Perjanjian Erik Ten Hag Dan Manchester United Hampir Sempurna dan Hanya Tunggu Pengumuman Rasmi

Perjanjian mengenai kontrak diantara Erik Ten Hag dan juga Manchester United kini hampir sempurna dan kini hanya menunggu pengumuman rasmi dari Manchester United akan perlantikan itu.

Berita ini berdasarkan ciapan di laman media sosial Fabrizio Romano yang jarang-jarang tidak tepat berita daripada beliau jika disertakan dengan perkataan keramat ‘Here we go!’.

Dalam ciapan itu juga Fabrizio Romano telah menyatakan bahawa Mitchell van der Gaag merupakan calon utama untuk jawatan kejurulatihan yang akan menjadi tangan kanan Erik Ten Hag.

Pada ketika ini Ajax dan Manchester United sedang membincang tentang klausa pelepasan Erik Ten Hag yang dilaporkan bernilai €2 juta atau RM9.17 juta.

Pengumuman rasmi kini bergantung kepada keputusan dari perbincangan ini samada hari ini atau esok.

“Erik ten Hag ke Manchester United, mari kita pergi! Perjanjian mengenai kontrak kini ditetapkan untuk diselesaikan. Mitchell van der Gaag, calon utama untuk kakitangan kejurulatihan. 🔴🤝 #MUFC”

“Ajax & Man United berhubung untuk membincangkan klausa €2j – masa pengumuman bergantung kepada perkara ini [bukan hari ini/esok].”

Ketika ini persetujuan dengan apa yang ada di dalam kontrak telah dicapai. Erik Ten Hag setuju dan Manchester United juga berpuas hati. Bayar €2 juta kira setel.

Erik Ten Hag juga mempertimbangkan kemungkinan mahu membawa masuk Steve McLaren ke dalam pasukan kejurulatihannya.

Manchester United memperlahankan proses ini kerana mereka mahu menghormati Ajax yang masih berduka selepas tewas 1-2 di tangan PSV Eindhoven dalam aksi final Piala KNVB.

Manchester United dan Ajax akan berhubung secara terus pada minggu ini (esok, lusa, tulat atau tubeng) berkaitan dengan klausa pelepasan Erik Ten Hag.

Selepas segalanya selesai, maka Ten Hag akan diumumkan secara rasmi oleh Manchester United. Ini juga akan menjadikan beliau sebagai pengurus kelima United selepas persaraan Sir Alex Ferguson.

Teka-Teki Sudah Berakhir

Manchester United sebelum ini dikaitkan dengan beberapa pengurus lain selain Ten Hag. Antaranya Mauricio Pochettino. Namun kesepakatan gagal dicapai kerana Pochettino mahukan kontrak tetap pada Januari lalu dan bukan interim.

Seterusnya PSG memutuskan untuk tidak mendengar sebarang tawaran ke atas Pochettino sehingga tamat musim ini.

Selain Pochettino, nama pengurus Sepanyol, Luis Enrique juga dalam senarai. Namun pengurus itu membuat kenyataan terbuka menyatakan dia sangat bahagia dengan tugasannya di Sepanyol.

Seterusnya nama Antonio Conte juga sangat hampir dilantik United. Namun kedua dua pihak gagal mencapai kesepakatan dalam isu dana yang dimahukan Conte dalam projek pemulihan United kerana pemilik kelab mahukan United kembali memenangi piala major sekali lagi terutama sekali EPL dan UCL.

Bukan itu sahaja, nama bekas pengurus Liverpool, Brendan Rodgers juga dalam senarai pertimbangan Man United.

Ralf Rangnick turut tidak ketinggalan. United dikatakan sedia mempertimbangkan Rangnick jika dia membawa United menjuarai UCL musim ini. Malangnya United tersingkir di peringkat 16 akhir di tangan Atletico Madrid.

Conte kemudian menyertai Spurs. Dan United menumpukan kepada 2 calon utama iaitu Erik Ten Hag dan Mauricio Pochettino.

Kedua dua pengurus dilaporkan sudah ditemuduga oleh kelab sebelum ini. Ralf Rangnick antara yang memainkan peranan penting dalam pemilihan pengurus.

Rangnick lebih cenderung mahukan Ten Hag kerana falsafah bola sepak mereka yang mirip iaitu sukakan bola sepak dengan intensiti tinggi dan penguasaan bola.

Ini akan membolehkan kedua duanya saling membentu sinergi selepas ini.

Manchester United kini masih dikendalikan oleh Ralf Rangnick sebagai interim. Rangnick selepas ini akan memulakan tugasannya selaku penasihat pembangunan Manchester United bermula musim hadapan.

Tugasannya adalah lebih kepada pembangunan bakat dan DNA bola sepak Manchester United.

