Perdebatan Tentang Gaya Permainan Enzo Maresca di Chelsea Berterusan

Perlawanan kedua yang dikenali sebagai ‘Derbi Enzo Maresca’ pada hujung minggu ini mempertemukan dua kumpulan penyokong yang kini berkongsi pandangan yang sama terhadap ketua jurulatih Chelsea berbanding ketika mereka bertemu untuk kali pertama 4 bulan lepas.

Ketika Maresca kembali ke Leicester City (bekas pasukannya) untuk kali pertama bersama Chelsea pada 23 November, pada ketika itu popularitinya dalam kalangan penyokong Chelsea semakin meningkat. Chelsea menang 2-1 dan membantu kelab itu naik ke tangga ke-3 Liga Perdana. Secara keseluruhannya sokongan terhadap jurulatih dari Itali itu ketika itu amat positif.

Namun sejak 3 bulan lepas, prestasi Chelsea telah merosot dan telah mencetuskan perpecahan pendapat dalam kalangan peminat.

Maresca pernah mengalami situasi yang hampir sama di Leicester pada tahun lalu. Ketika itu, Leicester berada di landasan tepat untuk kembali ke Liga Perdana selepas hanya semusim di Championship, dengan kelebihan 12 mata pada Februari. Namun kelebihan itu semakin berkurangan sehingga pada satu masa mereka hanya mempunyai kelebihan 1 mata menjelang penghujung musim.

Maresca mungkin merasakan usahanya kurang dihargai kerana dia tetap berjaya membawa Leicester kembali ke Liga Perdana sebagai juara. Sementara itu, Chelsea kini hanya ketinggalan 5 mata di belakang pasukan di tempat ke-3 dan turut dianggap sebagai calon utama untuk menjuarai Liga Konferens Eropah.

Walaupun Chelsea menang 2-1 ke atas FC Copenhagen dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Konferens UEFA pada Khamis lepas, Maresca masih lagi dikritik berbanding dipuji oleh penyokongnya. Keadaan ini mengingatkan kembali cabaran yang pernah dihadapi Maresca pada penghujung musim 2023-24 ketika bersama Leicester, di mana corak permainan pasukannya sering dipersoalkan meskipun mereka meraih kemenangan.

Oleh itu, tidak mustahil ramai penyokong kedua-dua kelab akan berkongsi pandangan yang sama apabila Chelsea dan Leicester bertemu di Stamford Bridge pada hari Ahad nanti.

Bahagian 2

Menurut Iain Wright, seorang penyokong Leicester yang telah memiliki tiket bermusim selama lebih 20 tahun, perbincangan mengenai musim lalu kedengaran sama dengan rungutan penyokong Chelsea musim ini.

“Kekecewaan mula timbul apabila pasukan lawan seolah-olah sudah memahami corak permainan kami. Mereka tahu kami akan memulakan perlawanan dengan perlahan, menguasai bola, tidak terlalu menekan lawan dan akhirnya menunggu peluang untuk menjaringkan gol.

“Apa yang mula berlaku ialah pasukan lawan mencuri bola, melancarkan serangan balas dan menjaringkan gol. Selepas itu, pasukan kami kelihatan tidak tahu apa yang perlu dilakukan. Kadangkala, Maresca seolah-olah hanya membiarkan perlawanan berlaku tanpa mengawalnya. Saya rasa itulah yang paling ketara dalam separuh kedua musim lalu.”

“Keresahan mula menyelubungi penyokong. Saya masih ingat satu perlawanan di mana kami ketinggalan 0-1 di tempat lawan menentang Bristol City pada Mac tahun lalu. Permainan sudah memasuki masa kecederaan tetapi kami masih lagi bermain hantaran di bahagian tengah. Kami semua hanya mampu menjerit, ‘Hantarlah bola ke dalam kotak penalti!’.”

Dalam perlawanan terakhir Chelsea di tempat sendiri menentang Southampton, sorakan ejekan dari penyokong jelas kedengaran apabila penjaga gol Filip Jorgensen dan barisan pertahanan hanya saling menghantar bola secara mendatar ketika kedudukan masih 0-0. Walaupun Chelsea menang 4-0, ketidakpuasan hati terhadap corak permainan Maresca tetap wujud.

