnya sendiri!

Pasukannya, Rapide Oued Zen, sekali lagi bolos dalam perlawanan tersebut namun aksinya yang meniru penjaga gol dalam permainan FIFA telah mendapat perhatian dari seluruh dunia termasuk Malaysia.

Gol sendiri Ouaya ini boleh diangkat antara gol sendiri terbaik dalam sejarah peradaban bola sepak dunia.

Pada tahun lalu,  penjaga gol pasukan Dumbarton, Sam Ramsbottom, yang bermain di Liga Scotland telah melalui perlawanan debut yang teruk menentang Forfor apabila terhasilnya gol sendiri daripada rakan sepasukannya, berpunca daripada dia sendiri.

Mimpi ngeri yang akan sukar dilupakan oleh pemain berusia 24 tahun itu berlaku pada minit ke-57 perlawanan,

Pada mulanya Ramsbottom telah mengutip bola dengan mudah hari daripada kegagalan serangan pasukan lawan. Ketika rakan sepasukannya berlari-lari anak naik ke atas, dia bertindak meletakkan bola ke bawah dengan tujuan ingin menendang bola tersebut sejauh mungkin.

Pada masa yang sama, dia ditekan oleh pemain lawan lalu membuatkannya mengambil keputusan untuk terus menyepak bola dengan harapan bola akan melambung jauh ke dalam kawasan lawan.

Akan tetapi satu detik magis dan kelakar telah berlaku.

Bola tendangannya singgah di bahagian belakang kepala rakan sepasukan, Ryan McGeever. Bola kemudiannya melantun dan bergolek perlahan ke dalam golnya tanpa dapat dihalang oleh Ramsbottom meskipun dia berlari selaju mungkin untuk menguis bola keluar.

Pada tahun 2020, penjaga gol Bayer Leverkusen, Lukas Hradecky telah membuat satu aksi kelakar yang penuh menghiburkan apabila menjaringkan gol sendiri dengan satu skil dan sepakan penuh berseni ketika pasukannya menentang Arminia Bielefeld dalam aksi Bundesliga.

Hradecky mengejutkan ramai dengan insiden yang dianggap ‘gila’ selepas menjaringkan gol sendiri yang dilabel sebagai ‘gol sendiri terhebat abad ini.’ Berpunca dari satu hantaran ke belakang, Hradecky sepatutnya dengan mudah melakukan clearance.

Pada mulanya dia telah melakukan satu tendangan ke kawasan tengah padang, namun bola datang kembali dan disambut oleh pemain bek kiri pasukannya.

Bek kiri tersebut cuba membawa bola ke atas, namun tidak dapat menemui jalan yang mudah, lalu bertindak berpusing-pusing seketika sebelum menghantar bola kepada Hradecky. Bola tu kalau ikutkan amatlah mudah untuk ditendang semula, namun sememangnya malang tidak berbau.

Sebaik bola tiba di hadapannya, Hradecky bertindak menghayun kaki kanannya sekuat hati ke arah bola namun tanpa dia sedar, bola sedikit melantun dan hayunannya sekadar singgah sipi-sipi di permukaan bola, lalu dia melihat bola bergolek masuk ke dalam golnya sendiri dengan hati yang pilu dan sediikit terluka.

Nasibnya baik apabila pasukannya tampil sebagai pemenang dalam perlawanan tersebut.

Baca Juga

Baca Juga