Penyokong City Berang Dengan Polisi Kelab Tentang Harga Tiket

Masalah Tiket di Manchester City: Penyoking Kian Terpinggir?

Musim ini bukanlah yang terbaik untuk Manchester City tetapi bagi kebanyakan penyokong, cabaran di atas padang bukanlah punca utama kekecewaan mereka. Sebaliknya, isu berkaitan tiket perlawanan semakin meresahkan penyokong setia kelab.

Sejak beberapa bulan kebelakangan ini pelbagai insiden di Stadium Etihad dan tempat lawan telah menimbulkan rasa tidak puas hati dalam kalangan peminat. Ramai percaya bahawa masalah ini berpunca daripada dasar penjualan tiket yang dilaksanakan oleh kelab.

Beberapa kejadian yang berlaku cukup aneh. Sebagai contoh, seorang penyokong dilihat menggunting rambut di tempat duduknya sebelum perlawanan Liga Juara-Juara menentang Real Madrid. Seorang kanak-kanak pula membawa papan tanda meminta jersi pemain pasukan lawan, Vinicius Junior selepas tamat perlawanan.

Terdapat juga insiden luar biasa, seperti sekumpulan penyokong Barcelona yang duduk di kawasan penyokong lawan di Anfield — sesuatu yang amat sukar dibayangkan memandangkan tiket perlawanan itu sangat terhad. Bulan berikutnya, penyokong Mallorca pula muncul di bahagian penyokong lawan di Portman Road.

Terdapat juga kejadian yang lebih serius. Baru-baru ini, tular di media sosial rakaman seorang penyokong Liverpool dipukul sebelum diheret keluar oleh petugas keselamatan di kawasan penyokong City.

Gabungan Pelbagai Masalah

Alex Howell, wakil penyokong bawah 25 tahun peminat City Matters menjelaskan bahawa ketidakpuasan hati ini merupakan hasil terkumpul daripada pelbagai isu.

“Ia bukan sekadar penyokong lawan duduk di kawasan penyokong City di Etihad atau di tempat lawan seperti Ipswich dan Anfield. Ia juga berkait dengan kenaikan harga tiket, layanan terhadap penyokong di Istanbul semasa final Liga Juara-Juara dan banyak lagi. Semua ini berkumpul menjadi satu masalah besar,” katanya

Pada awal Februari lalu, penyokong City telah menghantar surat kepada pengerusi kelab, Khaldoon Al Mubarak untuk meminta harga tiket musim dikekalkan. Tahun lalu, kenaikan harga tiket mencetuskan protes di stadium dengan kain rentang bertulis: “Untung catat rekod tetapi harga tiket makin tinggi. Hentikan mempergunakan kesetiaan kami.”

Menurut pengiraan peminat, dalam tempoh 5 tahun harga tiket bermusim meningkat secara purata sebanyak 15%. Di beberapa bahagian stadium kenaikannya boleh mencecah sehingga 25%.

Keluhan peminat semakin bertambah sejak final Liga Juara-Juara di Istanbul, di mana penyokong City mengalami kesulitan besar akibat masalah pengurusan UEFA. Mereka merasakan bahawa kelab gagal mempertahankan hak penyokong.

“Kami rasa kelab lebih mementingkan keuntungan dan mahu menyingkirkan penyokong setia yang sudah lama mengikuti pasukan,” kata Mike dari kumpulan penyokong 1894 Group.

Isu Jualan Semula Tiket dengan Harga Tinggi

Beberapa penyokong berkongsi pengalaman mereka mengenai sistem jualan tiket kelab. Mereka mendapati tiketnya atau tiket ahli keluarga dijual semula di platform dengan harga yang jauh lebih tinggi kepada penyokong lawan.

Melalui sistem pertukaran tiket rasmi City, pemegang tiket bermusim boleh menjual tempat duduk mereka pada kadar tetap berdasarkan harga asal. Namun, terdapat bukti menunjukkan bahawa tiket itu dijual semula di luar sistem rasmi pada harga yang lebih mahal.

Sebagai contoh, seorang penyokong mendapati tiket yang disenaraikan oleh ahli keluarganya untuk perlawanan menentang Wolves musim lalu telah dijual semula oleh pihak tidak rasmi pada harga £250. Begitu juga dalam perlawanan menentang West Ham pada Januari lalu, 2 penyokong dari Ireland membayar £250 untuk 2 tiket.

Ketika perlawanan menentang Liverpool, terdapat penyokong dari Uruguay yang membeli tiket melalui platform rasmi tetapi sebenarnya hadir untuk menyokong pemain pasukan lawan, Darwin Núñez.

Lebih membimbangkan, dalam perlawanan yang sama, beberapa barisan tempat duduk diisi oleh penyokong yang sibuk merakam detik kegembiraan pemain dan penyokong Liverpool selepas jaringan mereka. Mereka penyokong lawan yang berada di bahagian City.

