Terikat 1-1 pada satu ketika, Kelantan berada dalam keadaan sukar apabila ketua pasukannya Mohamad Qayyum Marjuni Sabil dilayangkan kad merah pada minit ke-58, namun kesempatan itu gagal digunakan sebaiknya oleh pasukan tuan rumah.

Pulau Pinang bermula garang apabila mengasak kubu lawan seawal minit kesepuluh menerusi gerakan Mohd. Faisal Abdul Halim namun berjaya dipatahkan oleh ketangkasan penjaga gol pelawat Muhammad Syazwan.

Tuan rumah nyaris mendapat gol awal apabila pertahanan Kelantan tertendang bola ke gawang sendiri namun berjaya diselamatkan di atas garisan gol oleh Syazwan.

Kelantan akhirnya berjaya memecahkan kebuntuan pada minit ke-37 apabila Fakhrul Zaman berjaya menyambar hantaran dari sebelah kiri gol untuk meletakkan pasukannya di depan.

Skuad Harimau Kumbang seharusnya menyalahkan diri sendiri apabila gagal mencari gol biarpun melakukan asakan bertali arus ke pintu gol lawan sehingga tamat babak pertama.

Pada separuh masa kedua, Pulau Pinang memulakan asakan bertali arus ke kubu Kelantan dan hasilnya tuan rumah mendapat sepakan bebas berhampiran kotak penalti.

Tendangan kencang Tunku Noor Hidayat gagal ditangkap kemas oleh Syazwan dan bola muntah tidak disia-siakan Amirul Syazni Roslan untuk menolak masuk gol penyamaan Pulau Pinang pada minit ke-50.

Kelantan kemudian terpaksa bermain dengan 10 orang apabila Mohamad Qayyum dilayangkan kad kuning kedua oleh pengadil Shaharudin Man pada minit ke-58.

Begitu pun, keadaan itu tidak mematahkan semangat skuad muda The Red Warriors itu yang kembali di depan pada minit ke-66 apabila sepakan bebas Mohammad Azwan melencong ke dalam gawang.

Skuad bimbingan Mohd. Nafuzi Zain itu masih terus menyerang ke kubu Pulau Pinang namun gagal menambah jaringan sehingga tamat permainan.

Perlawanan semakin hangat menuju ke penghujung yang menyaksikan pertahanan Pulau Pinang, S. Khatirovan turut dilayangkan kad kuning kedua pada masa kecederaan.

kelantan-juara-piala-presiden-2015

Senarai Pemain Perlawanan Akhir Piala Presdien 2015

senarai-pemain-akhir-piala-presiden-2015