Pep Guardiola: Napoli Antara Pasukan Terbaik Pernah Saya Hadapi

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola menggambarkan kemenangan 2-1 yang dicatatkan keatas Napoli merupakan salah satu detik yang paling membanggakan sepanjang karier pengurusan beliau.

Dalam perlawanan tersebut, Manchester City pantas untuk mengawal perlawanan dengan dua gol awal menerusi Raheem Sterling dan Gabriel Jesus seawal minit ke-13.

Walaubagaimanapun, mereka terpaksa bergelut pada lewat perlawanan selepas Napoli berjaya menjaringkan satu gol menerusi penalti yang dijaringkan Amadou Diawara.

Imej : Getty Images

Bekas pengurus Barcelona dan Bayern Munich ini berkata pasukannnya agak keletihan tetapi tetap bangga dengan kekentalan pemain Manchester City yang berjaya bertahan sehingga tamat perlawanan.

Kemenangan ini mengekalkan rekod bersih mereka dalam kumpulan F Liga Juara-Juara dan hampir pasti akan layak ke pusingan seterusnya.

“Saya sudah menjangkakan perlawanan ini akan berlangsung sengit sehingga minit ke-90 kerana Napoli pasukan yang hebat. Kami mempunyai separuh masa pertama yang cemerlang buat 30,35 minit.

“Kami berjaya menjaringkan dua gol dan hampir menambah jaringan ketiga dan keempat. Selepas itu, kami mula letih dan setiap kali melakukan serangan balas, kami gagal menyudahkan peluang.”

“Napoli mempunyai kemampuan untuk bermain hantara pendek. Mereka adalah salah satu pasukan terbaik yang pernah saya hadapi sepanjang karier sebagai pengurus.

“Sebab itulah saya bangga dengan pencapaian pemain saya hari ini kerana kami tidak akan menewaskan Napoli jika tidak bermain dengan baik.”

Walaupun tewas dua dari tiga perlawanan dalam Liga Juara-Juara setakat ini, Napoli berjaya mencatatkan permulaan sempurna dalam saingan domestik Itali dengan memenangi kesemua 8 perlawanan mereka setakat ini.

Dan Guardiola percaya pasukan Napoli yang ditentang beliau mampu memecahkan dominasi Juventus yang telah memenangi Serie A 6 musim berturut-turut.

Imej : Stu Forster

“Saya sudah tahu mereka pasukan yang kuat sebelum perlawanan lagi. Kini saya percaya mereka adalah antara pasukan paling kuat di Eropah buat masa sekarang.

“Ini adalah antara kemenangan yang paling membanggakan sepanjang karier saya. Melihatkan cara Napoli bermain, saya yakin mereka mampu memenangi Serie A.”

Pengurus Napoli, Maurizio Sarri ketika ditemuramah selepas perlawanan turut mengembalikan pujian pihak lawan dengan memuji kemampuan skuad Pep Guardiola.

Beliau percaya Manchester City merupakan salah satu pasukan pilihan untuk memenangi Liga Juara-Juara musim ini.

Sarri turut kecewa dengan beberapa peluang yang dimiliki pasukannya terutama sepakan penalti yang gagal disempurnakan Dries Mertens pada separuh masa pertama.

“Kami berjaya bangkit untuk kembali memberikan saingan dan tidak banyak pasukan yang mampu bangkit apabila bertemu Manchester City dan memberikan mereka tekanan. Kami mungkin sedikit kesal dengan penalti yang gagal disempurnakan pada separuh masa pertama.

“Tetapi kami percaya pasukan ini dalam laluan yang betul untuk bersaing secara kompetitif dalam kejohanan peringkat Eropah.”

“Lawan kami hari ini amat kuat dan membuatkan keadaan sukar untuk kami. Saya percaya City adalah antara calon utama untuk memenangi Liga Juara-Juara musim ini. Mereka mempunyai pasukan yang amat bagus dan kualiti yang tinggi.

“Pasukan mereka pantas dan dari segi taktikal mereka amat pintar. Jika mereka mampu mengekalkan tahap fizikal dan mental seperti yang kita lihat hari ini, saya percaya Manchester City mampu pergi jauh.”

Penulis

Artikel ini ditulis oleh Izzuddin Ismail untuk disiarkan di thesukan.com

Baca Juga

Baca Juga