Sistem Video Assistant Referee (VAR) sering menjadi topik perbincangan hangat dalam saingan Liga Perdana Inggeris dan kini ia turut mendominasi perbualan di Piala FA. Begitu juga dengan teknologi garisan gol.
Kenapa ia menjadi kontroversi?M
Mengapa Ia Menjadi Isu?
Perdebatan mengenai penggunaan VAR dalam Piala FA tercetus selepas gol kemenangan kontroversi dari Harry Maguire pada masa kecederaan ketika Manchester United menewaskan Leicester City di Old Trafford.
Maguire menanduk masuk bola hasil sepakan percuma untuk melengkapkan kebangkitan United selepas ketinggalan satu gol. Namun ulang tayang menunjukkan dia bersama beberapa pemain United yang lain berada dalam kedudukan ofsaid.
“Kami benar-benar kecewa,” kata pengurus Leicester, Ruud van Nistelrooy kepada BBC. “Kami bersiap sedia sepanjang minggu untuk perlawanan ini, sebagai reaksi selepas kekalahan kepada Everton. Apabila keputusan ditentukan oleh kesilapan yang terang dan jelas, ia tidak boleh diterima dan tidak boleh dibayangkan di tahap ini.”
Dalam wawancara dengan ITV, Van Nistelrooy menambah:
“VAR digunakan untuk ofsaid yang hanya beberapa sentimeter atau inci. Tetapi ini setengah meter, sangat jelas. Sukar untuk menerima (hakikat) kerana kami sepatutnya seri.”
Malah, jurulatih Manchester United Ruben Amorim mengakui pasukannya bernasib baik dan menyatakan bahawa VAR sepatutnya digunakan dalam perlawanan itu.
“Dengan VAR, itu bukan gol,” katanya. “Saya rasa VAR penting kerana ia lebih adil untuk permainan. Sukar untuk tewas dengan cara seperti itu melalui gol ofsaid. Tetapi kami juga berhak mendapat sedikit tuah.”
Mengapa VAR Tidak Digunakan?
Pada Disember lalu, Persatuan Bola Sepak England (FA) mengesahkan dalam satu kenyataan bahawa sistem VAR hanya akan digunakan pada pusingan kelima Piala FA.
FA menjelaskan keputusan itu dengan berkata:
“Keputusan ini memastikan pendekatan pengadilan yang konsisten untuk semua kelab yang bertanding dalam peringkat yang sama dalam kejohanan ini.”
Apa Maksudnya?
Sebelum ini, VAR hanya digunakan dalam perlawanan separuh akhir dan final Piala FA di Stadium Wembley serta di stadium kelab Liga Perdana Inggeris yang memang mempunyai sistem VAR sepanjang musim.
Memasang teknologi yang diperlukan untuk VAR berfungsi dan menampung kos pegawai tambahan untuk mengendalikan sistem ini adalah mahal.
Stadium di bawah tahap Liga Perdana tidak diwajibkan menyediakan VAR untuk perlawanan liganya dan FA juga tidak mewajibkannya dalam Piala FA kerana kekangan infrastruktur, tenaga kerja dan kos operasi.
Dalam kejohanan lain musim ini seperti Piala Carabao, VAR juga tidak digunakan sehingga peringkat separuh akhir. Pada peringkat itu, VAR diperkenalkan bersama elemen tambahan di mana pegawai perlawanan menerangkan keputusan yang diubah selepas semakan VAR kepada penonton menerusi mikrofon.
Adakah Teknologi Garisan Gol Digunakan?
Jawapannya ya dan tidak dan di sinilah timbul kekeliruannya.
Walaupun VAR tidak digunakan pada peringkat ini, teknologi garisan gol tetap digunakan tetapi hanya di stadium kelab Liga Perdana dan Championship.
Di England, teknologi ini disediakan oleh Hawk-Eye, yang menggunakan 7 kamera pada setiap gawang untuk mengesan kedudukan bola. Sebaik sahaja bola melepasi garisan gol sepenuhnya, isyarat dihantar ke jam tangan pengadil yang kemudiannya boleh mengesahkan gol.
Isu Kontroversi Lain?
Sudah tentu. Teknologi garisan gol mencetuskan kontroversi dalam perlawanan pusingan ini, khususnya ketika perlawanan antara Birmingham City dan Newcastle United.
Memandangkan Birmingham beraksi dalam League One, teknologi garisan gol tidak digunakan di Stadium St Andrew’s.
Birmingham sedang mendahului 1-0 apabila pemain Newcastle, Joe Willock melakukan percubaan jarak dekat.
Penjaga gol Birmingham, Bailey Peacock-Farrell menyangka dia berjaya menyelamatkan percubaan itu. Namun penjaga garisan mengesahkan bola telah melepasi garisan gol sepenuhnya dan memberikan jaringan kepada Newcastle.
Ulang tayang bagaimanapun tidak memberikan bukti yang konklusif. Tanpa teknologi garisan gol, keputusan tetap kekal dan Newcastle akhirnya menang 3-2.