Perjalanan Karier Erik Ten Hag Selaku Pemain

Erik Ten Hag merupakan bekas protege Pep Guardiola. Namanya mulai menjadi bualan sejak membantu membangkitkan semula Ajax sehingga kembali menjuarai Eredivisie sekali lagi dan membawa skuad muda Ajax mara ke separuh akhir UCL beberapa tahun lalu.

Ianya dianggap salah satu pasukan muda paling mengujakan di Eropah pada masa itu. Dengan adanya bakat seperti Mathijs De Ligt, Frenkie De Jong dan juga Donny Van De Beek yang kemudian berhijrah ke kelab lain.

Karier Erik Ten Hag sebagai pemain adalah di posisi bek tengah untuk FC Twente, De Graafschap, RKC Waalwijk dan FC Utrecht. Tiga kali Ten Hag berkhidmat dengan FC Twente (1989-90, 1992-94 dan 1996-00) dan memenangi Piala KNVB pada musim 2000–01.

Ten Hag juga memenangi Eerste Divisie bersama De Graafschap pada musim 1990–91, sepuluh tahun sebelum memenangi piala bersama FC Twente. Dia bersara daripada sebagai pemain pada tahun 2002 di usia 32 tahun semasa bermain untuk FC Twente selepas berakhirnya musim Eredivisie 2001–02.

Perjalanan Karier Pengurusan Erik Ten Hag

Pada 2012, Ten Hag telah dilantik sebagai pengurus Go Ahead Eagles di Eerste Divisie oleh Marc Overmars, yang merupakan pemegang saham kelab itu.

Dalam musim pertama dan satu-satunya musimnya di Go Ahead Eagles. Erik Ten Hag berjaya membimbimg Go Ahead Eagles mendapat promosi pertamanya dalam tempoh 17 tahun.

Ten Hag kemudian melatih melatih anak-anak gergasi Jerman, Bayern Munich II dari 6 Jun 2013 hingga 2015 apabila Ten Hag telah digantikan dengan Heiko Vogel.

Perlawanan terakhirnya sebagai ketua jurulatih Bayern Munich II ialah ketiak mengalami kekalahan 1–0 kepada Nürnberg II pada 22 Mei 2015.

Ten Hag kemudiannya menjadi Pengarah Sukan dan ketua jurulatih FC Utrecht pada musim panas 2015, di mana dia membawa kelab itu ke tempat kelima pada musim pertamanya.

Pada musim 2016–17, Ten Hag terus mempamerkan prestasi terbaik dengan membawa FC Utrecht menamatkan musim ditangga keempat, menempah tempat dalam kelayakan Liga Europa.

Dengan rekod pengurusan yang agak memberansangkan, Erik ten Hag menarik perhatian banyak kelab yang bukan gergasi.

Pada 21 Disember 2017, beliau dilantik sebagai ketua jurulatih AFC Ajax selepas kelab itu memecat Marcel Keizer dan disinilah hasil kerjayanya membuka mata kelab gergasi.

Pada 2019, beliau membawa pasukan Ajax mara ke separuh akhir Liga Juara-Juara UEFA 2018–19 buat kali pertama sejak 1997 dengan menang menentang juara bertahan Real Madrid 4–1 di Stadium Santiago Bernabéu pada peringkat pusingan 16.

Ajax juga menewaskan Juventus di tempat lawan 1–2 setelah seri pada perlawanan pertama 1–1 di tempat sendiri pada suku akhir.

Pada perlawanan pertama separuh akhir, beliau membawa pasukannya mendahului 1–0 menentang Tottenham Hotspur di Stadium Tottenham Hotspur yang baru siap.

Bagaimanapun dalam perlawanan kedua, hatrik separuh masa kedua oleh Lucas Moura untuk Tottenham Hotspur dengan gol terakhir dijaringkan pada minit ke-96 untuk menjadikan kedudukan 3–2 (agregat 3–3).

Spurs menang menerusi peraturan gol di tempat lawan, menamatkan impian Ajax yang menaruh harapan untuk bermain di final.

Ten Hag memenangi trofi pengurusan pertamanya bersama Ajax pada 5 Mei 2019 iaitu Piala KNVB 2018–19, menewaskan Willem II di final.

Hanya 10 hari selepas memenangi piala, Ajax, diketuai oleh Ten Hag memenangi Eredivisie juga selepas kemenangan 1–4 di tempat lawan ke atas De Graafschap.

Pada 18 April 2021, Ten Hag membimbing Ajax menjulang Piala KNVB ke-20 dengan kemenangan 2–1 ke atas Vitesse pada perlawanan akhir.

Dua minggu kemudian, Ten Hag melanjutkan kontraknya dengan Ajax hingga akhir musim 2022–23.

Pada 16 Januari 2022, Ten Hag menjadi pengurus terpantas dalam sejarah liga untuk mencapai 100 kemenangan bersama Ajax, mencapai kejayaan itu hanya dalam 128 perlawanan sahaja.

BACA:  Erik Ten Hag Berminat Mahu Dapatkan Semula Khidmat Pereira