Petr Cech Umum Akan Bersara Pada Penghujung Musim Nanti

Penjaga gol Arsenal, Petr Cech mengumumkan yang beliau akan bersara pada penghujung musim nanti.

Penjaga gol berusia 36 tahun itu menyertai Arsenal pada Jun 2015 dari Chelsea dalam perpindahan yang dianggarkan bernilai £10 juta.

Detik paling bermakna Cech berlaku di Munich 2012. Aksi hero Cech menyelamatkan penalti Robben antara detik paling diingati malam tersebut

Cech mencipta nama bersama Chelsea dimana beliau memenangi pelbagai trofi sepanjang mewakili kelab tersebut selama 11 tahun. Beliau menyertai Chelsea dari kelab Perancis, Rennes pada Julai 2004.

“Ini merupakan musim ke-20 saya sebagai pemain profesional dan 20 tahun juga selepas saya menandatangani kontrak profesional pertama saya.”

“Jadi saya rasa sekarang adalah masa yang tepat untuk mengumumkan yang saya akan bersara pada penghujung musim nanti.”

“Selepas bermain selama 15 tahun di Liga Perdana Inggeris dan memenangi kesemua trofi yang mampu dimenangi, saya rasa saya telah mencapai segalanya yang boleh saya capai.”

“Saya akan terus bekerja keras untuk Arsenal dan berharap akan memenangi sekurang-kurangnya satu trofi musim ini.”

“Selepas itu saya memandang ke hadapan untuk kehidupan yang menanti saya di luar padang.”

Cech tidak pulang kosong. Satu trofi Piala FA bersama Arsenal yang dimenangi pada tahun 2017

Pada mulanya beliau ditandatangani sebagai penjaga gol ke-2 di belakang Carlo Cudicini. Akan tetapi tidak lama selepas itu, Cech berjaya menambat hati Jose Mourinho dan terus menjadi penjaga gol utama The Blues buat satu tempoh yang lama.

Sepanjang menabur bakti di Stamford Bridge, Cech berjaya memenangi 13 trofi, termasuk satu trofi Liga Juara-Juara Eropah dan 4 kejuaraan Liga Perdana Inggeris.

Beliau juga mencipta rekod baru kelab apabila meraih 228 ‘clean sheets’ dalam semua pertandingan, meleburkan rekod lama yang dipegang bekas penjaga gol antarabangsa England Peter Bonetti yang bermain dari 1960 hingga 1979.

Ketibaan Thibout Courtois di Stamford Bridge menyebabkan Cech kehilangan tempat dalam kesebelasan utama dan tidak lama selepas itu, beliau pergi membawa diri ke Arsenal untuk bergabung dengan Arsene Wenger.

Cech berjaya membantu Arsenal memenangi Piala FA pada tahun 2017, menewaskan pasukan lamanya Chelsea dalam perlawanan akhir di Wembley.

BACA:  Scholes Tidak Terkejut Jika De Gea Mahu Berpindah Ke Real Madrid Pada Masa Hadapan