Penyerang Muda Kedah Berpeluang Bermain di Liga Itali

Nama Zafuan Azeman mungkin tidak dikenali setakat ini, namun penyerang muda Kedah pada musim 2018 ini kini berada dalam peluang terbaik untuk melebarkan karier ke eropah bersama kelab Serie B, Venezia FC, menurut portal goal.com.

Bekas pelajar Sekolah Sukan Bukit Jalil yang berusia 19 tahun itu sedang menjalani trial bersama kelab utara Itali tersebut selama tiga minggu dan sekiranya jurulatih kelab tersebut berpuas hati, Zafuan bakal ditawarkan kontrak bersama pasukan Primavera, atau dalam bahasa mudahnya pasukan muda bawah-19 tahun.

Venezia tidaklah terkenal di kalangan rakyat Malaysia seperti Juventus, AC Milan atau AS Roma, namun jika dibuka kitab sejarah, kelab ini telah melahirkan beberapa pemain terkenal seperti Alvaro Recoba, Salvatore Sirigu dan juga penjaga gol lagenda Manchester United, Massimo Taibi dan musim ini kelab ini dikendalikan bekas penjaga gol Itali, Walter Zenga.

Zafuan bersama Walter Zenga | Gambar : goal.com

Dalam temuramah bersama goal.com, Zafuan menyatakan bahawa dia sentiasa mengintai peluang untuk mengembangkan kariernya di luar Malaysia, memandangkan usianya masih muda.

“Pada mulanya bila Faidauz (ejen Zafuan dari Exeliq Sports Management) yang mana dia tahu impian saya untuk bermain di luar Malaysia – tak kiralah Asean ka, Asia ka, atau Eropah. Bila dia tanya saya adakah saya minat untuk pergi ke Eropah saya pun gembira lah.

“Faidauz ni sangat membantu dan memandangkan dia ada hubungan baik dengan Matt Hollan, akhirnya kami jumpa jalan nak tembuih ke sana,” ujarnya panjang lebar.

Pada musim 2018 bersama Kedah, penyerang yang berketinggian 180 cm ini tidak berjaya menembusi kesebelasan utama pasukan Lang Merah, tapi itu tidak mematahkan semangatnya untuk terus berjuang. Lagipun dalam Liga Malaysia ni, mana ada pasukan yang berani bagi peluang kepada pemain muda untuk beraksi – kecuali Kelantan, itu pun sebab terpaksa.

Tambahan pula, Kedah telah mengikat jurulatih seramai tiga orang pada musim ini. Kau rasa?

Ketika ditanya siapa yang banyak mempengaruhinya untuk bermain di luar negara, Zafuan dengan pantas menyatakan dua pemain import Kedah – Liridon Krasniqi dan Sandro Da Silva.

Zafuan beraksi bersama Kedah | Gambar : goal.com

“Bila saya tamat SSBJ, saya buat latihan pra-musim dengan Kedah. Saya agak rapat jugak la dengan Liri dan Sandro pada masa tu.

“Depa datang kat saya dan habaq jangan duk ikut perangai dan mentaliti pemain tempatan. Depa pesan kalau saya nak sampai tahap depa, saya kena keluar negara dan bermain.

“Jangan bermain di negara ni. Jadi sejak hari tu saya selalu fikir la pasal ni.

“Semua pemain mahu duit yang banyak dan hidup yang senang. Tapi kalau saya dapat tidur yang cukup. tempat untuk tinggal dan duit poket sikit – itu dah cukup baguih untuk saya sebagai permulaan.

Zafuan bersama pengerusi Venezia, Joe Tacopina | Gambar : goal.com

“Bila saya dah cukup hebat, saya pasti duit tu akan datang sendiri.

“Di sini (Itali), saya akan bagi 100% dan tak nak fikir sama ada depa akan bagi kontrak atau tidak. Plan B atau plan C tu pasti ada tapi sekarang saya tak mau fikir lagi,” tambah Zafuan.

Semoga Zafuan berjaya memikat hati kelab Venezia dan menjadi pemain pertama dari Malaysia bermain di Liga Itali.

Cerita diklepet dari goal.com dan klik la pautan tu untuk bacaan lanjut. 

Baca Juga

Baca Juga