Clayton Beerman, seorang pemegang tiket bermusim Chelsea selama lebih 40 tahun, tidak begitu teruja dengan apa yang ditontonnya setakat ini:

“Sebahagian daripada bola sepak yang kami saksikan sejak beberapa bulan kebelakangan ini seburuk era (Maurizio) Sarri (ketua jurulatih Chelsea pada musim 2018-19). Permainannya perlahan, membosankan dan secara keseluruhannya tidak menyeronokkan.”

Beerman tidak keseorangan. Jonathan Kydd, pemegang tiket bermusim Stamford Bridge selama 35 tahun turut berkongsi sentimen yang sama.

“Dia mempunyai pemain yang pantas dan bertenaga tetapi dia telah menyekat keupayaan mereka,” kata Kydd mengenai Maresca. “Dia cuba menerapkan satu gaya permainan yang kelihatan seperti tiruan kepada taktik Pep Guardiola tetapi yang terjadi hanyalah kekeliruan di kalangan pemain.

“Ia telah menghilangkan naluri semula jadi dan semangat pemain. Itu adalah masalah utama saya ketika menonton pasukan ini – kurangnya tenaga dan semangat. Dia berjaya menjadikan Malo Gusto sebagai pemain biasa, sedangkan tahun lalu dia sangat cemerlang. Maresca tidak mahu bermain bola sepak yang pantas dan agresif.

Maksudnya, jika pemain tidak dapat menyesuaikan diri dengan sistem taktikal Maresca, maka pasukan akan menghadapi masalah. Tidak ada gunanya dia berkeras mahu mengekalkan sistem tersebut tanpa mengambil kira keadaan di atas padang.

“Penyokong Chelsea bukanlah orang yang tidak faham bola sepak. Mereka sudah terbiasa menyaksikan permainan berkualiti tinggi selama 20 tahun. Jadi, apabila mereka melihat pasukan bermain dengan cara yang perlahan dan kurang berkesan, mereka bukannya menolak falsafah bola sepak Maresca. Sebaliknya, mereka mahukan perubahan dan penyelesaian supaya pasukan dapat bermain dengan lebih baik.”

Bahagian 3

Bukan sahaja penyokong Chelsea yang kecewa dengan cara permainan Maresca tetapi ada yang merasakan dia terlalu negatif dalam pendekatannya. Graham Barker, seorang penyokong Chelsea yang telah mengikuti pasukan ini sejak tahun 1986 turut meluahkan rasa tidak puas hati terhadap gaya permainan yang terlalu berhati-hati.

“Saya tidak suka apabila pasukan terlalu banyak membuat hantaran ke tepi,” katanya. “Saya rasa Maresca semakin lama semakin bermain secara defensif dan terlalu berhati-hati. Dia cuba mengawal permainan dengan hantaran ke sisi dan ke belakang, tetapi cara itu tidak akan membawa kemenangan.”

“Pasukan lawan yang bagus hanya perlukan satu peluang untuk menjaringkan gol. Jadi, jika Chelsea sekadar menguasai bola 68% sepanjang perlawanan tetapi tidak mencipta peluang berbahaya, ia tidak berguna langsung.”

Namun, tidak semua penyokong bersikap pesimis terhadap Maresca. Tom Overend, seorang penyokong Chelsea yang lebih muda, berusia 26 tahun, melihat sesuatu yang positif dalam corak permainan pasukan.

“Saya suka bagaimana dia memperkenalkan gaya permainan yang tersusun. Saya juga kagum dengan caranya menyesuaikan diri dengan kecederaan pemain, contohnya menggunakan Pedro Neto sebagai penyerang utama ketika Nicolas Jackson tidak dapat bermain.”

“Penguasaannya terhadap aspek taktikal sangat baik dan bagi seorang jurulatih yang masih baru, dia berjaya membawa satu bentuk ketegasan dalam kelab ini. Walaupun ada perkara dalam sidang media yang boleh membuatkan kita kecewa, secara keseluruhan dia masih menunjukkan imej seorang ketua yang berwibawa.”

