Penjual Minuman Di Syaki Menyeludup Masuk Flare dan Mercun Ke Dalam Stadium

Bahan mercun dan suar yang digunakan penyokong tempatan disyaki dibawa masuk menerusi penjual minuman dalam stadium sebelum aksi kelayakan bola sepak Piala Dunia 2018 menentang Emiriyah Arab Bersatu (UAE)bermula di Stadium Shah Alam semalam, kata Ketua Polis Daerah Shah Alam ACP Shafien Mamat.

Beliau berkata polis sudah melakukan pemeriksaan rapi kepada penyokong sebelum dibenarkan memasuki stadium itu.

“Saya sendiri berada di pintu tiket A dan B stadium itu untuk melakukan pemeriksaan. Kami minta buka kasut dan sebagainya.

“Cuma penjual air minuman ini tidak memasuki pintu masuk, sebaliknya menggunakan pintu lain sebelum perlawanan bermula. Jadi kami percaya mungkin barang-barang mercun ini dibawa masuk melalui penjual air minuman di stadium ini.

“Oleh itu, kami akan panggil penjual air yang berada di stadium ketika perlawanan semalam untuk diambil keterangan bagi membantu siasatan ini, ” jelasnya dalam satu media hari ini di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) di sini.

11 lelaki berusia dari 19 sehingga 36 tahun ditahan reman dan disiasat di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan kerana melakukan rusuhan di stadium.

Lima daripada suspek merupakan pelajar universiti awam dan swasta manakala dua orang lagi mempunyai rekod jenayah lampau.

Polis akan mengadakan pertemuan dan bermesyuarat dengan agensi yang terbabit iaitu bersama Persatuan Bola Sepak (FAM), Majlis Bandaraya Shah Alam  (MBSA) dan Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS) mengenai insiden ini.

Shafien berkata polis juga meminta agensi yang berkaitan untuk mengkaji semula kebenaran membawa alatan bunyi seperi vuvuzela ke stadium.

“Kita minta pihak yang berkaitan mengkaji semula keperluan membawa masuk alat-alat bunyian. Kerana apa, daripada apa yang kita perhatikan semalam, bunyi-bunyi alatan itu mempunyai kodnya tersendiri,” jelasnya lagi.

Sumber : Astro Awani

Baca Juga

Baca Juga