Dulu, urusan peminjaman pemain dalam bola sepak sangat mudah. Jika ada pemain yang jarang bermain untuk pasukan, kelab akan meminjamkan mereka kepada pasukan lain untuk sementara waktu.
Kini urusan pinjaman pemain menjadi lebih rumit.
Sesetengah pemain dipinjamkan untuk menaikkan nilai pasaran mereka sebelum dijual. Ada juga pinjaman yang sebenarnya sudah dirancang untuk menjadi perpindahan tetap tetapi dilakukan dalam bentuk pinjaman terlebih dahulu atas sebab perakaunan. Selain itu, ada juga pemain yang dipinjamkan kerana mereka tidak digunakan oleh pasukan asal dan gaji mereka memberi kesan kepada had perbelanjaan kelab di bawah Profitability & Sustainability Rules (PSR).
Setiap kelab mempunyai pendekatan berbeza dalam urusan pinjaman pemain. Ada pemilik kelab tidak suka membawa masuk pemain pinjaman kerana mereka melihatnya sebagai pelaburan yang hanya menguntungkan kelab lain. Ada pula yang menganggap pinjaman sebagai cara cepat untuk membaiki kelemahan dalam pasukan mereka, terutama jika berlaku kecederaan. Bagi sesetengah kelab, pinjaman pemain adalah sebahagian besar daripada strategi perniagaan mereka.
Berikut adalah strategi pinjaman pemain bagi setiap kelab dalam Liga Perdana Inggeris.
Arsenal
Arsenal pernah mempamerkan kreativiti dan kebijaksanaan dalam pasaran pinjaman pemain. Contoh terbaik ketika mereka membawa masuk Martin Ødegaard dari Real Madrid pada Januari 2021 secara pinjaman. Keputusan ini cukup berjaya dan Arsenal akhirnya berjaya mendapatkan Ødegaard secara tetap semusim selepas meminjamnya.
Arsenal juga menggunakan pendekatan kreatif dari segi kewangan ketika mendapatkan David Raya dari Brentford pada musim panas 2023. Raya dipinjam selama 1 musim dengan syarat tertentu yang menjadikan perpindahan itu kekal pada musim seterusnya.
Namun pinjaman pemain Arsenal untuk musim ini kurang berjaya.
Pada hari terakhir jendela perpindahan musim panas, Arsenal meminjam Neto dari Bournemouth dan Raheem Sterling dari Chelsea untuk mengisi kekosongan dalam skuad. Malangnya kedua-dua pemain ini tidak memberikan impak yang besar. Selain itu, dengan kehadiran mereka Arsenal telah memenuhi kuota pinjaman domestik sebelum jendela perpindahan musim sejuk dibuka. Ia menyebabkan Arsenal tidak lagi boleh meminjam pemain dari Liga Perdana (Januari) ketika mereka sedang menghadapi krisis kecederaan di bahagian serangan.
Arsenal tidak meminjamkan pemain akademinya dalam jumlah yang ramai. Ia disebabkan beberapa faktor termasuk tawaran yang tidak memberikan persekitaran baik untuk perkembangan pemain atau tidak memenuhi keperluan kewangan Arsenal.
Aston Villa
Sejak beberapa musim lepas, di bawah Unai Emery (pengurus) dan presiden operasi bola sepak Monchi (presiden operasi bola sepak) pasaran pinjaman pemain merupakan sebahagian penting dalam strategi perpindahan Aston Villa sejak. Kelab ini sering menggunakan pinjaman untuk mengisi kekosongan dalam skuad dan mendapatkan pemain bertaraf Eropah yang mungkin mengalami kejatuhan prestasi di kelab asal mereka.
Sebagai contoh, pada musim lepas Villa meminjam Nicolo Zaniolo dari Galatasaray dan Clément Lenglet dari Barcelona. Dalam jendela perpindahan musim sejuk yang baru ditutup lebih seminggu lalu, mereka menggunakan strategi pinjaman sekali lagi untuk mengukuhkan skuadnya. Villa meminjam Axel Disasi dari Chelsea, Marco Asensio dari Paris Saint-Germain dan Marcus Rashford dari Manchester United.
