Piers Morgan Dedah Jawapan Balas Ronaldo Ketika Beliau Merayu Jangan Jaringkan Gol Bertemu Arsenal

Cristiano Ronaldo menganjing sahabat beliau, Piers Morgan selepas kejayaan beliau menjaringkan dua gol ketika bertemu Arsenal awal bulan baru-baru ini.

Pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itu berjaya merekodkan gol ke-800 dan 801 beliau ketika aksi bertemu Arsenal itu, seterusnya membantu setan merah mencatat kemenangan 3-2 dalam perlawanan tersebut.

Perlawanan tersebut juga merupakan aksi terakhir United di bawah kendalian pengurus sementara, Michael Carrick sebelum diambil alih oleh Ralf Rangnick.

Personaliti TV, Piers Morgan yang juga merupakan penyokong tegar Arsenal pernah menemu bual Ronaldo sebelum ini dan hubungan mereka juga sudah semakin rapat.

Morgan baru-baru ini telah mengirim mesej kepada Cristiano Ronaldo sebelum sepak mula perlawanan bertemu Arsenal.

“Arsenal bermain bertemu Manchester United dan saya hantar mesej kepada Cristiano Ronaldo sebelum sepak mula untuk merayu kepada dia, ‘Tolong jangan jaringkan gol bertemu kami…’

Tulis beliau di kolum miliknya di Daily Mail.

“Sudah tentu, dia jaringkan dua gol, dan United menang 3-2. ‘maaf’ mesej dari Cristiano Ronaldo kepada saya selepas tamat perlawanan.”

“Saya akan terima maaf itu jika kamu tidak meletakkan emoji ketawa dekat permohonan maaf itu.”

Sejak membuat kepulangan semula ke Old Trafford, Ronaldo telah menjadi nadi terpenting skuad dengan beliau berjaya meledak 13 gol dari 18 penampilan.

Ramai yang mempersoalkan adakah beliau mampu untuk bersinar di bawah kendalian Ralf Rangnick, namun ia terbukti yang segala kebimbangan itu tidak perlu difikirkan.

Pemain berusia 36 itu menjaringkan gol kemenangan untuk setan merah ketika aksi kemenangan 1-0 mereka menewaskan Norwich City kemarin.

Max Aarons menjatuhkan Ronaldo dalam kotak penalti, dengan pemenang lima kali gelaran Ballon D’or itu tenang menewaskan Tim Krul untuk jaringkan gol kemenangan United.

United berjaya mendaki ke kedudukan kelima dalam carta saingan Premier League, dengan mereka ketika ini hanya satu mata sahaja di belakang West Ham untuk masuk ke kelompok empat teratas.

Telah berlaku insiden mengerikan pada aksi babak kedua dalam perlawanan tersebut, yang mana Victor Lindelof terpaksa dikeluarkan selepas mengadu sakit dada dan sukar untuk bernafas.

David De Gea risaukan kesihatan Lindelof

Penjaga gol Manchester United, David De Gea meluahkan rasa risau beliau terhadap rakan sepasukannya, Victor Lindelof yang sebelum ini mengalami masalah sukar bernafas ketika sedang beraksi bertemu Norwich City.

Victor Lindelof ketika aksi kemenangan 1-0 menewaskan Norwich itu dilihat bergelut dengan masalah kesihatan dengan beliau terpaksa mendapatkan bantuan dari petugas kesihatan kerana sukar untuk bernafas.

Dengan perlawanan hanya berbaki 16 minit sahaja sebelum ditamatkan, pemain centre-back Sweden itu dilihat kerap kali memegang dada beliau.

Lindelof yang sudah membuat 23 penampilan untuk kelab dan negara musim ini kemudiannya telah menerima rawatan dari petugas kesihatan di Carrow Road.

Melihat keadaan beliau sedikit berisiko untuk meneruskan permainan, United kemudiannya memutuskan untuk mengeluarkan beliau dan memasukkan Eric Bailly.

Selepas wisel penamat dibunyikan, rakan sepasukan Lindelof, David De Gea mendedahkan hal tersebut ketika sedang ditemu bual selepas tamat perlawanan.

Penjaga gol kebangsaan Sepanyol itu kemudiannya turut mengimbau hal sama yang berlaku ke atas Sergio Aguero dan Christian Eriksen dengan beliau menganggap bola sepak tidak lagi indah jika berlaku insiden seperti ini.

“Yeah (muka risau), terutama ketika kita lihat segelintir pemain merasa sedikit sukar untuk bernafas.”

Jelas De Gea kepada Sky Sports selepas wisel penamat dibunyikan.

“Kita sudah lihat Cristian Eriksen, Sergio Aguero… Jadi kadang kala ia sedikit sukar untuk lihat pemain kamu dalam keadaan seperti ini, jadi saya harap akan ada perubahan dan saya harap dia akan sihat sepenuhnya.”

“Sebaik sahaja berlaku insiden itu, pemain sukar bernafas dan ada rasa janggal, perlawanan jadi sudah tidak penting.”

“Apa yang paling penting adalah nyawa. Bola sepak tak penting. Kita lihat ada pemain yang rasa, saya tak tahu apa yang berlaku, tapi Victor rasa dia susah untuk bernafas.”

Pengurus interim Manchester United, Ralf Rangnick turut menyatakan yang Lindelof ada masalah sukar untuk bernafas selepas beliau dikeluarkan.

Beliau juga telah mengesahkan yang pemain pertahanan beliau itu tidak dijangkiti C0V-19 dan sedang berada dalam keadaan stabil.

“Victor sendiri tak boleh ingat bagaimana ia boleh berlaku.”

“Saya rasa dia ada terlibat dengan pelanggaran bersama pemain lain dan ada ada masalah sukar untuk bernafas. Untuk jangka masa lebih dari 10 minit, kadar degupan jantung dia lebih tinggi dari yang biasa dan dia sendiri terkejut kerana itu, jadi kita perlu gantikan dia.”

“Doktor sudah memeriksa dia selepas tamat perlawanan dan nampaknya semua dalam keadaan OK sekarang, tapi kita masih perlu lihat bagaimana keadaan dia esok. Semoga saja dia akan kembali cergas untuk aksi bertemu Brentford.”

BACA:  Mourinho Samakan Kemarau Gol Lukaku Dengan Botol Sos