Piala Thomas 2018 : Tewas Kepada Denmark, Malaysia Bertemu Indonesia di Suku Akhir

Malaysia tewas 2-3 kepada Denmark dalam perlawanan penentuan juara kumpulan D di Piala Thomas 2018 yang berlangsung di Thailand.

Denmark dan Malaysia masing- masing mencari kemenangan untuk menjadi juara kumpulan bagi mengelakkan diundi menemui lawan sukar di suku akhir.

Namun segalanya sudah terlerai, Malaysia tewas sekaligus muncul naib juara dan diundi bertemu musuh ketat, Indonesia.

Lagenda badminton negara, Lee Chong Wei mempamerkan aksi bertenaga dan luar biasa dengan menumbangkan pemain nombor satu dunia, Viktor Axelsen.

Pada set pertama Chong Wei mudah menjinakkan pemain nombor satu dunia itu dan mendapat tentangan sengit pada set kedua. Chong Wei menang 21-9, 21-19.

Beregu lelaki negara, Goh V Shem-Tan Wee Kiong gagal mengenepikan cabaran Mads Conrad-Petersen-Mads Pieler Kolding apabila tewas dalam pertarungan tiga set, 24-22, 15-21,15-21.

Lee Zii Jia mencipta kejutan apabila meraih mata kedua negara dengan menumbangkan pemain berpengalaman Denmark, Hans-Kristian Vittinghus dengan kemenangan straight set, 21-18,21-18.

Perlawanan keempat menyaksikan beregu negara, Aaron Chia-Teo Ee Yi memberi saingan sengit kepada beregu berpengalaman Mathias Boe-Mathias Christiansen, sebelum tunduk 21-19,10-21, 18-21.

Iskandar Zulkarnain menggalas tugas berat untuk memburu mata kemenangan ketiga berdepan pemain perseorangan ketiga Denmark, Jan O Jorgensen.

Iskandar memberi harpaan pada set pertama apabila menang 21-16, namun gagal mengekalkan rentak apabila tewas di set kedua dan ketiga, 17-21,14-21, sekaligus menyaksikan Malaysia sekadar muncul naib juara.

Undian suku akhir yang dijalankan selepas selesai peringkat kumpulan :

1. Malaysia vs Indonesia
2. China vs Taiwan
3. Denmark vs Korea Selatan
4. Jepun vs Perancis

Perancis mengejutkan pasukan pilihan India untuk mara ke perlawanan kalah mati.

Perlawanan suku akhir dijadualkan jam 8 malam ini.

Baca Juga

Baca Juga