Pep Guardiola Sahkan Sane Menolak Kontrak Baru Bersama City

Leroy Sane pasti akan meninggalkan Manchester City pada jendela perpindahan musim panas ini atau mungkin musim depan.

Hal ini kerana Pep Guardiola telah mengesahkan bahawa pemain sayap itu telah beberapa kali menolak tawaran perjanjian baru dan beliau turut memberitahu kelab bahawa dirinya mahu keluar.

Pemain berusia 24 tahun itu sering dikaitkan dengan perpindahan keluar dari Etihad Stadium untuk bersama Bayern Munich, tetapi sehingga kini masih tiada sebarang rundingan yang berjalan.

Manchester City sendiri masih berminat untuk menyimpan beliau dan menandatangani perjanjian baru bersamanya namun ianya tidak untuk Sane.

Pada Jumaat lalu, dalam satu sidang media, Guardiola mendedahkan bahawa bekas pemain Schalke itu telah menolak perjanjian baru dan beliau tetap akan meninggalkan pasukan sebaik kontraknya tamat pada tahun 2021 atau mungkin lebih awal.

“Leroy pernah cakap bahawa dia tidak mahu menyambung kontraknya disini. Dia mahu pergi.”

Jelas Pep Guardiola.

“Ianya akan terjadi pada musim panas ini atau mungkin ketika dia kehabisan kontrak nanti.”

“Kelab sudah bercakap sendiri dengan Sane dua atau tiga kali untuk melanjutkan kontraknya. Dia tetap menolak. Dia mahu beraksi bersama pasukan lain.”

“Sekiranya sehingga habis musim kedua-dua kelab bersetuju untuk menguruskan perpindahan beliau, maka dia akan pergi, jika tiada kelab berminat, maka dia akan kekal disini satu tahun lagi dan akan meninggalkan kelab sebaik kontraknya tamat.”

Sane sudah dijangka akan meninggalkan City untuk ke Bayern musim panas lalu, yang mana ketika itu Arjen Robben dan Frank Ribery telah meninggalkan Bayern, tetapi Juara Bundesliga itu tidak membuat sebarang tawaran untuk mendapatkannya.

Sane musim ini hanya sempat bermain selama 10 minit sahaja ketika perlawanan Community Shield bertemu Liverpool dan beliau ketika itu mengalami kecederaan ACL dan terus berehat sehingga sekarang.

Dengan dirinya terpaksa berehat sepanjang musim kerana kecederaan ACL yang serius, sukar untuk Sane mendapatkan kelab baru dengan rekod kecederaan yang beliau miliki.

Guardiola turut sangat berharap dirinya dapat memujuk Sane untuk mengikat kontrak bersama kelab dan beliau turut akui dirinya kecewa dengan berita-berita yang beliau baca tentang Sane.

“Saya sangat kecewa. Ketika kami membuat tawaran kepada pemain, ianya kerana kami mahukan dia. Kami mencuba untuk menandatangani dia sebelum dia cedera bahkan selepas dia mengalami kecederaan kami masih mencuba. Tetapi dia ada perancangan lain dan saya memahaminya.”

“Kami mahukan seorang pemain yang mahu bermain untuk kelab, pemain yang sanggup berusaha untuk mencapai sesuatu disini, sudah tentu saya tetap menghormati dia. Saya tiada sebarang masalah dengan dia. Tetapi dia sendiri meminta untuk mencuba sesuatu yang baru dalam kariernya. Jadi kami akan lepaskan dia dan mencari pemain yang mahu terus berada disini.”

Pemain sayap itu sebelum ini menjadi sebut sebutan selepas tidak mendapat panggilan untuk menyertai pasukan Piala Dunia Jerman pada tahun 2018 yang lalu.

Beliau ketika itu telah mempamerkan aksi yang hebat bersama City tetapi mungkin dirinya masih belum cukup bagus di mata pengurus pasukan kebangsaan Jerman pada ketika itu.

Walau dirinya tidak beraksi dalam sebarang perlawanan untuk City sejak cedera ketika Community Shield yang lalu, Sane masih lagi pemain yang diminati oleh beberapa pasukan gergasi Eropah.

BACA:  [VIDEO] Sane Sekali Lagi Menjadi Mangsa Terjahan Keras Ketika Bermain Untuk Jerman