Pep Guardiola: Jesus dan Aguero Akan Kembali Digandingkan Bersama

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola gembira melihat persahabatan yang terjalin di antara Gabriel Jesus dan Sergio Aguero dan berkata dalam keadaan tertentu mereka berdua akan diturunkan bermain sekali.

Aguero dan Jesus saban minggu bersaing untuk menjadi penyerang nombor 1 Manchester City tetapi Guardiola menegaskan persaingan tersebut tidak mengganggu hubungan mereka dalam dan luar padang.

Dalam perlawanan liga terakhir mereka, Jesus telah menjaringkan gol ke-10 peribadinya ketika The Citizens menjinakkan Leicester City di King Power Stadium. Aguero pula sekadar memanaskan bangku simpanan buat keseluruhan perlawanan dan justeru gagal menambah koleksi gol beliau.

Kedua-dua penyerang ini memulakan musim dengan berganding baik mengemudi jentera serangan Manchester City sehinggalah Aguero mengalami kecederaan luar padang ketika menghadiri satu konsert di Amsterdam.

Pep Guardiola dan Aguero di City | Gambar : Goal.com

Aguero tidak dapat beraksi selama beberapa minggu dan Jesus mendapat kepercayaan Guardiola untuk menjadi penyerang tunggal sepanjang ketiadaan Aguero.

Sekembalinya Aguero dari kecederaan, Guardiola masih kekal dengan sistem satu penyerang dan lebih suka menggilirkan pemain bagi posisi penyerang.

Guardiola turut pernah mendedahkan keputusan paling sukar yang perlu dibuatnya adalah memilih penyerang yang mana berhak diletakkan bermain di samping pemain sayap, Leroy Sane dan Raheem Sterling. Beliau tahu dirinya akan menerima kritikan andai pilihannya salah.

Semua mata pastinya akan tertumpu kepada perlawanan hujung minggu ini apabila Manchester City melakukan kunjungan ke Huddersfield Town dalam usaha mereka mengekalkan kelebihan 8 mata dihadapan pencabar terdekat iaitu Manchester United.

Jesus cukup tajam setakat ini.

Guardiola memberitahu moral pasukannya tidak jatuh terutama Jesus dan Aguero kerana kedua-dua pemain ini mendapat kebaikan dari persaingan yang sihat. Beliau dipetik berkata kepada pemberita dalam sidang media menjelang pertemuan hujung minggu ini:

“Saya tahu saya akan menerima kritikan mengenai Jesus atau Aguero jikalau Manchester City tewas. Sekarang ini, sidang media kali ini mungkin lebih santai kerana kami memenangi perlawanan, tetapi saya beritahu kamu, apabila kami tewas di masa hadapan, akan ada pihak mempertikaikan keputusan saya.”

“Jesus dan Aguero mempunyai hubungan yang sangat rapat. Bukan mudah untuk menjumpai dua penyerang yang mempunyai persahabatan yang erat. Aguero adalah seorang pemain yang amat berpengalaman, dan juga seorang yang mesra. Dan Jesus juga sama.”

“Sudah tentu mereka mahu bermain dan saya tahu apabila ada pemain yang tidak bermain, pemain tersebut mungkin berasa sedikit sedih. Tetapi perkara sama juga turut berlaku terhadap pemain-pemain yang lain. Danilo juga tidak gembira tetapi itu bukanlah masalah.”

Guardiola memberitahu minggu lepas Jesus dan Aguero mungkin tidak akan bermain bersama sehingga Benjamin Mendy kembali pulih. Kehadiran Mendy bakal membolehkan Guardiola menurunkan kembali sistem 3 penyerang hadapan.

Walaubagaimanapun, Guardiola menarik kembali kenyataan tersebut dalam sidang media terbaru ini dan memberitahu tanpa Mendy, Manchester City masih boleh menurunkan Jesus dan Aguero dalam satu pasukan.

“Mereka berdua bakal kembali bermain bersama tanpa atau dengan Mendy dalam pasukan. Buat masa ini, saya memilih untuk bermain dengan satu penyerang dan disebabkan sistem ini, Aguero dan Jesus tahu mereka mesti menunjukkan aksi yang bagus.”

“Mereka mesti bersaing sesama mereka. Pasukan ini perlu bermain banyak perlawanan tanpa Mendy dalam pasukan, Kami mampu bermain dengan dua penyerang, dan kami melakukannya ketika perlawanan menentang Feyenoord tempoh hari selama 10 minit. Sudah tentu kami boleh melakukannya.”

Baca Juga

Baca Juga