Penyokong Liverpool Pertikai Mengapa Gol Salah Dibatalkan Tetapi Gol Fernandes Tidak?

Para penyokong Liverpool telah menghentam teruk keputusan pengadil yang membatalkan gol jaringan Mo Salah ketika aksi bertemu Burnley malam semalam.

Selain bengang dengan keputusan VAR yang dirasakan seolah menzalimi mereka, para penyokong Liverpool turut mempertikaikan mengapa gol Fernandes ketika aksi bertemu Leeds United minggu lalu tidak dibatalkan.

Bintang Manchester United itu cemerlang meledak hat-trick ketika setan merah membelasah Leeds 5-1 dalam perlawanan pembukaan Premier League di Old Trafford minggu lalu.

Gol ketiga Fernandes ketika itu dianggap berada dalam situasi yang hampir sama seperti Salah yang mana ia berpotensi untuk dibatalkan kerana offside.

Walau bagaimanapun, VAR membenarkan gol Fernandes dan pengadil perlawanan juga bersetuju untuk mengiktiraf gol tersebut.

Namun begitu, segelintir penyokong Liverpool jelas tidak gembira dengan tahap konsistensi VAR selepas gol jaringan Mo Salah ketika aksi bertemu Burnley semalam dibatalkan.

Salah merobek gawang Burnley dengan menggunakan kaki kirinya selepas menerima bola cantik umpanan dari Harvey Elliott.

Pengadil perlawanan, Mike Dean kemudiannya meniup wisel dan membatalkan gol tersebut kerana merasakan Salah berada dalam kedudukan offside.

Tidak mengejutkan untuk melihat insiden tersebut membangkitkan kemarahan penyokong Liverpool di media sosial.

“Gol jaringan Bruno Fernandes selepas menerima hantaran jauh dari Victor Lindelof rasanya lebih offside berbanding Salah, tapi mengapa mereka tak rujuk semula gol itu? Garisan VAR pun saya rasa sama saja.”

“Jika gol Bruno pada minggu lalu tidak dianggap offside, jadi gol jaringan Mo Salah sepatutnya juga tidak dibatalkan. Mana keadilan?”

“Adakah VAR hanya akan menilai semula video mengikut pasukan mereka pilih? Bukan semua? Langsung tak konsisten. Memalukan.”

“Bukan cemburu dengan gol Fernandes, cuma keliru mengapa gol itu dibenarkan tetapi gol Salah yang boleh dikatakan dalam situasi sama tak dikira?”

Begitulah komen-komen dari para penyokong Liverpool yang merasakan VAR menzalimi mereka dan terlebih memanjakan Manchester United.

Liverpool walau bagaimanapun berjaya menewaskan Burnley 2-0 dalam perlawanan yang dilangsungkan di Anfield itu selepas Diogo Jota dan Sadio Mane meledak gol untuk membantu The Reds mendapatkan tiga mata penuh.

Dua kemenangan dari dua perlawanan awal liga boleh dianggap satu permulaan yang sangat baik untuk skuad kendalian Jurgen Klopp pada musim ini.

Kehadiran Virgil Van Dijk di posisi pertahanan sepertinya sangat membantu dengan The Reds juga masih kekal belum dibolosi dalam kedua-dua perlawanan awal ini.

Seandainya mereka mengekalkan tahap persembahan yang sama dan memperbaiki kelemahan di bahagian midfield, sepertinya walau sendu di jendela perpindahan, tak mustahil Liverpool bakal kembali merampas kejuaraan liga dari Manchester City.

Liverpool, Manchester United dan Chelsea memulakan kempen kali ini dengan sangat cemerlang dan tentunya banyak mata-mata akan terus memerhatikan mereka untuk melihat apa yang akan dicapai oleh kesemua mereka.

Liverpool minggu hadapan bakal berdepan dengan Chelsea di Anfield dan mereka tentunya mahu terus mengekalkan momentum kemenangan demi mencabar kedudukan sebagai pendahulu liga.

Pertembungan taktikal antara kedua-dua bekas pengurus Borussia Dortmund, Thomas Tuchel dan Jurgen Klopp tentunya sangat menarik untuk disaksikan.

Lebih menarik lagi, para peminat tentunya mahu melihat pertembungan antara Virgil Van Dijk di posisi pertahanan Liverpool, bakal berdepan dengan penandatanganan mega Chelsea, Romelu Lukaku.

Kedua-dua mereka dianggap pemain terhebat dunia di posisi masing-masing dan pertembungan mereka di atas padang tentunya akan menyajikan aksi yang sangat menarik untuk disaksikan.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Liverpool Berpeluh Untuk Singkirkan Nottingham Forest Dari Saingan FA Cup