Pep Guardiola Minta Southampton ‘Tibai’ Liverpool 4-0

Pep Guardiola meminta agar Southampton tibai Liverpool 4-0 dalam aksi pertembungan antara kedua-dua pasukan itu pada minggu ini.

Manchester City melalui hari yang sukar malam semalam selepas mereka keciciran mata ketika sudah semakin hampir untuk dinobatkan sebagai Juara saingan Premier League musim ini.

Seandainya Man City berjaya menewaskan West Ham United malam semalam, mereka sepertinya sudah hampir pasti muncul sebagai Juara saingan Premier League musim ini.

Walau bagaimanapun, dek kerana mereka keciciran mata, mereka sepertinya telah menghidupkan semula harapan untuk Liverpool kembali mengejar.

Skuad kendalian Pep Guardiola itu pada ketika ini empat mata mengatasi Liverpool untuk berada di puncak saingan liga, namun skuad kendalian Jurgen Klopp itu memiliki satu perlawanan yang masih belum dimainkan.

Seandainya Liverpool berjaya menewaskan Southampton minggu ini, maka mereka bakal merapatkan jurang mata dengan hanya satu mata sahaja dibelakang The Citizens.

Oleh yang demikian, Juara saingan Premier League musim ini akan ditentukan pada hari terakhir saingan liga musim ini.

Namun begitu, sebelum Liverpool berhasrat mahu membawa persaingan merebut gelaran liga ini sehingga ke hari terakhir, mereka perlu memastikan tiga mata penuh berdepan Southampton pada minggu ini.

Bercakap ketika sesi sidang media selepas tamat aksi bertemu West Ham United awal pagi tadi, Pep Guardiola telah ditanya adakah beliau mempunyai apa-apa pesanan kepada Southampton, dengan pengurus dari Sepanyol itu menjawab:

“Saya mahu katakan, tewaskan Liverpool empat kosong.”

Jelas Pep Guardiola sambil ketawa besar.

Beliau jelas sekali akan sangat berharap agar Liverpool akan keciciran mata dan andai hal itu berlaku, maka City sudah hampir pasti untuk sah bergelar Juara.

Pep Guardiola bergurau menolak Michail Antonio selepas tamat aksi bertemu West Ham

Pep Guardiola dilihat bergurau manja dengan pemain penyerang West Ham United, Michail Antonio selepas tamat aksi terikat 2-2 Man City bertemu The Hammers awal pagi tadi.

Pengurus The Citizens itu dilihat bergurau dengan menolak manja Antonio sebelum memeluk bintang West Ham itu.

Beliau bahkan turut bercakap tentang hal itu ketika temu bual selepas tamat perlawanan tersebut.

Pendahulu saingan Premier League itu pada ketika ini sedang mendahului Liverpool dengan kelebihan 4 mata selepas mereka sekadar mampu mencatatkan keputusan seri di London Stadium.

Dua gol jaringan Jarrod Bowen pada aksi babak pertama berjaya mengejutkan skuad Man City dan hampir sahaja membuatkan skuad kendalian Pep Guardiola itu berputih mata.

Mujur saja Man City berjaya bangkit dan mengikat kedudukan menjadi 2-2 hasil jaringan Jack Grealish dan gol sendiri jaringan Vladimir Coufal.

Keputusan seri itu jelas sekali memberi kesan yang tak diinginkan oleh pasukan City dengan ia akan menyukarkan mereka untuk memenangi gelaran liga.

Ia hari yang sukar untuk skuad Manchester City dengan pemain seperti Jarrod Bowen dan Pablo Fornals tak henti-henti beri masalah kepada Fernandinho dan barisan pertahan City.

Michail Antonio juga turut kerap memberi masalah kepada barisan pertahanan City dan selepas tamat perlawanan tersebut, Pep Guardiola dilihat sempat bergurau manja dengannya.

Pep Guardiola dilihat menolak pemain penyerang berusia 32 tahun itu, seolah-olah seperti mahu menjelaskan yang beliau terlalu banyak memberi masalah kepada Man City hari ini.

Michail Antonio sendiri pada ketika itu dilihat sedang berbual mesra dengan penjaring gol City dalam perlawanan ini, Jack Grealish.

Video itu tular di media sosial dengan ramai peminat yang terhibur melihat tingkah laku Pep Guardiola terhadap Michail Antonio itu.

“Adakah dia bergurau atau dia betul-betul maksudkan atas tindakan dia itu? Ketawa itu bukan sebab dia terhibur dengan lawak dia sendiri kan?”

“Semakin lama semakin pelik perangai dia, adakah ini kesan dari tersingkirnya Man City di pentas saingan Champions League?”

“Pep Guardiola sejak kebelakangan ini selalu sebut pasal Liverpool dan kerana itulah pemain dia sendiri sampai hilang tumpuan. Dia tak sepatutnya tolak Antonio, dia patut tolak diri sendiri.”

“Ini semua salah Real Madrid, selepas kena comeback, Pep Guardiola sudah tidak seperti diri dia yang kita kenal lagi.”

“Bukan kah dia sepatutnya tolak Jack Grealish berbanding Antonio? Pemain dia dah hilang tumpuan, lepas ni dia akan jumpa Gerrard, nama Liverpool sepertinya susah nak hilang dari fikiran dia.”

Guardiola kemudiannya telah ditanya tentang insiden menolak Antonio itu oleh penyampai Sky Sports, Geoff Shreeves.

“Dia pergi gym setiap hari dan lelaki ini dia seorang yang sangat kuat.”

Jelas pengurus Man City itu sebelum memuji gandingan Fernandinho dan Aymeric Laporte di posisi pertahanan.

“Menguruskan Antonio bukanlah mudah. Dia seorang yang sungguh menakjubkan.”

BACA:  Guardiola Dakwa Ditawarkan Peluang Untuk Menandatangani Pogba Januari Lalu