Berikut keputusan perlawanan suku akhir pertama Piala Malaysia yang berlangsung, malam ini.
Kelantan 1-2 PDRM
Negeri Sembilan 0-0 Kedah
T-Team 1 -1 FELDA United
PKNS FC 3-4 Selangor
PKNS FC 3-4 Selangor
Walaupun dianggap ‘adik’ kepada Selangor, namun PKNS FC langsung tidak memberi laluan mudah kepada juara bertahan apabila memaksa mereka berhempas pulas sebelum tewas 3-4 dalam suku akhir pertama Piala Malaysia yang berlangsung dengan penuh mendebarkan di Stadium Shah Alam, hari ini.
Selangor, juara 33 kali bermula positif apabila mendahului seawal minit kelima menerusi pemain pertahanan dari Nigeria, Ugo Ukah yang menanduk bola lantun hasil sepakan percuma Mohd. Azmi Muslim yang terkena palang.
Penyerang kebangsaan, Ahmad Hazwan Bakri menggandakan kedudukan 2-0 selepas rembatannya gagal diselamatkan penjaga gol PKNS, Md. Norhaziq Md. Aris pada minit ke-25, namun Juan Corbelli berjaya merapatkan kedudukan selang tiga minit kemudian.
Bersambung babak kedua, pemain sayap R. Gopinathan menjarakkan kedudukan Selangor selepas rembatannya menembusi gawang pada minit ke-52.
Semangat juang anak-anak buah E. Elavarasan bagaimanapun wajar diberi pujian apabila mereka berjaya mempamer kebangkitan dengan meledak dua gol menerusi Gonzalo Soto dan Gabriel Guerra pada minit ke-60 serta minit ke-73 untuk mengikat Red Giants.
Ketika perlawanan seolah-olah akan berakhir dengan seri 3-3, penyerang gantian, Mauro Olivi meledak gol kemenangan Selangor, lima minit menuju tamat permainan.
Kelantan 1-2 PDRM
Sementara itu, di Stadium Sultan Muhammad IV, Kelantan gagal memanfaatkan kelebihan beraksi di depan penyokong sendiri apabila tumpas 1-2 kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM), yang menutup permainan dengan sembilan pemain.
Biarpun berdepan lautan merah di Kota Bharu, The Cops langsung tidak gentar, sebaliknya membuka jaringan seawal minit keempat menerusi pemain import dari Singapura, Safuwan Baharudin.
Pemain veteran, Indra Putra Mahyuddin berjaya menyamakan kedudukan 11 minit kemudian, namun penyerang kelahiran Brazil, Guilherme de Paula memastikan kemenangan penting dibawa pulang PDRM menerusi gol lewat permainan.
The Cops kemudiannya terpaksa beraksi dengan sembilan pemain selepas dua tonggak mereka, K. Rueben dan De Paula dliayangkan kad merah.
T-Team 1 -1 FELDA United
Pertembungan di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah pula menyaksikan Terengganu FC II (TFC II) terikat 1-1 dengan Felda United. Tuan rumah bermula baik dengan mendahului permainan seawal minit kedua menerusi Muhamad Safawi Rasid.
Namun, penyerang import dari Liberia, Francis Forkey Doe menyamakan kedudukan buat Felda pada minit ke-51.
Negeri Sembilan 0-0 Kedah
Dalam aksi di Stadium Paroi, naib juara tahun lalu Kedah dan Negeri Sembilan buntu untuk mencari jaringan apabila sekadar seri 0-0.
Sumber :Utusan Online