Penyokong Newcastle Dah Mula Berangan Mahu Bintang Mega Sertai Mereka

Penyokong Newcastle United sudah mula membayangkan bagaimana pemain-pemain terhebat dunia menyertai kelab mereka selepas ini, memandangkan mereka kini dimiliki oleh pemilik terkaya dalam dunia bola sepak hari ini.

Bekas pemilik Newcastle United, Mike Ashley secara rasminya telah menjual The Magpies kepada Syarikat Konsortium Arab Saudi dengan nilai $320 juta.

Sama seperti apa yang berlaku kepada Manchester City dan Paris Saint Germain, selepas pemilik kaya raya memiliki kelab, maka penandatanganan mega akan berlaku bagi memperkuat skuad sedia ada.

Boleh dikatakan semua kelab kaya dalam dunia bola sepak hari ini berjaya kerana pelaburan yang mereka laburkan untuk mendapatkan pemain dan pengurus terbaik dalam dunia bola sepak.

Sebaik berita pengambilalihan kelab disahkan, para penyokong Newcastle United dengan segera membayangkan barisan pemain yang akan bermain bersama mereka selepas ini.

Memandangkan berangan itu percuma, maka para penyokong Magpies telah membayangkan para pemain terhebat dunia seperti Kylian Mbappe, Lionel Messi, Erling Haaland dan ramai lagi pemain lain bakal menjadi milik mereka.

Bahkan, sebelum berita pengambilalihan itu disahkan, para penyokong sudah mula menunjukkan kepakaran masing-masing dalam mengedit gambar dan video meletakkan pemain-pemain bintang tersebut menyarung jersi mereka.

Berita pengambilalihan ini sudah sememangnya antara berita yang paling dinanti-nantikan oleh para peminat Newcastle yang sudah muak dengan era Mike Ashley sejak  14 tahun yang lalu.

Selepas impian mereka untuk dapat pemilik baru menjadi kenyataan, ditambah pula pemilik baru itu mempunyai kekayaan yang sungguh menakjubkan, maka para penyokong jadi rambang mata memilih pemain bintang mana yang mahu mereka lihat menyarung jersi hitam putih.

Media sosial hari ini dipenuhi dengan gambar pemain-pemain terhebat dunia menyarung jersi belang hitam dan putih.

Terserlah kebijaksanaan dan kemampuan para penyokong Newcastle dalam mengedit gambar dan video yang cukup berkualiti.

Pemain seperti Cristiano Ronaldo, Lionel Messi, Kevin De Bruyne, Erling Haaland, Mo Salah, Kylian Mbappe semuanya disunting memakai jersi Newcastle United.

Apa yang menariknya, dari kesemua nama-nama yang dikaitkan, ramai yang yakin Kylian Mbappe antara yang paling hampir untuk ditandatangani oleh kelab.

Bintang PSG itu sudah meluahkan hasratnya untuk meninggalkan kelab pada musim panas akan datang, selepas kontraknya tamat.

Beliau sehingga kini masih belum menandatangani perjanjian baru bersama kelab, dan hangat dikaitkan dengan bakal menyertai Real Madrid pada jendela perpindahan musim panas akan datang.

Melihat kepada pengalaman dan bakat yang beliau miliki, sudah tentu Mbappe menjadi pemain paling diimpikan oleh para penyokong Newcastle United untuk ditandatangani oleh kelab.

Tanpa segan silu, para penyokong Newcastle sudah mula meminta pemilik baru menyediakan dana yang mencukupi untuk menandatangani pemenang Piala Dunia tu.

Bayangkan baru beberapa jam menjadi pemilik kelab, pemilik sudah dihidangkan dengan senarai pemain yang mereka mahukan untuk ditandatangani.

Jelas sekali duit bukan masalah untuk pemilik baru, tambahan pula mereka boleh berbelanja besar tanpa risaukan FFP, kerana Mike Ashley sebelum ini bijak dalam mengurus kewangan kelab.

Oleh yang demikian, Newcastle United sudah boleh melaburkan dana yang besar pada jendela perpindahan Januari nanti dan tidak mustahil harapan penyokong Newcastle United untuk melihat Kylian Mbappe menyarung jersi mereka bakal menjadi kenyataan.

Siapa agaknya pemain pertama yang akan ditandatangani oleh pemilik baru Newcastle United? adakah mereka akan menukar pengurus baru sebagai langkah memulakan era baru kelab? bincangkan di ruangan komen.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Ramalan Kesebelasan Newcastle Sekiranya Mendapat Pemilik Baru