Penyokong Villa Ingatkan Grealish Yang City Akan Jahanamkan Kariernya

Jack Grealish telah diberi amaran oleh penyokong Aston Villa supaya beliau tidak ke Etihad kerana Manchester City akan menjahanamkan kariernya.

Manchester City dilaporkan sudah menghantar bidaan bernilai £100 juta untuk mendapatkan khidmat Jack Grealish dari Aston Villa.

Menurut laporan Sky Sports, pihak kelab sendiri dijangka akan menerima tawaran dari City yang bakal memecahkan rekod perpindahan termahal Inggeris itu.

Grealish telah menandatangani lanjutan kontrak selama lima tahun bersama Aston Villa pada September tahun lalu, menjadikan beliau bakal kekal di Villa Park sehingga 2025.

Walau bagaimanapun, keputusan kelab untuk menerima tawaran luar biasa lumayan dari Manchester City itu, telah meninggalkan Grealish dalam situasi yang agak tertekan.

Pemain kebangsaan England itu harus membuat pilihan yang terbaik berkait masa depan beliau sendiri, dan bukan mudah untuk beliau memutuskan apa-apa dalam situasi seperti sekarang.

Pemain berusia 25 tahun itu berjaya menjaringkan enam gol dan turut mencatatkan 10 assists dari 26 penampilan dalam saingan Premier League musim lalu.

Beliau turut mencuri perhatian ramai dengan aksi dan persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan ketika beraksi bersama skuad kebangsaan England dalam saingan Euro 2020.

Para peminat turut mendesak Southgate untuk memberi lebih banyak minit permainan pada pemain penyerang itu dengan kebanyakan dari mereka benar-benar teruja melihat persembahan Grealish.

Grealish ketika sesi latihan bersama Villa

Grealish turut terlibat untuk menjadi antara pemain yang paling banyak menyumbang kepada kejayaan England mara ke perlawanan akhir pertama mereka sejak 1966.

Sebenarnya, sejak sebelum bermulanya saingan Euro 2020 pada musim panas ini lagi, Manchester City sudah mengumumkan hasrat mereka untuk menandatangani Jack Grealish dan Harry Kane.

Selepas berakhirnya kejohanan terbesar Eropah itu, Manchester City dikatakan telah memulakan rundingan bersama Villa dan turut sudah menghantar bidaan rasmi untuk mendapatkan Grealish.

Rundingan antara kedua-dua pihak masih berjalan, dan hasil rundingan tersebut akan diumumkan dalam masa terdekat ini.

Ketika Grealish sedang menjalani sesi latihan bersama Aston Villa, beliau telah didatangi oleh sekumpulan peminat yang mahu memberinya sedikit nasihat.

Kumpulan penyokong itu hadir ke tempat di mana Grealish dan rakan sepasukannya menjalani latihan dan memberi amaran kepada bintang sensasi kelab itu supaya tidak menyertai Manchester City.

Grealish awalnya telah diingatkan yang karier beliau akan musnah seandainya beliau bersetuju untuk terbang ke Etihad untuk beraksi bersama Manchester City.

Tular satu video yang memperlihatkan Grealish sedang bersedia untuk bergambar bersama peminat, dan beliau telah diberitahu oleh peminat yang menyatakan:

“Adakah kamu mahu sertai pasukan yang baru saja ditubuhkan 10 tahun lalu?”

“City merupakan pasukan kerdil, mereka akan rosakkan kamu.”

Grealish tetap tersenyum melayan peminatnya itu dan beliau langsung tidak menjawab sebarang pertanyaan berkait Manchester City.

Ketika beliau ditanya adakah beliau membawa banyak getah rambut bersamanya, Grealish menjawab:

“Nah, saya ada satu saja!”

Beliau turut diminta untuk kekal dan menandatangani perjanjian baru bersama kelab kerana para penyokong tidak mahu kehilangan ketua pasukan kesayangan mereka itu.

Lihat rakaman insiden tersebut di bawah.

Walaupun Grealish jelas terlalu sayangkan Aston Villa, namun demi masa depan yang lebih baik, sepertinya beliau harus menerima tawaran dari Manchester City.

Keputusan itu juga sebenarnya akan memberi kelebihan kepada Aston Villa yang akan mendapat dana besar hasil penjualan Grealish untuk digunakan sebagai modal kelangsungan kelab.

Beliau tentunya sangat berharap agar para penyokong Aston Villa akan faham dan terima dengan keputusannya, kerana beliau harus memutuskan yang terbaik untuk masa hadapannya.

Sementara seorang lagi pemain sasaran Manchester City, Harry Kane pula, beliau berkemungkinan akan dikenakan tindakan denda oleh pihak kelab kerana gagal menghadiri sesi latihan Spurs kemarin.

Kane jelas sudah tidak mahu kekal beraksi bersama Spurs, dengan beliau berpegang pada perjanjian khas antaranya bersama Daniel Levy.

Walau bagaimanapun, Chairman kelab itu sepertinya tidak berpegang pada janjinya dengan beliau seolah-olah sengaja menyukarkan urusan Kane untuk pergi.

Walau bagaimanapun, sehingga kini masih belum ada jawapan pasti berkait masa depan Kane bersama Spurs, mahupun bersama Man City.

Sumber: GMS

BACA:  Guardiola: Kejuaraan Liga Lebih Bermakna Daripada Liga Juara-Juara Eropah