Perak TBG Haruslah Bijak Memanfaatkan Pra-Musim 2018

Perak TBG merupakan salah satu pasukan terbaik di Malaysia dengan rekod bersih tanpa penyingkiran ke Liga Perdana sejak Liga Super diperkenalkan. Dengan berjaya menduduki kedudukan ke-5 liga dan mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia, Perak dilihat bakal menjadi pencabar utama Liga-M musim 2018.

Sebagai salah seorang peminat Perak TBG, sudah pastinya saya mahukan yang terbaik buat pasukan kesayangan saya. Oleh itu, Perak TBG haruslah bijak memanfaatkan masa yang ada untuk mempersiapkan pasukan sebaik-baiknya.

1. Mengawal Aliran Keluar Masuk Pemain

Perak Harus Mengekalkan Struktur Yang Sedia Ada Untuk Mara Lebih Jauh | Kredit : Perak TBG

Sejujurnya, saya benar-benar risau apabila mendengar begitu banyak khabar angin tentang pemain keluar dan masuk. Apabila terdapat banyak pemain keluar dan masuk, tindakan ini umpama merobohkan bangunan yang separa siap demi membina bangunan yang sama.

Perak TBG haruslah bijak untuk mengawal aliran keluar masuk pemain dengan cuba untuk mengekalkan pemain sedia ada dan hanya menambahbaik posisi yang kekurangan pemain berkualiti. Perak TBG memanfaatkan kouta pemain yang disediakan untuk memastikan ‘squad depth’ itu sentiasa dalam keadaan terbaik.

Elakkan membeli pemain atas status ‘bintang’ sahaja. Mehmet haruslah bijak menilai pemain yang dibelinya berdasarkan pendekatan taktikalnya dan penggunaan mereka dalam pelan sampingan. Perak juga harus menumpukan hal pembangunan akar umbi dan memanggil beberapa pemain Piala Presiden untuk beraksi di Liga Super.

Ini pula cadangan saya tentang pemain dan jurulatih : Cadangan Pemain Dan Jurulatih (Facebook)

2. Memilih Lokasi/Negara Untuk Dijadikan Kem Latihan Tertutup Pra-Musim

Contoh Persekitaran Kem Latihan Tertutup | Kredit : Nike

Terdapat lebih kurang 2 1/2 bulan buat pasukan dan kelab untuk menyiapkan pasukan mereka sebaik-baiknya. Oleh itu, Perak haruslah bijak menyusun jadual dan lokasi mereka untuk mengadakan kem latihan tertutup mereka.

Jika Pulau Pangkor merupakan lokasi kem latihan mereka pada musim ini, mungkin Bangkok atau Jakarta boleh dijadikan lokasi kem latihan tertutup mereka pada suatu masa yang ditetapkan.

Kem latihan tertutup bagus untuk membina motivasi dan keharmonian pasukan serta merangka atau mencuba pelan-pelan baharu tanpa diketahui pihak lawan. Sebagai contoh, Perak boleh pergi ke Indonesia selama tiga minggu dan mengadakan  beberapa siri perlawanan persahabatan di sana tanpa pengetahuan umum.

3. Mempromosikan Pasukan Ke Semua Daerah-Daerah Negeri Perak

Sebenarnya, program sebegini sudah dijalankan oleh pihak pengurusan namun tidak menyeluruh ke setiap pelusuk daerah di negeri Perak. Seperti program Pemukiman Menteri Besar, program ini bertujuan untuk mendekatkan diri dengan peminat dan mempromosikan bola sepak Perak dalam kalangan penduduk setempat.

Saya berpendapat, Perak boleh mengadakan beberapa program selama 2-3 hari di satu-satu daerah yang melibatkan semua kumpulan umur. Sebagai contoh, sesi ‘meet & greet’ bersama peminat yang lebih tua manakala sesi klinik bola sepak untuk peminat bawah umur. Cumanya, perlawanan dengan masyarakat setempat itu mungkin tidak relevan jika dimainkan oleh skuad Liga Super.

Perak juga boleh mengadakan sesi jualan barangan dan cenderahati rasmi sepanjang program ini dijalankan. Secara tidak langsung, terdapat sedikit pendapatan yang boleh dikutip pihak pengurusan sepanjang program ini berlangsung. Hendak tahu produk paling laris? Jersi pemain terbaik pasukan beserta nama, nombor jersi dan tandatangannya sekali.

Kesimpulannya, PAFA haruslah menggunakan waktu yang ada ini sebaik-baiknya untuk memperkukuhkan pasukan. Sesungguhnya, pasukan yang hebat itu merupakan pasukan yang bijak untuk mengambil peluang.

Baca Juga

Baca Juga