Perdebatan Hangat Messi Dengan Pegawai Kesihatan Brazil Mencuri Tumpuan Peminat

Perbualan ketika Messi sedang berdebat dengan pegawai kesihatan Brazil tular di media sosial pada ketika ini, dengan ramai yang tertarik untuk membincangkannya.

Perdebatan itu berlaku selepas perlawanan antara Brazil bertemu Argentina dihentikan dan digantung atas masalah melibatkan pemain Argentina.

Perlawanan kelayakan Piala Dunia itu hanya sempat dilangsungkan selama tujuh minit sahaja, sebelum dihentikan oleh pegawai kesihatan Brazil bersama pihak polis.

Petugas kesihatan Brazil masuk ke padang permainan, dan memanggil empat pemain Argentina yang dikatakan telah melanggar protokol pandemik.

Ia kerana pihak berwajib dari Brazil telah menyatakan yang empat pemain dari skuad Argentina itu perlu menjalani sesi kuarantin selepas mereka tiba dari England.

Kesemua pemain tersebut adalah pemain yang beraksi dalam saingan Premier League iaitu Emiliano Buendia, Emiliano Martinez, Giovani Lo Celso dan Cristian Romero.

Berdasarkan peraturan semasa di Brazil Emiliano Buendia, Emiliano Martinez, Giovani Lo Celso dan Cristian Romero sepatutnya menjalani kuarantin selama 14 hari sebaik mereka tiba di Brazil.

Kegagalan empat pemain ini mematuhi peraturan tersebut telah menyebabkan perlawanan dihentikan walaupun CONMEBOL telah mendakwa akan memberikan tiga mata kepada Argentina.

Emiliano Martinez, Giovani Lo Celso dan Cristian Romero telah bermula dari kesebelasan utama dan hasilnya perlawanan telah dihentikan selepas 7 minit permainan oleh pihak polis dan pihak kesihatan.

Perlawanan tersebut tidak diteruskan selepas gangguan kontroversi dari pegawai kesihatan dan pihak polis, dengan Messi dikatakan telah meluahkan kemarahannya kepada petugas kesihatan.

Menurut sumber laporan dari RMC Sport, Messi menjelaskan kepada pegawai kesihatan tersebut bahawa:

“Kami sudah berada di sini sejak tiga hari yang lalu, kami menanti untuk bermain dalam perlawanan ini, kenapa kamu tidak datang lebih awal?”

“Ini memang menyusahkan, kami mahu pergi.”

Pengurus Argentina, Lionel Scaloni menyatakan yang situasi tersebut membuatkan beliau benar-benar sedih dan beliau turut mengkritik pegawai kesihatan Brazil kerana mengganggu perlawanan tersebut.

“Ia membuatkan saya sangat sedih.”

Jelas Scaloni.

“Saya bukan mahu mencari salah sesiapa. Jika sesuatu berlaku atau tidak berlaku, itu bukan masa yang sesuai untuk mereka campur tangan.”

“Ia sepatutnya pesta untuk semua orang, untuk menikmati aksi pemain terhebat dunia. Saya berharap orang-orang Argentina cuba untuk faham, yang sebagai pengurus saya perlu pertahankan pemain saya.”

“Kami tidak tahu yang kami tidak boleh bermain dalam perlawanan tersebut. Kami mahu bermain, pemain Brazil juga begitu.”

Sehingga kini masih belum ada tarikh rasmi tentang penjadualan semula perlawanan antara Brazil bertemu Argentina.

Kedua-dua pasukan itu akan kembali beraksi pada hari Jumaat nanti, dan pertemuan semula mereka akan diumumkan selepas FIFA menetapkan tarikh baru.

Premier League telah sedaya upaya berusaha menghalang pemain mereka dari menyertai tiga perlawanan kelayakan Piala Dunia di Amerika Selatan ketika rehat antarabangsa ini.

Negara dari benua Amerika Selatan telah disenaraikan sebagai kawasan zon merah di UK, dengan sesiapa yang datang dari kawasan tersebut, perlu menjalani sesi kuarantin wajib selama 10 hari.

Untuk mengelakkan para pemain dari terlepas sesi latihan, perlawanan liga, Champions League, Europa League selepas tamat rehat antarabangsa, maka Premier League tidak mahu ada pemain yang perlu menjalani sesi kuarantin wajib tersebut.

Namun para pemain pula tentunya mahu beraksi untuk skuad kebangsaan masing-masing, kerana andai mereka tidak beraksi, tempat mereka bakal diisi oleh pemain lain.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Conte: Pemain Seperti Messi Hanya Hadir Sekali Dalam 50 Tahun