Persatuan Pemain Bola Sepak Profesional (PFA) memberi amaran bahawa mereka akan mengambil tindakan undang-undang terhadap Premier League jika liga itu cuba menetapkan ‘had gaji yang lebih ketat’ pada musim depan.
PFA bimbang kerana Premier League mungkin akan mengundi cadangan mengetatkan had gaji dalam mesyuarat pemegang saham yang akan berlangsung pada minggu ini. Oleh itu, mereka telah menghantar surat rasmi kepada liga dan semua 20 kelab bagi menyatakan bantahan mereka.
Peraturan Baru yang Dipertimbangkan
Pada musim panas lalu, kelab-kelab Premier League secara prinsip telah bersetuju untuk melaksanakan peraturan kos skuad (SCR). Peraturan ini mengehadkan perbelanjaan kelab kepada 85% daripada jumlah pendapatan mereka. Peratusan itu termasuk gaji pemain, jurulatih, kos perpindahan dan bayaran ejen.
SCR bertujuan menggantikan sistem keuntungan dan kelestarian (PSR) yang telah digunakan sejak 10 tahun lalu. UEFA juga menggunakan peraturan yang hampir sama seperti SCR. Tetapi had dari UEFA lebih ketat iaitu 70%.
Selain SCR, Premier League kini mahu memperkenalkan satu lagi peraturan yang dikenali sebagai “anchoring”. Peraturan ini akan menetapkan jumlah maksimum yang boleh dibelanjakan oleh setiap kelab berdasarkan gandaan daripada pembayaran pusat yang diterima oleh kelab di tangga tercorot liga.
Contohnya, jika peraturan ini digunakan pada lalu, kelab terkaya hanya boleh berbelanja sekitar £550 juta. Jumlah itu hasil dari kiraan 5 kali ganda yang diterima Sheffield United daripada pembayaran pusat liga (£110 juta). Ini bermakna kelab besar seperti Chelsea dan Manchester City akan berdepan dengan sekatan dalam perbelanjaan mereka.
Kelab Berpecah Pandangan
Tidak semua kelab bersetuju dengan cadangan ini. Kelab besar seperti Manchester City dan Manchester United membantah kerana ia akan mengehadkan kebebasannya untuk menawarkan gaji yang tinggi kepada pemain.
Sebaliknya, kelab pertengahan dan bawahan liga menyokong peraturan ini kerana mereka berpendapat ia boleh mengurangkan jurang antara kelab-kelab besar dan kecil. Jika hanya SCR dilaksanakan tanpa anchoring, mereka khuatir pasukan yang bermain dalam kejohanan Eropah terus mempunyai kelebihan dalam perbelanjaan.
Tindakan PFA
PFA sebenarnya tidak menentang SCR kerana peraturan ini sudah digunakan dalam League One dan League Two. Namun mereka percaya l Premier League cuba menggabungkan SCR dengan anchoring supaya cadangan itu mendapat undian majoriti dua pertiga yang diperlukan untuk diluluskan.
PFA kurang bersetuju dengan anchoring.
PFA melihat kedua-dua peraturan ini sebagai satu pakej yang berkait rapat. Oleh itu, mereka berusaha untuk menghalang sebarang usaha memperkenalkannya. Mereka menghantar ancaman tindakan undang-undang selepas Premier League mengedarkan dokumen penerangan kepada kelab-kelab dua minggu lalu.
Menurut peraturan liga, sebarang perubahan besar memerlukan tempoh rundingan selama 21 hari sebelum boleh diundi. Walaupun Premier League telah bersedia untuk membawa cadangan ini ke undian minggu ini namun ia tiada jaminan peraturan baharu itu akan dijalankan. Jika mereka merasakan cadangan itu tidak akan mendapat sokongan cukup, undian mungkin ditangguhkan.
Premier League Nafi Dakwaan PFA
Premier League menegaskan bahawa mereka telah mengikut prosedur dan memberikan maklumat mencukupi kepada PFA. Seorang jurucakap liga berkata, sejak Mac 2024 PFA telah diberi peluang untuk memberi maklum balas terhadap peraturan yang dicadangkan.
Selain itu, Premier League menyatakan bahawa peraturan squad cost telah dipersetujui secara prinsip oleh kelab-kelab dalam mesyuarat tahunan Jun lalu. Mereka juga menegaskan bahawa cadangan ini sejajar dengan peraturan kewangan UEFA yang mana beberapa kelab sudah pun terikat dengan peraturan itu. Kesemua kelab yang bertanding di pertandingan kelab Eropah perlu mematuhi peraturan squad cost.
“Kami kecewa kerana PFA memilih untuk mengambil tindakan undang-undang berbanding berbincang secara konstruktif,” kata jurucakap Premier League.
Kelab-kelab akan terus menilai cadangan ini sebelum membawanya ke undian pada waktu yang sesuai. Namun, jika PFA meneruskan tindakan undang-undang, isu ini mungkin akan berlarutan lebih lama sebelum keputusan muktamad boleh dibuat.