“Saya rasa penyokong terbahagi kepada dua kumpulan. Ada yang percaya bahawa sudah menjadi kebiasaan Chelsea untuk memecat jurulatih jika mereka gagal mencapai sasaran dalam satu musim. Tapi ada juga yang berpendapat Maresca patut diberi lebih masa, tidak seperti pengurus sebelum ini.

“Pendapat memang terbahagi hampir sama banyak. Namun ramai yang setuju bahawa jika Maresca berjaya membawa Chelsea ke Liga Juara-Juara musim depan, dia patut dikekalkan. Jika gagal, kemungkinan besar dia akan dipecat. Tapi bagi saya, itu satu tekanan yang terlalu besar kerana Chelsea perlu melihat untuk jangka masa panjang bukan sekadar pencapaian musim ini.”

Salah satu isu yang mencetuskan perdebatan dalam kalangan penyokong ialah kenyataan Maresca dalam sidang medianya. Ketika Chelsea berada di tangga ke-2 liga sebelum Krismas, jurulatih itu secara terbuka mengatakan pasukannya tidak cukup kuat untuk bersaing merebut kejuaraan. Selain itu, kenyataannya mengenai sasaran kelayakan ke Liga Juara-Juara juga bercampur-baur, menyebabkan penyokong keliru.

Kydd menambah:

“Saya mula meragui Maresca apabila dia berkata kami tidak cukup bagus untuk bersaing merebut gelaran sedangkan kami berada di tangga ke-2 liga. Anda tidak akan mendengar pengurus Bournemouth, Andoni Iraola, berkata, ‘Kami tak cukup bagus’ ketika pasukan mereka berada di tangga ke-5 dan bermain dengan baik. Anda perlu percaya dengan pasukan anda dan terus berjuang bukannya memberi kenyataan negatif yang merosakkan semangat pemain dan penyokong.

“Kenyataan terburuk yang pernah dia buat ialah selepas kami tersingkir dari Piala FA, di mana dia berkata, ‘Ini memberi peluang kepada kami untuk fokus kepada liga.’ Bagi saya, itu satu penghinaan kepada segala yang Chelsea perjuangkan. Chelsea adalah pasukan yang hebat dalam kejohanan piala dan piala-piala ini sangat bermakna untuk penyokong. Kenyataan itu tidak sensitif dan menunjukkan kurangnya pemahaman terhadap budaya kelab ini.”

Bahagian 4

Walaupun terdapat banyak kritikan terhadap Maresca, masih ada penyokong yang berpendapat dia perlu diberikan masa untuk membuktikan keupayaannya. Barker, yang sebelum ini mengkritik gaya permainan Maresca turut mengakui bahawa setiap pengurus memerlukan ruang untuk berkembang.

“Saya percaya dia perlu diberi masa untuk membina sesuatu di Chelsea,” katanya. “Namun, saya juga rasa dia perlu lebih berani dalam sidang media.

“Ada keseimbangan antara bersikap realistik dan memberi keyakinan kepada pasukan. Sebagai pengurus Chelsea, anda perlu menunjukkan keyakinan sejak awal musim dengan mengatakan, ‘Saya mahu menjuarai liga atau sekurang-kurangnya berada dalam kelompok 4 teratas. Saya mahu mara jauh dalam kejohanan Piala dan Eropah dan saya mahu memenangi sekurang-kurangnya 1 trofi atau sekurang-kurangnya sampai ke peringkat akhir.’ Jika anda memberi isyarat negatif kepada pemain sejak awal, ia seolah-olah memberi mereka alasan untuk tidak berusaha lebih keras.”

Di sebalik segala ketidakpastian yang menyelubungi masa depan Maresca di Chelsea, penyokong Leicester City masih mempunyai pandangan positif terhadap bekas pengurus mereka. Walaupun mereka turut mengalami kekecewaan terhadap taktiknya pada musim lalu, kebanyakan mereka masih menghormatinya dan berasa kecewa kerana tidak dapat melihat Maresca membawa Leicester bersaing dalam Liga Perdana Inggeris.

Wright, penyokong Leicester, berkata:

“Saya rasa penyokong Leicester cepat menyukai Maresca kerana dia mempunyai karisma dan aura tersendiri dan ia cukup penting dalam bola sepak moden.”

