Penyokong Chelsea Suruh Timo Werner Berambus Dari Kelab Ketika Sesi Latihan Terbuka

Salah seorang penyokong Chelsea telah menghalau Timo Werner untuk keluar dari kelab secara terang-terangan ketika sesi latihan terbuka para pemain skuad the blues kemarin.

Penyokong tersebut meluahkan hal itu ketika beliau bercakap dengan menggunakan microphone dan tentunya ia didengari oleh pemain kebangsaan Jerman itu.

Juara saingan Champions League musim lalu itu telah membenarkan penyokong masuk ke Stamford Bridge untuk melihat sesi latihan skuad kendalian Thomas Tuchel.

Walau bagaimanapun salah seorang peminat telah mencetuskan kontroversi apabila beliau dengan terbuka menghentam Timo Werner ketika beliau ditanya tentang ramalan keputusan perlawanan.

Dalam satu video yang sedang tular di media sosial pada ketika ini, penyokong tersebut telah menyatakan bahawa:

“Mari betulkan sesuatu, usir Timo Werner dari kelab.”

Sebaik beliau mengeluarkan kata-kata tersebut, para penyokong lain yang turut hadir jelas tidak gembira dan memarahi beliau kerana mengatakan hal tersebut.

Salah seorang penyokong wanita dengan segera bangun dan memarahi beliau kerana mengeluarkan kata-kata negatif dan langsung tidak membantu itu.

Werner pula pada ketika itu berada di atas padang dan beliau tentunya mendengar dengan jelas komen negatif dari peminat tersebut.

Pada musim pertamanya bersama Chelsea, Werner yang ditandatangani dengan yuran perpindahan bernilai £47.5 juta dari RB Leipzig itu hanya mampu menjaringkan 12 gol sahaja dalam semua pertandingan.

12 gol itu termasuklah enam gol dalam saingan Premier League dan beliau juga merupakan nadi penting yang membantu Chelsea menjuarai saingan Champions League musim lalu.

Timo Werner sememangnya terkenal dengan kedunguan beliau yang sering kali melepaskan peluang keemasan ketika beraksi bersama Chelsea.

Walau bagaimanapun, pemain berusia 25 tahun itu tetap berjaya menerima kata-kata semangat dari para penyokong Chelsea, selepas insiden beliau di halau itu.

Kebanyakan penyokong Chelsea meminta agar peminat yang menghalau Werner itu diharamkan terus dari menghadiri mana-mana perlawanan Chelsea.

“Sungguh memalukan, Timo sudah bantu kita menang Champions League, Super Cup, dan musim lepas kita berada di kedudukan empat teratas.”

“Penyokong macam ini tak patut ada dalam stadium. Dia terlalu negatif dan tindakan dia boleh melemahkan moral Werner. Dia yang tak patut ada dalam kelab, bukan Werner.”

“Haramkan dia dari masuk stadium ketika ada perlawanan melibatkan Chelsea lepas ini. Dia tak layak.”

“Saya rasa dia fikir dia mahu buat lawak dan mahu semua orang bercerita tentang dia. Tapi tindakan dia salah. Dia bercakap tanpa berfikir.”

Begitulah komen-komen dari para penyokong Chelsea yang bengang dengan peminat yang menghalau Timo Werner secara terang-terangan itu.

Walau bagaimanapun, para penyokong yang menghadiri sesi latihan terbuka itu berasa sangat gembira kerana mereka berkesempatan untuk menyaksikan Lukaku berlatih dan melihatnya dengan lebih dekat lagi.

Lukaku sendiri juga turut teruja untuk kembali beraksi bersama Chelsea dengan beliau sememangnya sudah memasang impian untuk beraksi di Stamford Bridge sejak usia remaja lagi.

Beliau tentunya akan memastikan nilai memecah rekod bernilai £97.5 juta yang dibayar oleh Chelsea untuk mendapatkan khidmatnya berbaloi.

Pemain berusia 28 tahun itu akan menyarung jersi bernombor 9 dan beliau berkemungkinan akan melakukan debut keduanya bersama Chelsea pada hujung minggu ini bertemu Arsenal.

Para peminat tentunya sudah tidak sabar menanti untuk melihat Lukaku kembali beraksi, apa lagi beliau pada ketika ini sedang berada di tahap persembahan terbaiknya.

Tentunya ramai mengharap beliau akan mampu kekalkan tahap persembahan yang sama dan membantu Chelsea memenangi pelbagai kejuaraan di bawah kendalian Thomas Tuchel.

Sumber: SB

BACA:  Hazard Tidak Mahu Lukaku Bawa Prestasi Baik Bersama Belgium Ke Manchester United