Namun, pinjaman ini datang dengan kos tinggi kerana gaji pemain-pemain ini sangat besar. Villa menanggung sebahagian besar gaji mereka selain membayar yuran pinjaman. Walaupun begitu, kelab melihat strategi ini sebagai pendekatan “cuba dulu sebelum beli”. Ia mengurangkan risiko jika pemain tidak sesuai dengan pasukan.
Villa juga mempunyai pilihan untuk membeli Rashford, berada dalam kedudukan baik untuk mendapatkan Asensio secara tetap, dan sekiranya Disasi menunjukkan prestasi baik, mereka akan berbincang mengenai penyelesaian jangka panjang pada musim panas nanti.
Bournemouth
Bournemouth jarang bergantung kepada pasaran pinjaman untuk menguatkan skuad mereka. Mereka jarang meminjam pemain dalam satu jendela perpindahan.
Dalam skuad semasanya, hanya Kepa Arrizabalaga yang dipinjam dari Chelsea untuk baki musim ini. Namun, Kepa mungkin mengikuti jejak rakan sepasukannya seperti Luis Sinisterra dan Enes Unal yang pada awalnya menyertai Bournemouth secara pinjaman tetapi akhirnya dibeli secara tetap. Sinisterra dipinjam dari Leeds United selepas kelab itu tersingkir ke Championship pada musim 2023-24, manakala Unal tiba dari Getafe. Bournemouth kemudiannya menandatangani kedua-dua pemain itu secara tetap pada musim panas berikutnya.
Dari sudut pemain keluar, Bournemouth menggunakan pasaran pinjaman untuk memberi peluang kepada pemain mudanya mendapatkan minit permainan. Sepanjang 3 jendela perpindahan terakhir, pemain mudanya telah dipinjamkan ke pelbagai kelab termasuk Hibernian di (liga utama Scotland), Leyton Orient dan Crawley (League One) serta kelab di National League seperti Salisbury, Weymouth dan Farnborough.
Dalam 2 jendela perpindahan musim ini, mereka juga telah meminjamkan beberapa pemain senior yang tidak dijamin mendapat minit permainan di bawah kendalian ketua jurulatih Andoni Iraola, sama ada disebabkan faktor gaya permainan atau gabungan beberapa faktor lain.
Pemain yang dipinjamkan keluar pada musim panas adalah: Joe Rothwell (Leeds), Neto (Arsenal), Chris Mepham (Sunderland), Jaidon Anthony (Burnley), Romain Faivre (Brest) dan Hamed Traore (Auxerre)
Manakala pada jendela perpindahan musim sejuk, mereka meminjamkan Philip Billing (Napoli), Mark Travers (Middlesbrough) dan Max Aarons (Valencia).
Brentford
Brentford menggunakan pasaran pinjaman untuk memastikan pemain skuad B mereka mendapat minit permainan secara tetap. Salah satu contoh terbaik ialah Paris Maghoma yang dipinjamkan ke Bolton Wanderers untuk musim 2023-24. Di sana beliau memenangi anugerah Pemain Muda Terbaik selepas membantu kelab itu menamatkan musim di tempat ke-3 di League One.
Kelab ini juga telah membina hubungan baik dengan Exeter City dan sejak kebelakangan ini mereka telah menghantar beberapa pemain mereka ke sana. Antara pemain yang dipinjamkan ialah Tristan Crama, Tony Yogane dan Ryan Trevitt. Perancangan jangka panjang Brentford adalah untuk membangunkan pemain ini agar mereka dapat menembusi skuad utama atau dijual untuk mendapatkan keuntungan.
- Paris Maghoma berjaya menembusi pasukan utama Brentford musim ini.
- Tristan Crama pula dijual ke Millwall (Championship) pada Januari lalu.
Namun, Brentford jarang meminjam pemain kerana mereka tidak mahu melabur dalam pemain yang hanya akan berada di kelab untuk jangka masa pendek.
Jika mereka membuat pinjaman, ia biasanya melibatkan opsyen pembelian atau kewajipan membeli selepas tempoh pinjaman berakhir. Contohnya, Kevin Schade dan Michael Kayode.
Strategi ini membolehkan Brentford menilai pemain terlebih dahulu sebelum membuat pelaburan besar ke atas mereka.