“Kebanyakan penyokong Leicester masih kecewa dengan pemergiannya. Kami sebenarnya ingin melihat bagaimana dia mengurus pasukan ini dalam Liga Perdana. Tetapi sekarang dia bersama Chelsea dan kami hanya mampu memerhati dari jauh apa yang sedang dilakukannya di sana.”

Di Chelsea, kemampuan Maresca untuk berhubung dengan penyokong juga menjadi satu kelebihan buatnya. Pengurus sebelum ini, Graham Potter dan Mauricio Pochettino gagal membina hubungan erat dengan penyokong semasa tempoh singkat mereka di Stamford Bridge.

Barker menegaskan bahawa hubungan dengan penyokong adalah satu aspek penting yang boleh menyelamatkan Maresca.

“Ini salah satu sebab mengapa dia perlu diberi peluang,” katanya. “Pochettino datang dengan sejarah bersama Tottenham, jadi ramai penyokong Chelsea yang tidak pernah menerimanya sepenuhnya.
“Maresca pula lebih berusaha untuk berinteraksi dengan penyokong. Dia akan datang ke padang selepas perlawanan dan dalam temu bual selepas kekalahan, dia akan berkata, ‘Penyokong layak mendapat lebih baik.’ Ia penting. Walaupun kami tidak suka keputusan perlawanan, sekurang-kurangnya dia menunjukkan penghargaan kepada penyokong.”

Salah satu bukti bagaimana penyokong masih menyokong pasukan walaupun prestasi tidak menentu ialah ketika perlawanan menentang FC Copenhagen. Walaupun Chelsea menampilkan persembahan yang hambar, penyokong yang hadir di Denmark tetap memberikan tepukan kepada pemain dan staf kejurulatihan sebelum mereka meninggalkan padang.

Menurut Overend, ia adalah perubahan budaya yang telah dibawa oleh Maresca.

“Satu perubahan sejak kehadirannya ialah seluruh pasukan akan berjalan mengelilingi padang selepas setiap perlawanan di tempat sendiri sebagai tanda penghargaan kepada penyokong.”

“Setiap perlawanan di tempat lawan, Maresca juga akan memastikan pemain memberikan penghormatan kepada penyokong walaupun mereka tewas. Pochettino tidak pernah melakukan perkara ini, Potter pula tidak mempunyai keperibadian yang kuat untuk membina hubungan itu. Tetapi Maresca cukup berusaha untuk mendekati penyokong dan ia memberi kesan.

“Semua itu nampak lebih berkesan ketika pasukan bermain dengan baik. Tapi bila keputusan mula merosot, hubungan dengan penyokong pun tak lagi sekuat dulu. Itulah realiti bola sepak, penyokong boleh berubah-ubah dengan cepat.”

Perdebatan Yang Akan Berterusan

Keindahan bola sepak adalah bagaimana setiap individu boleh melihat pasukan yang sama bermain tetapi mempunyai pendapat yang berbeza-beza. Kydd, sebagai salah seorang penyokong yang kurang yakin dengan Maresca, tidak melihat pengurus itu akan bertahan lama di Chelsea.

“Ramai antara kami mempunyai pendapat yang sama: ia tidak cukup baik. Dia bukan pengurus yang cukup baik dan kelab telah melantik seorang pengurus yang kurang pengalaman untuk mengendalikan kelab sebesar Chelsea.
“Dia kelihatan tidak mampu menguruskan situasi ini. Dia masih belajar mengurus kelab pada tahap tertinggi, tetapi jelas dia sedang tenggelam dalam tekanan.”

Sementara itu, Beerman pula beranggapan bahawa Maresca hanyalah ‘yes-man’ yang hanya mengikut arahan dari pihak atasan Chelsea tanpa mempunyai kuasa sebenar dalam membuat keputusan.

Namun di pihak lain, Overend percaya bahawa musim ini masih boleh berakhir dengan kejayaan untuk Maresca dan Chelsea.

“Kalau Chelsea berjaya ke Liga Juara-Juara dan memenangi trofi pertama di bawah pemilik baharu, apa lagi yang boleh diminta oleh penyokong?”

Apa pun keputusan perlawanan menentang Leicester City pada hujung minggu ini, satu perkara yang pasti; perdebatan mengenai Maresca dan masa depannya di Chelsea masih panjang.

Baca Juga

Baca Juga