Pertembungan Brentford Bertemu Liverpool Dianggap Perlawanan Paling Dasyat Setakat Musim Ini

Liverpool berkunjung ke gelanggang Brentford untuk aksi saingan Premier League, dan tentunya dalam usaha mereka untuk terus mengukuhkan kedudukan di puncak saingan liga.

Selepas Chelsea ditewaskan oleh Manchester City dan setan merah dikejutkan dengan kekalahan di tangan Aston Villa, Liverpool bakal berpotensi untuk terus memisahkan jurang mata di kedudukan teratas liga.

Walau bagaimanapun, pertemuan bertemu pendatang baru Premier League bukanlah tugas mudah untuk sang penakluk dunia.

Brentford telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan dalam perlawanan ini dan hampir saja membuatkan Liverpool berputih mata.

Di hadapan para penyokong sendiri, The Bees terlebih dahulu membuka tirai jaringan menerusi Ethan Pinnock hasil gerakan dari satu sudut sepakan percuma.

Walau bagaimanapun, beberapa minit selepas itu Liverpool kembali mengikat kedudukan hasil jaringan Diogo Jota menerusi hantaran cantik Jordan Henderson yang disudahi dengan tandukan padu darinya.

Skuad kendalian Jurgen Klopp itu kemudiannya kembali mendominasi permainan dan seterusnya berjaya memperoleh gol pendahuluan menerusi Mohamed Salah.

Salah berjaya meledak gol ke-100 beliau dalam saingan Premier League selepas menyudahkan hantaran cantik dari Fabinho, seterusnya membantu Liverpool mendahului permainan dengan keputusan 2-1.

Brentford walau bagaimanapun tidak mahu menyerah dan membiarkan Liverpool membawa pulang tiga mata dengan mudah.

Vitaly Janelt berjaya meledak gol penyamaan pada minit ke-63 permainan seterusnya memastikan Liverpool tidak sewenang-wenangnya membawa pulang tiga mata dari Brentford Community Stadium.

Malang untuk pasukan tuan rumah, Liverpool sekali lagi berjaya mendahului permainan menerusi Curtis Jones yang menjaringkan gol hasil rembatan super padu yang cantik lagi menakjubkan.

Pemain muda itu melepaskan rembatan dari jauh dan bola rembatan beliau terbias terkena pemain pertahanan Brentford sebelum menggegar jaring gawang gol.

Salah berkesempatan untuk menambah duka Brentford namun sayangnya percubaan beliau sekadar terkena palang dan keputusan 3-2 masih kekal.

Salah mungkin menyesal tidak menjaringkan gol dari kesempatan itu selepas Brentford kembali mengikat kedudukan pada minit ke-82 permainan menerusi Yoane Visser.

Yoane Visser berjaya memanfaatkan keadaan huru hara di dalam kotak penalti Liverpool dengan beliau tenang merembat bola melepasi Alisson dan menerjah jaring gawang gol The Reds.

Para penyokong bersorak riang meraikan gol tersebut dan tidak dinafikan kedua-dua pasukan benar-benar mempamerkan aksi persembahan yang cukup menghiburkan.

Wisel penamat dibunyikan dengan perlawanan berakhir dengan keputusan seri 3-3 dengan Liverpool kini mendahului carta liga dengan kelebihan satu mata sahaja.

Ia terbukti sebagai salah sebuah perlawanan terhebat sepanjang musim ini dengan kedua-dua pasukan telah mempamerkan aksi persembahan yang sungguh luar biasa menakjubkan.

Brighton yang kini berada di kedudukan keenam masih mempunyai baki satu perlawanan yang belum dimainkan, dan mereka berkesempatan untuk memintas Liverpool seandai menang bertemu Crystal Palace nanti.

Sumber: GMS

BACA:  Liverpool Berpeluh Untuk Singkirkan Nottingham Forest Dari Saingan FA Cup