Pep Guardiola Jelas Punca Sebenar Sane Tiada Dalam Skuad Menentang Newcastle

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola berkata beliau tidak mempunyai sebarang masalah dengan Leroy Sane selepas pemain muda itu tidak disenaraikan dalam skuad yang turun menentang Newcastle United awal pagi tadi.

Beberapa akhbar tabloid Britain melaporkan Guardiola tidak gembira dengan sikap yang ditunjukkan Sane dalam sesi latihan minggu ini. Sane masih lagi gagal berada dalam kesebelasan utama The Citizens walaupun telah melalui 4 perlawanan Liga Perdana Inggeris.

Guardiola tiba di stadium bagi menghadapi Newcastle di Etihad

Sumber tersebut turut melaporkan Guardiola tidak meletakkan Sane dalam skuad yang menentang Newcastle kerana mahu memberi mesej supaya Sane berusaha lebih keras untuk merebut kembali tempat dalam kesebelasan utama.

Pemain antarabangsa Jerman ini hanya bermula dari bangku simpanan untuk 3 perlawanan liga sebelum ini dan mempamerkan aksi yang mengecewakan apabila masuk sebagai pemain gantian ketika City seri 1-1 menentang Wolves minggu lepas.

Dalam aksi Liga Perdana Inggeris malam tadi, Guardiola langsung tidak menamakan Sane yang memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik PFA musim lepas di bangku simpanan Manchester City.

Leroy Sane merupakan muka tetap di bangku simpanan City musim ini

“Dalam perlawanan sebelum ini, Phil Foden tiada dalam skuad. Saya berasa agak sedih dengan Phil seperti apa yang saya rasa dengan Sane ketika ini.”

“Tetapi kami mempunyai skuad yang besar dan kadang kala anda perlu meninggalkan pemain tertentu. Saya mempunyai 6 penyerang dan memilih untuk menurunkan 2 penyerang, 2 pemain sayap, dan seorang lagi di bangku simpanan.”

“Sebab itulah saya memilih untuk tidak membawa Sane dalam perlawanan tadi. Beliau akan bersedia untuk diturunkan dalam perlawanan selepas ini.”

“Beliau bermain selama 10 minit ketika menentang Wolves. Beliau tidak berapa tajam tapi beliau tetapi mencuba.”

Sane kembali dipanggil untuk menyertai skuad Jerman bagi menghadapi perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Perancis dan Peru bulan ini. Sebelum ini, Joachim Low melakukan kejutan dengan meninggalkan Sane dari skuad Piala Dunia 2018 tetapi tindakan itu jelas memakan diri kerana Jerman tersingkir seawal peringkat kumpulan.

Guardiola turut ditanya adakah beliau gembira dengan sikap yang ditunjukkan Sane di dalam dan luar padang, ini response beliau.

“Ya, saya gembira dengan sikap Sane.”

Sane gagal bermain dengan baik ketika menentang Wolves minggu lalu dan menyebabkan dirinya dipinggirkan semalam

Dalam perlawanan ke-4 Liga Perdana Inggeris malam tadi, Manchester City dipaksa berhempas pulas sebelum mengesahkan 3 mata. City terlebih dahulu menjaringkan gol menerusi Raheem Sterling yang tenang merembat bola dari penjuru gol.

Kegembiraan City tidak berkekalan lama kerana Newcastle berjaya menyamakan kedudukan menerusi DeAndre Yadlin yang berlari pantas ke dalam kotak penalti untuk menolak masuk hantaran dari Solomon Rondon.

Kyle Walker kembali meletakkan City di hadapan pada awal babak kedua apabila melakukan percubaan dari luar kotak penalti yang gagal ditampan penjaga gol Newcastle, Martin Dubravka. Tiada lagi gol dijaringkan selepas itu dan keputusan 2-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

BACA:  Given: Bukan Salah, Tetapi De Bruyne Lebih Berhak Dinamakan Pemain Terbaik Liga Musim Ini