Penyokong England Mahukan Emma Gantikan Southgate

Penyokong England begitu yakin yang pengurus pasukan Wanita Chelsea, Emma Hayes sepatutnya menggantikan Gareth Southgate sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan England.

Hayes telah dinamakan sebagai salah seorang barisan pundit ITV’s untuk Euro 2020 bersama legenda Liverpool, Graeme Souness, duo legenda Manchester United, Roy Keane dan Gary Neville.

Pengurus wanita berusia 44 tahun itu telah menerima pujian yang menggunung dari para peminat yang mengagumi kepakaran beliau yang sangat mendalam tentang ilmu bola sepak.

Hayes juga mencuri tumpuan peminat dengan analisis beliau yang bijak dan menakjubkan ketika membuat analisis berkait England untuk The Athletic.

Beliau pernah mendedahkan tentang mengapa England perlu menggunakan dua holding midfielder ketika berdepan dengan Croatia, dan alasan yang beliau berikan jelas masuk akal.

Southgate dalam perlawanan bertemu Croatia telah menggunakan Declan Rice dan Kalvin Phillips sebagai holding midfielder dan ia jelas berkesan dengan skuad The Three Lions berjaya mencatat kemenangan 1-0.

Peminat kemudiannya memuji Hayes atas analisis beliau yang bijak dan turut berbangga melihat beliau menjalankan tugasnya sebagai pundit dengan sangat mengagumkan.

Selepas melihat semua itu, para peminat kemudiannya menggesa England untuk melantik pengurus skuad wanita Chelsea itu untuk menggantikan Gareth Southgate sebagai ketua jurulatih Three Lions.

“Emma Hayes perlu jadi pengurus England selepas ini andai khidmat Gareth Southgate sudah tidak diperlukan lagi.”

“Saya berani jamin seratus peratus, Emma Hayes akan jadi pengurus England yang jauh lebih hebat berbanding Southgate.”

“Emma Hayes seharusnya ambil alih skuad kebangsaan England, dia memang layak dan tak ada yang boleh nafikan itu.”

“Saya rasa Emma Hayes memang layak dan sepatutnya menggantikan Gareth Southgate, pemikiran dia luar biasa.”

Begitulah komen-komen dari para peminat yang berharap agar Emma Hayes dilantik sebagai pengurus skuad England selepas ini.

Hayes telah melalui musim yang cemerlang bersama skuad Wanita Chelsea dengan memenangi gelaran Women’s Super League mengatasi Manchester City.

Bekas pengurus Chicago Red Stars itu juga berjaya membawa skuad Wanita Chelsea ke perlawanan akhir saingan Women Champions League bulan lalu.

Walau bagaimanapun, skuad kendalian Hayes terpaksa berdepan dengan kekalahan 4-0 dalam perlawanan akhir tersebut di tangan Barcelona di The Gamla Ullevi di Gothenburg, Sweden.

Pada Februari lalu, Hayes turut dikaitkan bakal mengurus skuad AFC Wimbledon dalam saingan League One, dengan beliau dikatakan bakal menjadi pengurus wanita pertama yang akan mengurus pasukan lelaki dalam sejarah dunia bola sepak.

Penyampai terkenal, Laura Woods turut menggambarkan Emma Hayes sebagai seorang yang bijaksana dalam apa saja yang beliau lakukan sepanjang kariernya dalam dunia pengurusan ini.

BACA:  Soutgate Pertahan Maguire Walaupun Setelah Jaring Gol Sendiri