Pep Guardiola Percaya Seluruh England Kini Mengharap Liverpool Menjuarai Liga Berbanding City

Pep Guardiola tampil mendakwa yang seluruh England dan kesemua media Inggeris pada ketika ini mahukan Liverpool untuk menjuarai saingan Premier League dan bukannya Manchester City.

Manchester City dan Liverpool pada ketika ini sedang bersaing rapat dalam memburu gelaran Premier League musim ini.

Kedua-dua pasukan ketika ini dipisahkan dengan perbezaan tiga mata dengan baki tiga perlawanan sebelum berakhirnya musim ini.

Persaingan mereka sangat sengit dengan Liverpool sebelum ini hanya ketinggalan satu mata sahaja di belakang Manchester City.

Liverpool walau bagaimanapun sekadar mampu mencatatkan keputusan seri 1-1 bertemu Tottenham Hotspur di Anfield, sementara Manchester City pula kenduri gol membelasah Newcastle United 5-0 malam semalam.

Keputusan itu menyebabkan Liverpool terpaksa akur 3 mata di belakang Manchester City dan jelas sekali mereka kini semakin sukar untuk memintas skuad kendalian Pep Guardiola itu.

Seandainya Man City tewas salah satu dari tiga baki perlawanan mereka, Liverpool sepertinya masih sukar untuk memintas mereka dek kerana The Citizens kini mempunyai kelebihan dari segi jumlah jaringan.

Bercakap selepas tamat perlawanan, pengurus Man City itu mendakwa yang seluruh negara terutama sekali pihak media pada ketika ini berdiri teguh dibelakang Liverpool.

Beliau sepertinya turut menganjing Liverpool dengan menganggap mereka hanya memenangi gelaran liga sekali sahaja dalam tempoh 30 tahun.

“Semua orang di negara ini menyokong Liverpool, media dan semua orang.”

Jelas bekas pengurus Barcelona itu kepada beIN SPORTS.

“Sudah tentu kerana Liverpool ada sejarah yang menakjubkan di pertandingan Eropah, bukan dalam saingan Premier League kerana mereka hanya menang sekali sahaja dalam tempoh 30 tahun. Tapi itu bukan masalah sama sekali.”

“Situasi dia macam itu lah pada Ketika ini.”

“Kita perlu pisahkan dengan sembilan mata atau enam mata sekarang, ia bergantung pada apa yang akan berlaku dari dua perlawanan selepas ini dari seti perbezaan jaringan, tapi sekarang, perlawanan Rabu ini merupakan perlawanan akhir yang sebenarnya untuk kami.”

“Kami akan berusaha untuk menang di sana. Sasaran kami ada di tangan kami dan ia sangat penting. Kita perlu lihat pada diri sendiri. Dengan kelebihan satu mata atau tiga mata, tak ada yang berubah, kita perlu lakukan itu.”

Kemenangan ke atas Newcastle United merupakan kemenangan yang sangat bermakna apa lagi dengan kejayaan mereka mencatatkan keputusan 5-0.

Kemenangan itu juga berjaya menutup mulut para pengkritik yang mengkritik mentaliti mereka selepas tersingkirnya mereka dari saingan Champions League musim ini.

Selepas perlawanan, pengurus berusia 51 tahun itu mendedahkan yang Ruben Dias, John Stones dan Kyle Walker akan terpaksa diketepikan sepanjang musim ini kerana dibelenggu masalah kecederaan.

Pengurus Man City itu bahkan tak nampak risau dengan keadaan pada ketika ini dengan beliau tampil menyatakan:

“Saya langsung tak risau… Kerana jika Phil Foden terpaksa bermain di posisi centre-back, dia akan bermain di posisi centre-back.”

Ketika ditanya semula adakah beliau serious dengan kenyataan tersebut, Pep dengan segera mengesahkan beliau sekadar bergurau.

Jelas sekali beliau tidak begitu bimbang dek kerana beliau sedar yang sangat sukar sebenarnya untuk Liverpool memintas Man City pada ketika ini dengan saingan musim ini sudah hampir tamat.

Man City juga kini hanya akan menumpukan kepada saingan Premier League sahaja sementara Liverpool pula perlu beri tumpuan kepada perlawanan akhir FA Cup, perlawanan akhir Champions League dan saingan liga.

Jelas sekali kelebihan memihak kepada The Citizens berbanding Liverpool dan kerana itulah beliau tak begitu bimbang dengan situasi pada ketika ini.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Guardiola Tampil Beri Penjelasan Insiden De Bruyne Jerit "Diamlah, Diamlah" Ke Arahnya