Penuh Rendah Diri Koulibaly Minta Izin John Terry Untuk Memakai Jersi Nombor 26

Dia mungkin belum banyak beraksi namun pemain baru, Kalidou Koulibaly sudah mendapat penghormatan daripada para penyokong Chelsea selepas dia membuat panggilan telefon demi meminta izin legenda kelab tersebut untuk menggunakan nombor 26.

Pertahanan berusia 31 tahun itu yang baru menyertai Blues dari pasukan Serie A, Napoli, pada musim panas ini dengan tanda harga sekitar £33 juta, akan menggunakan nombor yang pernah digunakan oleh bekas kapten Chelsea tersebut.

Akan tetapi, sebelum nombor jersinya disahkan oleh kelab, Koulibaly mahu pastikan bahawa legenda nombor tersebut berlapang dada dan memberikan restu kepadanya.

Terry merupakan kapten yang paling berjaya dalam sejarah Chelsea di mana dia telah memenangi sebanyak 15 kejuaraan dan melakukan 717 penampilan buat kelab London itu.

Ketika dalam perjalan di dalam kereta pada 15 Julai 2022, pemain pasukan kebangsaan Senegal itu berkata sedemikian dalam panggilan kepada Terry.

“John, aku nak tanya benda ni sebab macam yang kau tahu, aku main di Napoli pakai nombor 26 dan aku nampak sejak kau keluar, tak ada orang berani ambil nombor 26.

“Aku tak pasti yang kau dah pencenkan ke nombor ni atau orang lain tak nak pakai, tapi aku nak tanya takpe ke aku ambik ni?”

Persoalan Kouibaly ini dijawab dengan ramah dan sopan oleh Terry.

“Mat, nombor 26 ni sangat istimewa bagi aku,” katanya.

“Ya mat, aku hargai sangat kau tepon aku ni dan tak ada masalah bagi aku kalau kau nak ambil. Sangat okay.

“Aku harapkan kau berjaya sebab aku tahu betapa pentingnya nombor tu kepada aku dan aku pun dah tengok sebelum ni pun kau pakai nombor 26, jadi memang tak ada masalah, aku bagi kau nombor 26.”

Selepas berterima kasih, Koulibaly berkata jersi tu akan jadi berat bila dipakai tetapi Terry menenangkannya dengan berkata;

“Tak ada takanan mat, kau akan menangkan piala untuk kami, okay?”

Benar-benar gentleman kedua-dua insan ini.

Pada tahun 2019, Terry pernah berkongsi sebab kenapa dia memakai jersi nombor 26 sepanjang kariernya – tidak mahu membebankan para penyokong membeli jersi yang lain jika dia menukar nombor.

“Bila mana aku berjaya masuk ke pasukan utama di Chelsea nombor tu lah aku pakai dan aku ada nampak penyokong pakai jersi dengan nama dan nombor aku di baju diorang,” tulis Terry di Instagram.

“Aku taknak diorang keluar duit untuk beli jersi baru.”

Pemain tengah Chelsea, Jorginho, turut berkongsi pendapat tentang keberanian Koulibaly mengambil nombor jersi tersebut.

“Aku rasa Kalidou akan sedar betapa pentingnya nombor jersi tu bila lama-lama dia dah pakai,” katanya si Jorginho.

“Lepas tu dia juga akan dapat penghormatan sebab nombor tu, di samping memberikan nilai dan penghormatan.

Pemain tengah Itali itu juga turut berkata bahawa dia pernah berhubung dengan Koulibaly berkenaan perpindahannya ke Chelsea.

“Kami selalu borak kosong: ‘Jom lah main sama lagi, jom main sama lagi.’

“Benda ni tak pernah berlaku dengan betul dan bila kami tengok (perpindahan Koulibaly) kami pun jadi macam, okay dah bukan sembang kosong dah. Kami mula serius pasal tu.

“Aku paksa dia! Aku macam, meh la ke Chelsea. Dan dia pun macam ya, aku pun nak macam tu.

“Aku pun kabo la ke dia ‘datang je’ sebab dah lama sangat dah kami tak bermain bersama dan berkongsi bilik persalinan atau kembali bersatu.”

Chelsea bakal memulakan cabaran musim baru Liga Perdana Inggeris dengan bertandang ke Goodison Park untuk bertemu Everton yang dilatih oleh seorang lagi legenda kelab, Frank Lampard.

Seminggu kemudian mereka akan menerima kunjungan Tottenham Hotspur di Stamford Bridge. Ujian besar buat Chelsea akan bermula pada 18 September di mana mereka bakal menerima kehadiran pasukan paling power di dalam dunia, Liverpool.

Sumber : SB

BACA:  Conte: Anda Perlukan Tuah Untuk Menangi Liga Juara-Juara Eropah