Perbandingan Kylian Mbappe dan Cristiano Ronaldo Pada Usia 18 Tahun

Tidak dapat dinafikan lagi bahawa Cristiano Ronaldo merupakan pemain yang terhebat yang pernah dilahirkan di muka bumi ini. Apa tidaknya, setiap pasukan yang diwakilinya pasti akan menempa kejayaan. Lihat sahaja Manchester United, Real Madrid, Portugal dan kemungkinan besar Sime Darby FC.

Apabila kejayaan demi kejayaan dicapai, maka Ronaldo telah mencapai status sebagai seorang legenda walaupun sering digelar Penaldo, Ronaldo Copy Ori 1:1 atau King of Tapins.

Bergelar seorang legenda, maka sering kali pemain baharu yang mula timbul di arena bola sepak dunia akan dibandingkan dengan pemain ini dan yang terbaharu, bintang Paris Saint Germain – Kylian Mbappe.

Laman bola sepak England, Dream Team telah menulis mengenai perbandingan kedua-dua pemain ini pada usia 18 tahun – usia Mbappe pada tahun ini.

Memandangkan admin berjaya mendapat band 9 IELTS dan memegang ijazah sarjana muda Kesusasteraan Inggeris dari Leeds University, maka admin terjemahkan dan rumuskan apa kata laman tersebut.

Menjelma ke Dunia Bola Sepak

Mbappe mula dikenali dunia selepas dua musim beraksi sebagai pemain professional. Dalam separuh kedua musim 2015-16, dia telah memecahkan dua rekod Thierry henry – Pemain Terbaik Monaco Paling Muda dan Penjaring Termuda.

Akan tetapi ketika itu tidak ramai yang mengenali Mbappe melainkan penagih Football Manager dan juga peminat Ligue 1. Nama Mbappe mula meningkat selepas Monaco tampil cemerlang dalam Liga Juara-juara pada musim lalu dan secara keseluruhannya, Mbappe telah menjaringkan 26 gol dalam kesemua pertandingan disertainya.

Cerita Ronaldo pula sebenarnya tidaklah semenggah Mbappe. Pada usia 18 tahun, Ronaldo telah menjaringkan lima gol buat Sporting CP, tiga daripadanya dalam Liga Portugal.

Namun aksi Ronaldo yang licik mengelecek bola meninggalkan pemain lawan telah berjaya memukau pemerhati bola sepak.

Secara keseluruhannya, Mbappe dilihat lebih padu dan hebat. Mbappe 1-0 Ronaldo.

Perpindahan Besar Pertama

Perpindahan besar akan berlaku kepada pemain hebat yang bermain di pasukan cap ayam. Itu adalah lumrah dunia. Tak percaya kau tengok Hazwan Bakri atau Shakir Shaari.

Ketika berusia 18 tahun, Ronaldo berpindah ke Manchester United selepas berjaya mengayam-ayamkan John O’Shea dalam perlawanan persahabatan antara Sporting CP dan Manchester United. Nilainya pula dalam perpindahan tersebut adalah £12.24 juta – paling mahal bagi seorang belia dalam sejarah bola sepak England ketika itu.

Mbappe pula telah berpindah ke pasukan gergasi Perancis, PSG secara pinjaman, dengan perjanjian pembelian tetap bernilai £12.24 juta pada musim panas nanti. Setakat ini Mbappe dilihat tiada masalah menyesuaikan diri dengan pemain bertaraf bintang lain seperti Neymar, Edinson Cavani dan Angel Di Maria.

Dengan mengambil kira taraf kelab ketika kedua-dua pemain ini sertai, satu mata untuk setiap pemain.

Mbappe 2-1 Ronaldo.

Peringkat Antarabangsa

Perlawanan bersama pasukan kebangsaan biasanya menjadi penentu kepada kehebatan seseorang pemain. Mana tidaknya, kalau bermain bersama kelab, pemain tersebut dapat bermain dengan pemain terbaik manakala bersama skuad kebangsaan, pemain perlu bermain dengan pool pemain yang ada.

Setakat berusia 18 tahun, Mbappe telah bermain sebanyak lapan perlawanan bersama skuad kebangsaan Perancis dan dia telah menjaringkan 1 gol. Ronaldo juga telah bermain sebanyak 8 perlawanan buat Portugal ketika usia yang sama namun bezanya, dia telah menjaringkan 8 gol – satu gol satu perlawanan secara purata.

Jika dibandingkan kekuatan kedua-dua pasukan, Perancis dan Portugal, mereka mempunyai kekuatan yang hampir setara. Perancis kini mampu membariskan pemain seperti Paul Pogba, Antoine Griezmann danN’Golo Kante manakala Portugal pada era pensabunan Ronaldo pula mempunyai pemain seperti Luis Figo, Deco dan juga Pedro Pauleta.

Posisi kedua-dua pemain juga sama – sayap kanan. Jadi, dalam hal ini Ronaldo dilihat lebih menonjol daripada Mbappe.

Mbappe 2-2 Ronaldo.

Kesimpulan

Kesimpulannya, secara keseluruhannya Mbappe dan Ronaldo boleh dikatakan sama hebat pada usia yang sama – 18 tahun. Seperti yang kita ketahui, Ronaldo terus melonjak menjadi pemain terbaik dunia dan kesemuanya adalah hasil kerja keras dan fokus yang tinggi.

Jika Mbappe mahu menjadi setaraf Ronaldo pada usia 33 tahun nanti, dia pastinya perlu kekal fokus dan meletakkan sasaran yang sentiasa tinggi. Jika dia berjaya, tidak mustahil dia akan menjadi antara pemain terbaik dunia dalam tempoh 7 hingga 8 tahun nanti, melainkan dia memilih untuk bermain di liga sebuah negara di Asia Tenggara.

Perbandingan ini adalah ketika Mbappe 18 tahun dan sekarang sudah berusia 19 tahun. Hujung tahun ni cukup 20.

Baca Juga

Baca Juga