Brighton
Brighton tidak berminat dengan pasaran pinjaman. Mereka lebih suka membangunkan pemain sendiri melalui sistem akademi dan program latihan kerana ini memberi mereka kawalan penuh terhadap perkembangan pemain.
Namun terdapat beberapa pengecualian dalam strategi ini:
- Levi Colwill (dipinjam dari Chelsea, musim 2022-23)
Colwill berkembang pesat di Brighton dan mereka mahu menandatanganinya secara tetap. Tetapi Chelsea tidak mahu menjualnya sebaliknya pemain itu menandatangani kontrak jangka panjang di Stamford Bridge dan kini menjadi pemain utama Chelsea serta skuad kebangsaan England.
- Ansu Fati (dipinjam dari Barcelona, musim 2023-24)
Pinjaman ini dilakukan kerana Brighton akan bersaing dalam kejohanan Eropah buat kali pertama. Namun, pinjaman ini tidak berjaya dan dianggap satu kesilapan.
Pemain Muda Brighton
Brighton lebih banyak meminjamkan pemain muda ke kelab lain untuk meraih pengalaman dalam persekitaran berbeza. Mereka terdiri dari Ibrahim Osman (Feyenoord/Belanda), Malick Yalcouye (Sturm Graz/Austria) dan Amario Cozier-Duberry (Blackburn/England)
Pada musim ini, Brighton semakin yakin dengan pertumbuhan kelab dan mula meminjamkan pemain muda mereka ke kelab-kelab Liga Perdana. Facundo Buonanotte (Leicester City), Evan Ferguson (West Ham United) dan Julio Enciso (Ipswich)
Pendekatan ini menunjukkan keyakinan Brighton dalam membangunkan pemain mereka sendiri dan hanya meminjamkan mereka ke kelab lain jika ia benar-benar membantu perkembangan pemain tersebut.
Chelsea
Chelsea terkenal dengan jumlah pemain yang mereka pinjamkan ke kelab lain. Untuk musim ini sahaja mereka telah meminjamkan beberapa pemain terkenal, seperti Joao Felix (ACMilan), Axel Disasi (Aston Villa), Ben Chilwell (Crystal Palace), Armando Broja (Everton) dan Raheem Sterling (Arsenal).
Namun, aspek paling menarik dalam strategi pinjaman Chelsea adalah hubungan rapatnya dengan Strasbourg.
Kenapa Chelsea Meminjamkan Pemain ke Strasbourg?
Chelsea dimiliki oleh BlueCo, pada Jun 2023 syarikat ini juga membeli majoriti saham Strasbourg. Sejak itu, 4 pemain Chelsea telah dipinjamkan ke Strasbourg:
- Angelo Gabriel
Dibeli dari Santos (Brazil) dengan harga £12.95 juta pada Julai 2023. Santos bermain 25 perlawanan dan mencatat 4 bantuan gol untuk Strasbourg. Dia kemudiannya dijual ke Al Nassr pada September dengan harga £19.4 juta tanpa pernah bermain bersama Chelsea.
- Andrey Santos
Datang ke Chelsea pada musim panas 2023. Separuh musim pertama dia dipinjamkan ke Nottingham Forest tetapi hanya bermain 2 kali. Pada Januari 2024 dia dipindahkan ke Strasbourg. Dia lebih kerap bermain dan kini dianggap sebagai salah satu pemain tengah terbaik Ligue 1. Chelsea merancang untuk membawanya masuk ke skuad utama pada musim depan.
- Caleb Wiley
Hanya bermain 6 perlawanan di Strasbourg sebelum dipinjamkan ke Watford pada Januari lepas. Prestasinya terganggu kerana kecederaan lutut dan bahu.
- Djordje Petrovic
Satu-satunya kes berbeza dalam senarai ini. Pada musim lepas dia adalah penjaga gol utama Chelsea. Namun,Enzo Maresca lebih suka menggunakan Robert Sanchez dan Filip Jorgensen. Dengan pinjaman ke Strasbourg, dia mendapat minit permainan tetap yang boleh membantu mendapatkan perpindahan kekal pada masa depan.
Apa Faedah Hubungan Ini?
Chelsea: Mendapat tempat untuk membangunkan pemain muda dan menaikkan nilai mereka.
