Pentadbir Liga Perdana Inggeris Dikecam Kerana Berdiam Diri Tentang Isu Pemain Mengibar Bendera Palestin

Minggu lalu, empat pemain, masing-masing dua daripada kelab Leicester City dan Manchester United mencuri tumpuan selepas mengibar bendera Palestin mengelilingi padang untuk menunjukkan sokongan mereka kepada mangsa kekejaman rejim Zionis di Tebing Barat.

Pengendali liga, dilihat mengambil pendekatan tidak kisah dan membenarkan tindakan Hamza Choudry, Wesley Fofana, Paul Pogba dan Amad Diallo tersebut dan bagi mereka, tidak salah bagi mana-mana pemain atau pihak untuk mengibarkan bendera mana-mana negara.

Akan tetapi, tindakan tersebut mengundang kecaman ke atas mereka kerana mereka dilihat menggalakkan sentimen anti-Semitisme di negara baginda ratu tersebut.

Secara asasnya, undang-undang umum menyatakan bahawa tiada halangan bagi pemain untuk mengibarkan bendera negara seperti mana yang dilakukan Pogba dan Fofana tersebut.

Akan tetapi, selepas tersebar satu video di mana petugas stadium di Tottenham mengarahkan supaya para penyokong menurunkan bendera Israel, mengundang rasa tidak puas hati bagi sesetengah pihak terutamanya bagi mereka yang menyokong negeri pimpinan Benjamin Netanyahu tersebut.

Para pemimpin suku Yahudi di sana menyatakan bahawa mengibarkan bendera negara bukanlah satu tindakan bermotifkan politik, tetapi dengan pergolakan di rantau tersebut ketika ini, kibaran bendera Palestin tersebut seolah-olah menunjukkan sokongan kepada pihak politik tertentu.

Sebelum ini FA England pernah berdepan kecaman kerana mewajibkan pemakaian bunga poppie di jersi, makanala pengurus Manchester City pula pernah diberi amaran kerana memakai lencana yang menunjukkan sokongan kepada kemerdekaan Catalonia.

Tetapi dalam kes bendera Palestin ini, tiba-tiba semua orang diam sahaja. Itu yang buat suku yahudi dan penyokong Israel berada sakit hati. Malah ketika perlawanan di Wembley dan White Hart Lane tempoh hari, didapati terdapat sebahagian penyokong mencemuh dan mengeboo para pemain ketika mereka melutut sempena kempen Black Lives Matter.

“Hujung minggu lepas telah dipaparkan sentimen anti-semitisme di jalan-jalan di London. Serangan tanpa provokasi ke atas Yahudi semakin banyak,” tulis seorang penyokong dari suku Yahudi kepada ketua eksekutif FA, Mark Bullingham.

“Seperti yang dinyatakan di atas, FA telah mengambil langkah yang proaktif dalam menyokong kempen Black Lives Matter. Engkorang ada satu tugas moral untuk melakukan perkara yang sama terhadap komuniti Yahudi.

“Engkorang perlu mengatakan dengan jelas kepada para pemain bahawa mengibarkan bendera Palestin menyemarakkan lagi sentimen anti-Semitisme,” tulis jejaka Yahudi tersebut lagi.

Tidak seperti FA di sebuah negara Asia Tenggara yang mempunyai gambar harimau di logonya yang tidak menjawab sebarang email daripada penyokong, FA England dengan cepat dan tangkas memberi jawapan,

“Kami dengan ini mengesahkan bahawa perkara ini tidak melanggar mana-mana peraturan FA untuk mengibarkan bendera negara yang diiktiraf antarabangsa, sama ada di atas padang atau di kalangan penyokong di stadium, kerana ia bukanlah satu tindakan yang membawa maksud diskriminasi, berniat politik atau membawa mesej atau simbol agama.”

Sementara itu, pihak Kick It Out – badan anti perkauman, enggan memberi sebarang komen kerana isu ini adalah isu yang kompleks, atau sukar untuk dijelaskan.

Guardiola memakai lencana kemerdekaan Catalonia. Gambar : Goal

Bagi pihak Liga Perdana pula, mereka menyerahkan kepada kelab untuk berbincang sendiri dengan para pemain. Tetapi ada kemungkinan besar bahawa meraka akan berdepan tindakan balas daripada sesetengah penyokong dalam kempen anti perkauman mereka yang lain, dek tindakan berdiam diri mereka ini.

Dalam banyak-banyak kelab, ada satu kelab sahaja yang telah membuat kenyataan berkenaan isu ini – Tottenham Hotspur.

“Sebuah perlawanan bola sepak bukanlah satu arena yang sesuai untuk mempamerkan bendera berkaitan politk atau agama atau apa sahaja yang boleh dikatakan sebagai menghasut – ini termasuklah mengibarkan bendera negara ketika berlakunya konflik politik,kempen atau isu.”

Lain macam bukan kenyataan dari Tottenham Hotspur ini bukan?

Baca Juga

Baca Juga