Piala Dunia 2022 Akan Bermula Disember Dan Format 48 Pasukan Semakin Hampir

The Fédération Internationale de Football Association (FIFA) telah mengesahkan bahawa Piala Dunia 2022 di Qatar akan dimainkan antara 21 November dan 18 Disember melalui Gianni Infantino semalam pada sidang akhbar penutup Rusia 2018.

Walaupun Qatar menyediakan stadium berhawa dingin, laporan dari Accuweather suhu di Qatar antara bulan Jun dan Julai boleh mencecah sehingga 41.3° C, memaksa FIFA terpaksa membuat penjadualan kontroversi ini.

Agak janggal apabila kejohanan musim panas ini ditukar kepada musim sejuk buat pertama kalinya dalam 86 tahun sejarah Piala Dunia. Kat sana musim sejuk kalau di Malaysia musim tengkujuh baru negeri Pantai Timur.

Tarikh bagi perlawanan akhir pula dipilih semepana Hari Kebangsaan Qatar. Walaupun dipindahkan ke musim sejuk suhu di Qatar masih mencecah 30° C dan tidak akan turun kurang daripada 15° C walaupun pada waktu malam.

Keputusan penuh kontroversi ini boleh mengundang rasa tidak senang pasukan Eropah kerana bakal memecahkan jadual kebiasaan mereka tetapi melangsungkan Piala Dunia pada Jun-Julai di Qatar amat berisiko tinggi.

Tarikh ini menyaksikan Liga Eropah akan kehilangan 28 hari dari jadual asal di pertengahan musim dan kebanyakkan Liga Eropah akan berhenti selama dua minggu di musim sejuk. Untuk mengatasi masalah ini mungkin Liga dimulakan pada bulan Julai.

“Piala Dunia pada tahun 2022 akan dimainkan dari 21 November hingga 18 Disember, idea ini melibatkan 48 pasukan,” kata Infantino pada sidang akhbar penutupan untuk Rusia 2018.

Masih belum disahkan pada edisi 2022 Piala Dunia akan melibatkan 48 atau kekal dengan 32 pasukan tetapi FIFA masih membuka ruang untuk membesarkan kejohanan tersebut di Qatar.

“Kami mempunyai perjanjian dan kontrak dengan Qatar, tetapi masih terlalu awal untuk mengetahui apakah akan ada 32 pasukan atau lebih.

“Buat masa ini, apa saja yang mungkin. Dengan 48 pasukan, banyak ketegangan ‘serantau’ akan diselesaikan, jadi saya tidak mahu menutup peluang ini. “

Cadangan 48 pasukan tersebut akan menjadikan pusingan akhir bakal mempunyai 16 kumpulan dan 3 pasukan untuk setiap kumpulan. 2 pasukan teratas akan mara ke pusingan 32 sebelum pusingan 16 dan seterusnya suku akhir. Sebelum ini Jose Mourinho menyokong penuh pembesaran saiz pasukan di Piala Dunia melalui laman web FIFA.

“Sebagai pengurus kelab, jika pertandingan itu dibesarkan bermakna akan lebih perlawanan, kurang cuti untuk pemain dan mengurangkan masa pra musim. Saya sepatutnya berkata tidak. Tapi pengkritik perlu melihat dan faham tentang pembesaran pertandingan itu tidak bermakna akan mempunyai lebih perlawanan”

Mourinho melihat 2 perlawanan peringkat kumpulan dan 1 perlawanan tambahan di peringkat pusingan 32, pasukan yang akan bergelar juara kekal menghadapi jumlah perlawanan yang sama seperti sebelum ini iaitu 7 perlawanan.

“Dengan cara ini, 2 perlawanan peringkat kumpulan akan menjadi lebih penting, maka peringkat kalah mati seterusnya membawa lebih banyak emosi,” kata Mourinho.

“Pasukan yang lemah mungkin akan bermain dua perlawanan dan pulang ke rumah. Tetapi mereka sudah pasti akan bermain lebih baik kerana hanya ada 2 perlawanan sahaja untuk mendapat pengalaman Piala Dunia”

Selepas pengesahan tersebut, benua eropah bakal menonton Piala Dunia pada musim sejuk bukan lagi musim panas seperti sebelum ini. Peminat bola sepak di Malaysia pula Piala Dunia 2022 akan disaksikan ketika musim banjir.

Baca Juga

Baca Juga