Penyokong Liverpool Mulakan Petisyen Mempertikaikan Ketepatan ‘Goal-Line Technology’

Perlawanan paling ditunggu-tunggu dalam Liga Perdana Inggeris berlangsung awal pagi tadi dan ia nyata tidak mengecewakan.

Liverpool turun selaku pendahulu liga dan tidak pernah tewas sepanjang mengharungi 20 perlawanan sebelum ini. Manakala juara bertahan, Manchester City sedar mereka perlu mencatat kemenangan bagi merapatkan jurang 7 mata dengan Liverpool.

Insiden yang membuatkan peminat Liverpool membenci ‘Goal-Line Technology’

Tepat pukul 4 pagi 4 Januari 2019 di Etihad Stadium, 22 orang pemain bertarung dengan sengit demi mencari 3 mata dalam misi untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Selepas 90 minit perlawanan berlangsung, anak buah Pep Guardiola nyata adalah pasukan yang lebih baik dan berhak untuk memungut 3 mata penuh. Impian Liverpool untuk menyamai pencapaian skuad ‘Invincibles’ Arsenal berkecai apabila Leroy Sane menjaringkan gol kemenangan untuk menjadikan kedudukan akhir 2-1 berpihak kepada The Citizens.

Laman sosial sepert Facebook, Instagram, Twitter dan Tumblr meriah dengan reaksi peminat bola sepak terhadap perlawanan tersebut. Antara insiden yang mencuri tumpuan adalah penggunaan ‘Goal-Line Technology’ pada separuh masa pertama.

Dalam insiden yang berlaku dalam kotak penalti Manchester City, Mohamed Salah dan Roberto Firmino berganding bahu dengan baik sebelum Salah mencipta peluang jaringan untuk Sadio Mane.

Mane yang berada dalam kedudukan ‘satu lawan satu’ dengan Ederson merembat bola ke arah gawang gol City tetapi percubaannya hanya terkena tiang gol. Bola tersebut kemudiannya cuba dikeluarkan oleh John Stones tetapi terkena badan Ederson.

“Kalau bola tu tak nak masuk, kita buat macam mana pon dia takkan masuk.” – Lord Fakri, 2010.

Dalam keadaan kelam-kabut dalam kotak penalti Manchester City, bola yang melantun dari badan Ederson dilihat hampir melewati garisan gol City untuk gol sendiri. Tetapi Stones bertindak pantas dengan mengeluarkan bola tersebut pada saat-saat terakhir.

‘Goal-Line Technology’ yang diguna pakai dalam Liga Perdana Inggeris tidak memberikan sebarang gol untuk Liverpool dan pengadil meneruskan perlawanan seperti biasa.

Ulang tayang menunjukkan bola tersebut hanya kurang 1.12 cm dari masuk sepenuhnya ke dalam gawang Manchester City. Ia nyata mengecewakan seluruh peminat Liverpool yang amat dahagakan trofi EPL musim ini.

Walaupun ‘Goal-Line Technology’ menafikan gol Liverpool, ia tidak menghalang seorang penyokong Liverpool yang bebal dari membuat satu petisyen untuk memeriksa kembali ketepatan penggunaan teknologi tersebut ketika insiden tersebut.

Penyokong Liverpool tersebut yang menggunakan nama ‘King Kenny’ memulakan petisyen tersebut beberapa jam selepas perlawanan tersebut berakhir. Setakat ini seramai 66 individu telah menandatangani petisyen tersebut dan ia juga menarik perhatian ramai di laman sosial.

Ada juga peminat Liverpool di laman sosial yang berkata,

“Bagi aku ianya adalah gol. Manchester City telah mematikan ‘goal-line technology’.”

Seorang lagi pula berkata,

“Petisyen untuk mengubah sistem ‘goal-line technology’.”

Ada lagi yang teruk sampai melabel teknologi tersebut sebagai scam. Macam-macam penyokong Liverpool ni. Terima lah kenyataan pasukan anda tewas dan gagal mengulangi pencapaian skuad ‘Invincibles’ Arsenal.

BACA:  Guardiola Mungkin Turunkan Skuad Lebih Lemah Bagi Pertemuan Menentang Manchester United