Pep Guardiola Terpukau Dengan Persembahan Menakjubkan Kevin De Bruyne

Pengurus Manchester City, Pep Guardiola tidak mampu menggambarkan dengan kata-kata persembahan yang ditampilkan Kevin De Bruyne selepas pemain ini cemerlang membantu City menang 4-1 ke atas Tottenham Hotspurs awal pagi tadi.

De Bruyne merupakan jantung kepada jentera tengah City dan menjadi arkitek kepada setiap serangan yang dilancarkan pasukannya dalam perlawanan tersebut. City mudah memenangi perlawanan ke-17 mereka musim ini dan De Bruyne turut menyumbang satu gol disamping mengkucar-kacirkan barisan pertahanan Spurs tanpa henti.

Kemenangan tersebut merupakan kemenangan ke-16 berturut-turut yang berjaya dicatatkan City sekaligus mencipta rekod baru dalam saingan Liga Perdana Inggeris.

Dalam sidang media selepas tamat perlawanan, Guardiola berkata beliau tidak mempunyai perkataan yang mampu menggambarkan impak De Bruyne dalam perlawanan itu dan turut memberikan komen mengenai terjahan keras Dele Alli terhadap De Bruyne ketika perlawanan berlangsung.

“Saya mahu mengucapkan terima kasih kepada semua pemain, terutamanya kepada Kevin De Bruyne yang merupakan antara pemain paling berbakat. Kamu boleh lihat bagaimana beliau membawa bola dalam perlawanan tadi. De Bruyne merupakan contoh terbaik kepada pemain muda di akademi kami.”

“Setiap pemain muda di akademi kami tahu betapa bagusnya Kevin De Bruyne dan apabila mereka melihat pemain ini membawa dan bertarung untuk mendapatkan bola, itu adalah contoh terbaik kepada pemain-pemain muda kami. De Bruyne banyak membantu kami menjadi kelab yang lebih baik di masa hadapan.Saya tiada perkataan yang mampu menggambarkan persembahan beliau hari ini.”

Manchester City kini 14 mata di hadapan pencabar terdekat mereka iaitu Manchester United yang bakal membuat kunjungan ke West Bromwich Albion malam ini dalam usaha untuk mengejar kedudukan City.

Spurs pula turun ke tangga ke-7 liga selepas Arsenal mencatatkan kemenangan ke atas Newcastle dan kini menduduki tangga ke-4. Walaupun Manchester City menang mudah ke atas Spurs, Guardiola sempat mengambil masa untuk memuji anak buat Mauricio Pochettino selepas selesai perlawanan.

“Kami berjaya menampilkan satu persembahan yang sangat menakjubkan. Kami berjaya menjaringkan 4 gol dan mencipta banyak peluang menentang salah sebuah pasukan terkuat yang dikendalikan oleh salah seorang pengurus terbaik di dunia. Kami sangat berpuas hati dengna mentaliti yang ditunjukkan pasukan ketika ini selepas menang 16 perlawanan berturut-turut.”

“Saya sangat bangga dengan pasukan saya dan staff kejurulatihan kelab ini. Saya tiada mood untuk merendah diri hari ini. Kami bekerja sangant keras dan mereka semua mengetahuinya. Akan tetapi tanpa sokongan padu dari kelab dan pemain yang bagus, mustahil untuk kami melakukan perkara sebegini.”

Apabila ditanya mengenai terjahan keras Dele Alli kepada Kevin De Bruyne, beliau berasa amat lega pemain bintangnya itu tidak mengalami sebarang kecederaan yang serius walaupun ulang tayang menunjukkan terjahan tersebut mampu mencederakan De Bruyne.

“Nasib baik De Bruyne hanya mengalami kesakitan yang biasa.”

Baca Juga

Baca Juga