Penyokong Liverpool Beri Penghormatan Dan Sokongan Moral Kepada Ronaldo

Penyokong Liverpool di Anfield telah memberikan penghormatan sebagai tanda sokongan moral kepada Cristiano Ronaldo yang baru sahaja kehilangan bayi yang baru dilahirkan.

Pada minit ketujuh peminat Liverpool melaksanakan perancangan yang sudah dirancang dengan bertepuk tangan dan menyanyikan lagu keramat mereka You’ll Never Walk Alone.

Ada yang mengangkat jersi Manchester United yang tertera nama dan nombor Ronaldo. Hampir satu stadium bertepuk tangan selama satu minit.

Pemain Manchester United juga dilihat telah mengenakan lilitan hitam di lengan masing-masing tanda berkabung dengan apa yang menimpa Ronaldo.

Ronaldo semalam mengumumkan khabar duka berkenaan dengan pemergian bayi lelakinya. Cristiano Ronaldo telah memuat naik kenyataan rasmi pihaknya menerusi instagram.

Dan kenyataan tersebut turut ditandatangani teman hidupnya. Ianya tragedi menyayat hati menimpa Ronaldo dan pasangannya Georgina Rodriguez yang selamat melahirkan anak perempuan mereka. Bayi tersebut adalah kembar tak seiras kepada bayi lelaki yang meninggal dunia tersebut.

Pada Oktober tahu lalu, Ronaldo mengumumkan kepada para pengikutnya di Instagram bahawa dia dan pasangannya bakal menanti kelahiran cahaya mata kembar.

Dalam satu video yang dimuat naik Ronaldo selepas itu dia mengesahkan bahawa bayi mereka seterusnya adalah kembar tak seiras, lelaki dan perempuan.

Ronaldo sama sekali tidak menyangka akan kehilangan salah seorang daripada bayi tersebut.

Ronaldo menulis:

“Dengan kesedihan yang amat dalam, kami berat hati mengumumkan bahawa bayi lelaki kami telah meninggal dunia.”

“Tiada lagi penderitaan yang lebih berat daripada ini ditanggung oleh insan bergelar ibu bapa.”

“Hanya kelahiran anak perempuan kami yang memberikan kami kekuatan untuk terus hidup buat masa ini dengan harapan dan kegembiraan. Kami mahu merakamkan ucapan terima kasih kepada doktor dan jururawat dan semua yang menjaga dan memberikan sokongan.”

“Kami semua sangat terkejut dengan kehilangan ini. Dan kami meminta privasi ketika masa masa yang sukar ini. Bayi lelaki kami, kamu adalah malaikat kami. Kami akan sentiasa menyayangi kamu.”

Ronaldo merupakan ayah kepada Cristiano Jr – yang dilahirkan menerusi kaedah ibu tumpangan. Ronaldo kemudian hidup berpasangan bersama Georgina Rodriguez. Mereka menyambut cahaya mata kembar, Eva dan Mateo pada 2017.

Manchester United kemudian mengumumkan bahawa tiada nama Ronaldo dalam pasukan yang akan bertandang ke Anfield.

Ini kerana pemain Portugal itu perlu bersama keluarganya dalam detik yang sangat sukar ini.

Manchester United dalam kenyataannya berbunyi:

“Semua orang di Manchester United dan dunia bola sepak telah menghantar mesej sayang kepada Cristiano Ronaldo dan keluarganya, selepas legenda kelab itu membuat pengumuman yang menyayat hati pada petang Isnin.”

“Keluarga lebih penting daripada segala-galanya dan Ronaldo menyokong orang tersayangnya pada masa yang amat sukar ini.”

“Oleh itu, kami boleh mengesahkan bahawa dia tidak akan beraksi dalam perlawanan menentang Liverpool di Anfield pada petang Selasa dan kami ingin menggariskan permintaan keluarganya untuk privasi.”

“Cristiano, kami semua bersama kamu dan menghantar semangat kekuatan kepada keluarga kamu.”

Liverpool juga turut memuat naik status sokongan kepada Ronaldo yang kehilangan anaknya. Ramai lagi pemain dan pihak yang turut menyatakan sokongan dan berkongsi rasa sedih dengan Ronaldo.

Ronaldo memang dikenali sebagai family man. Dia seringkali berada di rumah apabila tidak ada tugasan bola sepak.

Apabila yang dilakukan oleh penyokong Liverpool ini dianggap satu “beautiful gesture” atau keindahan sebenar dalam bola sepak dan segalanya diketepikan atas dasar kemanusiaan.

BACA:  Ketika Ronaldo Terkial-Kial Mencari Kelab, Anaknya Sudah Temui Kelab Baharu