Piala FA : Chelsea dan West Ham United Hampir Buat Kelakar Menentang Pasukan Bawahan

Dua pasukan Liga Perdana Inggeris, Chelsea dan West Ham United terpaksa berhempas pulas sebelum berjaya mengelakkan daripada melakukan aksi kelakar seperti pasukan Syaithon Merah apabila masing-masing berjaya menewaskan lawan dari liga divisyen rendah dalam perlawanan Piala FA England.

Chelsea menerima kunjungan pasukan Plymouth Argyle yang bermain di divisyen ketiga piramid bola sepak England, Football League 1, ke Stamford Bridge.

Menurunkan pasukan yang kuat selepas rehat yang panjang, Chelsea terlebih dahulu ketinggalan kepada kelab dari barat daya England ini apabila Macauley Gillesphey berjaya menjaringkan gol seawal minit kelapan.

Gol terhasil daripada sepakan percuma Jordan Houghton yang melencong masuk ke dalam kotak penalti Chelsea, sebelum ditanduk oleh Gillesphey yang tidak dikawal mana-mana peain Chelsea.

Tersentak dengan gol awal tersebut, The Blues melancarkan serangan bertali arus ke pintu gol Plymouth namun dikecewakan oleh pemain Plymouth yang berkampung dan berkumpul di dalam kotak penalti mereka.

Nasib baik Chelsea mempunyai pemain dan pengurus yang berkualiti. Tatkala pemain di bahagian serangan telah dirantai, pemain bek sayap, Cesar Azpilicueta menyamakan kedudukan pada penghujung separuh masa pertama.

Mason Mount menerima bola dari tepi padang dan menarik minat dua pemain Plymouth untuk menyerbunya. Namun Mount dengan begitu bijak melorongkan bola ke tengah kotak penalti dengan Azpilicueta sedang menanti, lalu bek sayap kanan tersebut melakukan flip yang begitu bersahaja dan membuatkan penjaga gol lawan, Michael Cooper, hanya mampu melihat sambil terkedu.

Sepanjang separuh masa kedua, Chelsea tidak jemu-jemu menekan dan melakukan serangan ke atas pasukan lawan namun gagal mendapatkan gol kedua sehingga tamat wisel penamat 90 minit perlawanan, sekaligus terpaksa diheret ke masa tambahan.

Marcos Alonso  berjaya membuang gusar di dada penyokong Chelsea apabila menjaringkan gol kemenangan pada penghujung separuh masa pertama masa tambahan. Kai Havertz menjadi watak pembantu kali ini apabila lorongan pendeknya ke dalam kotak penalti dengan mudah disambar oleh Alonso.

Pada penghujung masa tambahan, PLymouth dihadiahkan sepakan penalti. Nasib baik Chelsea mempunyai penjaga gol yang cekap dan bijak lantas dapat membaca arah bola sepakan pemain Plymouth.

Jiran Chelsea, West Ham juga menerima nasib yang sama apabila terpaksa berhempas pulas sebelum menewaskan pasukan yang berada di divisyen keenam, Kidderminster Harriers di stadium lawan.

Alex Penny terlebih dahulu meletakkan Kidderminster di hadapan pada minit ke-20 perlawanan apabila menolak mudah bola dari dalam kotak penalti West Ham selepas menerima bola hantaran daripada sepakan percuma Nathan Cameron.

Kidderminster sedaya upaya cuba mempertahankan gol mereka daripada dibolosi sepanjang perlawanan di mana pemain mereka kekal berkampung di dalam kotak penalti sendiri sekaligus mengewakan West Ham.

Walaubagaimanapun, dengan perlawanan berbaki dua minit di masa kecederaan, Declan Rice muncul penyelamat kepada West Ham apabila melakukan larian solo dari luar kotak penalti sebelum menggelecek dua pemain pertahanan lawan dan kemudiannya melepaskan satu rembatan padu tepat ke gawang Kiddesminster sekaligus mengheret perlawanan ke masa tambahan.

Mensasarkan penentuan sepakan penalti, Kidderminster jarang sekali mengatur serangan ke kubu lawan dan lebih selesa menerima asakan daripada pasukan West Ham.

Ketika perlawanan sudah hampir pasti akan ke penentuan sepakan penalti, Jarod Bowen muncul wira pasukan apabila menjaringkan gol kemenangan West Ham pada minit ke 120 perlawanan sekaligus mengecewakan para penyokong Kidderminster.

Menerima bola dari sebelah kanan padang, Pablo Fornals melakukan rembatan padu ke arah gol Kidderminster, namun rembatannya terkena kaki Bowen terlebih dahulu lalu bola bergolek lemah ke arah Aaron Cresswell.

Cresswell tanpa dikawal melakukan cubaan ke arah gol lawan namun sempat diselamatkan oleh penjaga gol namun bola tertampan ke kaki Bowen yang tidak dikawal di hadapan gol yang terbuka, lalu menolak mudah bola ke dalam gol sekaligus memberikan kemenangan yang berharga kepada pasukan ibu kota England ini.

BACA:  Lembik Dan Pemalas, Statistik Buruk Pemain Termahal Chelsea Mendapat Kecaman