Pep Guardiola Gesa Pemilik Chelsea Beri Masa Kepada Potter

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola telah menggesa pemilik Chelsea, Todd Boehly supaya memberi masa kepada Graham Potter untuk membuktikan kemampuan dirinya.

Gesaan dari Pep Guardiola ini hadir selepas Manchester City menewaskan Chelsea 4-0 di pusingan ketiga saingan Piala FA dan kekalahan kedua Chelsea di kaki City dalam tempoh empat hari.

Graham Potter telah membawa Chelsea dengan aksi buruk dan rekod menceritakan segalanya apabila hanya menang sekali dalam lapan perlawanan terakhir mereka.

Ketika ini peminat mula mencemuh dan mengejek Graham Potter supaya dipecat dan kembali melaungkan nama pemilik terdahulu, Roman Abramovic dan Thomas Tuchel yang jauh lebih cemerlang.

Konsortium Clearlake Capital telah mengambil alih Chelsea pada tahun lalu dan Todd Boehly dilantik sebagai kepala baru telah memecat Tuchel pada september lalu dan melantik Graham Potter.

Sejak mengemudi Chelsea, Todd Boehly telah membeli beberapa orang pemain seperti mengikut gerak hati dan buah fikirannya sendiri dan pembeliannya seperti bermain permainan Football Manager.

Misi dan visi Todd Boehly jika direnung kembali amat bagus kerana mahu membina kembali Chelsea dengan mahu meremajakan skuad untuk setiap posisi namun pelaksanaannya nampaknya seperti tidak seiring dengan apa yang dirancang.

Perlantikan Graham Potter juga dilihat satu kesilapan awal jika dilihat kepada rekod ternyata Thomas Tuchel lebih ke depan dan hasil kerja teragung Potter adalah ketika bersama Brighton & Hove Albion.

Selepas dua kali mengalahkan Graham Potter dalam tempoh empat hari, Pep Guardiola tampil membela pengurus Chelsea itu mungkin kerana tidak mahu dan tidak sanggup menjadi punca pemecatan Potter.

“Saya akan katakan kepada Todd Boehly, beri masa kepada Graham Potter. Beri dia masa. Semua pengurus memerlukan masa dan dia betul.”

“Di Barcelona, saya tidak memerlukan masa untuk dua musim kerana saya mempunyai Messi.”

Ayat terakhir Pep Guardiola itu agak Setan namun mempunyai maksudnya yang tersendiri. Jika Chelsea mempunyai pemain seperti Lionel Messi lantik siapa saja pasti tidak perlukan masa dan Messi akan terus memberi impak.

Graham Potter sendiri turut bercakap mengenai keputusan perlawanan itu dengan berkata:

“Ini (Manchester City) mungkin lawan paling teruk yang boleh anda lawan apabila keadaan tidak berjalan lancar kerana ia boleh membuat ia kelihatan seperti anda langsung tidak mencuba.”

“Saya tidak merasakan sikap buruk dan saya rasa ada sokongan dalam bilik persalinan.”

Graham Potter juga menjelaskan kekalahan ini bukanlah kerana pemain memboikot dirinya dan dia masih mendapat sokongan dalam bilik persalinan tetapi City terlalu unggul.

Pengurus Chelsea itu mengakui ketika ini Chelsea berada dalam situasi yang teruk dan pasukannya perlu bekerja keras dan bersatu hati.

“Kami dalam detik di mana kami perlu menderita dan itu tidak bagus, tidak menggembirakan tapi kami perlu buat lebih baik dan bekerja keras.”

“Kami perlu membantu pemain untuk terus bersatu, menggalakkan mereka kerang ini masa sukar untuk kami semua kerana cita-cita yang kami ada.”

“Terdapat pelbagai cabaran [jadual, kecederaan dan rehat Piala Dunia tanpa pemain] tapi dalam masa yang sama saya perlu lakukan lebih baik. Itulah cabaran saya hadapi, kami perlu terus meningkat.”

“Saya faham kekesalan, kekecewaan dan kemarahan kerana keputusan tidak seperti yang kami mahukan. Kami telah berdepan Man City dua kali dalam piala dan tersingkir. Kami perlu memperbaiki kedudukan liga kami, jadi saya faham sepenuhnya kekecewaan itu.”

Pada 13 Januari, Chelsea akan menentang Fulham dan jika tewas ramai menjangkakan Graham Potter akan dipecat.

BACA:  Pep Guardiola Namakan Bintang Man City Yang Bakal Ikuti Jejaknya Ke Dunia Pengurusan