Usaha Kelab untuk Menangani Masalah

Kelab mengakui bahawa penyokong lawan yang berada di bahagian penyokong City merupakan satu isu besar. Sebelum perlawanan menentang Liverpool, pihak kelab telah mengadakan mesyuarat dengan penyokong untuk mencari penyelesaian.

Sebagai langkah pertama, kelab telah melantik pengurus pematuhan tiket bagi menyiasat penjualan tiket kepada pihak ketiga serta mengambil tindakan terhadap penyokong yang menjual tiket mereka untuk keuntungan.

City juga berjanji akan menghalang penyokong lawan daripada memasuki Stadium Etihad dan akan mengarahkan mereka keluar jika ia dikesan. Namun, beberapa aduan di media sosial mendakwa bahawa petugas keselamatan hanya meminta penyokong lawan yang berada di kawasan penyokong City untuk menutup jersi mereka dan duduk di tempat lain.

Kelab turut bekerjasama dengan 8 rakan jualan semula tiket yang sah dan menegaskan bahawa syarikat-syarikat ini akan melanggar kontrak sekiranya mereka menjual tiket kepada penyokong lawan.

Namun, laman web P1 Travel telah menjual tiket perlawanan City menentang Brighton dengan harga €249 (£206) sekeping, termasuk pakej makan malam. Terma mereka menyatakan bahawa penyokong Brighton dilarang menghadiri acara itu tetapi masih wujud kemungkinan tiket ini jatuh ke tangan penyokong pasukan lain.

Untuk perlawanan Piala FA menentang Plymouth Argyle, City telah membatalkan tiket beberapa individu di kawasan Plymouth yang tidak mempunyai sejarah pembelian tiket di Etihad dan membeli tiket berhampiran bahagian penyokong lawan.

Adakah Penyokong Setia Kian Tersisih?

Penyokong percaya bahawa pelbagai insiden yang berlaku baru-baru ini, termasuk kehadiran penyokong lawan dalam perlawanan menentang Liverpool dan Real Madrid adalah kesan langsung daripada polisi tiket kelab.

“Penyokong yang sudah lama menyokong City semakin terpinggir akibat harga tiket yang tinggi dan dasar penjualan tiket kelab,” kata Mike dari 1894 Group.

Menurutnya, keadaan ini menyebabkan penyokong lawan memenuhi kawasan penyokong tuan rumah, sekali gus mewujudkan risiko keselamatan.

“Tiada siapa mahu melihat keganasan pada hari perlawanan tetapi kelab membiarkan perkara ini berlaku kerana dasar tiket mereka,” tambahnya.

Selain isu keselamatan, peminat City juga berdepan caj tiket yang lebih tinggi berbanding sesetengah penyokong lain yang mendapat harga asal. Malah, ada perlawanan yang dihadiri oleh penyokong berkecuali (bukan penyokong City mahupun lawan) yang sedikit sebanyak menjejaskan suasana di stadium.

Bagi City Matters dan kumpulan penyokong lain, keutamaan adalah mengekalkan pemegang tiket musim di tempat duduk mereka kerana itu merupakan kunci kepada suasana meriah di stadium.

Howell turut menyebut bahawa tiket untuk perlawanan Liga Juara-Juara menentang Real Madrid dijual kepada orang awam. Ia menimbulkan persoalan mengapa ramai peminat City yang layak membeli tiket memilih untuk tidak hadir.

“Terdapat ribuan pemegang tiket bermusim yang bukan sebahagian daripada skim tiket Piala tetapi memilih untuk tidak membeli tiket perlawanan itu. Ini menunjukkan ada masalah besar dan saya fikir harga tiket adalah salah satu punca utama,” katanya.

Salah satu insiden yang mencetuskan kemarahan peminat pada Januari ialah kehadiran penyokong Mallorca di bahagian penyokong lawan di Portman Road. Seorang daripada mereka meninggalkan sekeping nota yang menunjukkan bahawa tiket itu diperoleh melalui jurulatih pasukan utama City, Carlos Vicens.

City menegaskan bahawa tiket untuk keluarga dan rakan pemain serta kakitangan telah melalui prosedur ketat bagi mengelakkan penyokong memakai warna kelab lain.

“Peminat baru, lama, dari mana-mana pun dialu-alukan. Tapi, ada cara untuk menguruskan suasana di stadium agar identiti penyokong setia tidak hilang,” kata Howell.

Bagi penyokong City, persoalannya kini adalah bagaimana kelab boleh menyeimbangkan strategi komersialnya dan memastikan penyokong setia masih mempunyai tempat di Etihad.

BACA:  Belum Tamat Separuh Masa Pertama Penyokong Man Utd Tinggalkan Stadium