Penjaga Gol PDRM Disahkan Menghidap Leukimia

Berita sedih melanda kem PDRM apabila penjaga gol mereka, Muhammad Hamdan Sairi  disahkan menghidap leukemia. Hamdan kini dalam proses mendapatkan rawatan penuh di hospital.

Pada pertengahan bulan lalu, Hamdan dimasukkan ke hospital apabila beliau dilanda demam panas yang melampu dan pada mulanya, dirinya disangka menghidap demam denggi.

Namun selepas pemeriksaan susulan dilakukan, pemain ini didapat menghidap leukemia dan kini Hamdan masih lagi berada di hospital selepas rawatan kemoterapi yang pertama.

Kali terakhir pemain berusia 29 tahun ini melalukan penampilan untuk pasukannya adalah pada 24 Mei, ketika bertemu PKNP FC.

Isteri Hamdan, Nordiani Abdul Rahim, berkata kepada Stadium Astro, beliau mengharapkan sokongan daripada kesemua pihak untuk memberikan semangat kepada Hamdan melawan leukemia yang memerlukan sekurang-kurangnya tiga tahun untuk pulih sepenuhnya.

“Memang terkesan sangat kerana sehingga hari ini kami tidak balik untuk beraya. Malah, anak-anak pun bertanya, ‘ayah mana?’.

“Kalau sebut pasal anak, memang dia (Hamdan) akan menangis, jadi saya tak nak dia terlalu berfikir.

“Dia berkata selepas keluar daripada hospital, dia mahu meraikan hari raya bagaikan hari raya pertama bersama anak-anak,” jelas Nordiani.

Tambahnya, Hamdan turut bermimpi merayu kepada jurulatihnya agar terus membenarkan dia bersama-sama pasukan.

“Ada satu malam dia bermimpi merayu kepada jurulatih agar mengekalkannya bersama pasukan meskipun sekadar memanaskan bangku simpanan.

“Dia benar-benar sayangkan kariernya,” ujarnya lagi.

Kami di pihak The Sukan mendoakan agar Hamdan segera pulih daripada kondisi ini dan kembali sihat seperti sediakala.

Sumber berita : Stadium Astro

Baca Juga

Baca Juga