Penyokong Dan FAM Ibarat Benci Tapi Sayang

Jawatan kuasa Tatatertib FAM telah bermesyuarat pada 1 September untuk membuat keputusan terhadapa aksi pergaduhan pemain dan penyokong. Apa yang jelas setiap kali keputusan mesyuarat hukuman denda melibatkan wang merupakan satu hukuman wajib bagi FAM. Boleh dikatakan semua peminat bolasepak benci dan menyampah dengan FAM dengan yang berlaku kepada skuad kebangsaan, mutu pengadilan dan Status Liga Malaysia tetapi dalam benci segelintir penyokong masih setia dan berterusan membantu FAM memenuhi kantung poket dengan wang ringgit.

Tindakan penonton membaling mercun, suar botol dan sebagainya mengundang padah apabila FA Negeri didenda Puluhan ribu ringgit saban tahun. Hentikanlah perbuatan memberi wang kepada FAM. Hentikanlah perbuatan benci tapi sayang ini. Akhirnya yang untung adalah FAM.

Keputusan Mesyuarat Tatatertib FAM 1 September 2016

Jawatankuasa Tatatertib FAM dalam mesyuaratnya pada 1 September 2016 (Khamis) telah mencapai keputusan berikut:

1. Tindakan pemain pasukan Sarawak, Mohd Hairol Mokhtar yang berkelakuan ganas terhadap pengadil perlawanan semasa perlawanan Piala Malaysia 2016 di antara Kedah lawan Sarawak pada 13 Julai 2016 di Stadium Darul Aman, Alor Setar. Pemain, Mohd Hairol Mokhtar telah didapati bersalah kerana melanggar ‘Artikel 51.1 (b) Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Salahlaku terhadap pegawai perlawanan’ dan dibaca bersama dengan ‘Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Perintah keluar padang’ dan dikenakan hukuman berikut:

Digantung daripada bermain dalam kesemua perlawanan pertandingan bola sepak Malaysia (perlawanan rasmi atau tidak rasmi) selama enam bulan mulai 1 September 2016 hingga 28 Februari 2017;

Didenda sebanyak RM2,000.00; dan

Diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

2. Tindakan pemain pasukan Negeri Sembilan, Daniel Sang Ting yang berkelakuan ganas terhadap pemain pasukan Terengganu semasa perlawanan Piala Malaysia 2016 di antara Terengganu lawan Negeri Sembilan pada 30 Julai 2016 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. Pemain, Daniel Sang Ting telah didapati bersalah kerana melanggar ‘Artikel 50.1(d) Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Salahlaku terhadap pihak lawan atau individu selain daripada pegawai perlawanan’ dan dibaca bersama dengan ‘Artikel 18.4 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Perintah keluar padang’ dan dikenakan hukuman berikut:

Digantung sebanyak empat perlawanan termasuk satu penggantungan perlawanan secara automatik

Didenda sebanyak RM1,000.00; dan

Diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

3. Tindakan penyokong pasukan Terengganu yang telah membakar mercun di sekitar kawasan stadium dan melontar bekas minuman ke arah pegawai-pegawai perlawanan semasa perlawanan Piala Malaysia 2016 di antara Terengganu lawan Negeri Sembilan pada 30 Julai 2016 di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak. Persatuan Bolasepak Terengganu telah didapati bersalah kerana melanggar ‘Artikel 70.1 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Tanggungjawab bagi kelakuan penonton’ dan dibaca bersama dengan ‘Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Pelanggaran berulang’ dan dikenakan hukuman berikut:

Didenda sebanyak RM17,500.00; dan

Diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

4. Tindakan penyokong pasukan Pahang yang telah membakar mercun dan melontar bom asap ke atas trek dan tepi padang permainan semasa perlawanan Piala Malaysia 2016 di antara Pahang lawan Kuala Lumpur pada 12 Ogos 2016 di Stadium Darul Makmur, Kuantan. Persatuan Bolasepak Pahang telah didapati kerana melanggar ‘Artikel 70.1 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Tanggungjawab bagi kelakuan penonton’ dan dibaca bersama dengan ‘Artikel 42 Kod Tatatertib FAM 2015’ berkenaan ‘Pelanggaran berulang’ dan dikenakan hukuman berikut:

Didenda sebanyak RM15,000.00; dan

Diberi amaran keras dan hukuman yang lebih berat akan dikenakan jika mengulangi kesalahan yang sama.

Sumber : FAM

Baca Juga

Baca Juga