Strasbourg: Mendapat pemain berkualiti tinggi yang mereka mungkin tidak mampu beli.
Pemain: Dapat bermain dalam liga kompetitif berbanding hanya duduk di bangku simpanan.
Strasbourg kini hanya 3 mata dari zon kelayakan Eropah, sedangkan mereka hampir tersingkir dalam 2 daripada 3 musim sebelum ini. Ini menunjukkan manfaat besar hubungan mereka dengan Chelsea.
Crystal Palace
Crystal Palace sering menggunakan pasaran pinjaman untuk mendapatkan pemain muda dari kelab lain yang memerlukan minit permainan atau pemain berpengalaman yang tidak lagi mendapat tempat di kelab asalnya.
Dari segi pemain keluar secara pinjaman, Palace memperbaiki destinasi untuk pemain akademinya dengan menghantar mereka ke kelab yang sesuai dan berkualiti tinggi. Ini membantu perkembangan pemain muda yang masih belum bersedia untuk menembusi pasukan utama di Selhurst Park.
Pada jendela perpindahan musim sejuk, Ben Chilwell dipinjam dari Chelsea untuk menggantikan Trevoh Chalobah yang dipanggil semula ke Chelsea kerana masalah kecederaan di bahagian pertahanan tengah.
Palace juga pernah meminjam beberapa pemain Chelsea sebelum ini seperti Loic Remy, Ruben Loftus-Cheek, Michy Batshuayi (2 kali), Patrick Bamford dan Conor Gallagher.
Everton
Keadaan kewangan Everton yang tidak stabil sejak beberapa musim kebelakangan ini telah memaksa mereka bergantung kepada pasaran pinjaman. Dengan bajet terhad, mereka terpaksa mencari penyelesaian jangka pendek.
Pada usim ini mereka telah menggunakan kuota pinjaman domestik dengan meminjam Jack Harrison (Leeds) dan Armando Broja (Chelsea). Mereka juga telah menggunakan 3 slot pinjaman dari luar negara dengan mendapatkan Orel Mangala (Lyon), Jesper Lindstrom (Napoli) dan Carlos Alcaraz (Flamengo) pada hari terakhir perpindahan pertengahan musim.
Masa depan strategi pinjaman Everton masih belum pasti. Dengan pemilik baru, The Friedkin Group, mereka dijangka akan mempunyai lebih banyak ruang dalam PSR Namun dengan 13 pemain akan tamat kontrak pada musim panas, mereka masih perlu menguruskan sumber dengan cermat.
Bagi pinjaman keluar, Everton melihatnya sebagai jambatan untuk pemain mudanya mendapatkan pengalaman sebelum masuk ke pasukan utama. Proses mencari kelab terbaik untuk mereka diawasi oleh bekas penyerang Everton, James Vaughan. Sebagai contoh, Harrison Armstrong, bakat muda berusia 18 tahun telah dihantar ke Derby County (Championship) untuk baki musim ini.
Fulham
Musim ini amat berbeza untuk Fulham kerana buat pertama kalinya sejak Shahid Khan membeli kelab itu pada tahun 2013, mereka tidak membuat sebarang pinjaman pada jendela perpindahan pertengahan musim.
Dikendalikan oleh anak Shahid Khan, Tony Khan Fulham biasanya menggunakan pasaran pinjaman untuk menambah kekuatan pasukan dengan mengambil pemain berbakat yang tidak mampu dibelinya.
Sebagai contoh, pinjaman Reiss Nelson pada musim panas lalu menunjukkan kelebihan dan risiko pasaran pinjaman. Fulham mendapat pemain sayap berbakat berusia 24 tahun yang mempunyai pengalaman di Liga Juara-Juara, sesuatu yang mungkin di luar bajet mereka. Arsenal bersetuju melepaskannya kerana ketibaan Raheem Sterling dari Chelsea membuatkan Nelson semakin tersisih.
Nelson memberi impak pantas dan menjadi pilihan utama Marco Silva tetapi kecederaan hamstring memperlahankan momentumnya. Namun, masalah utama adalah Fulham tidak memasukkan pilihan beli dalam perjanjian itu, jadi masa depan Nelson bergantung sepenuhnya kepada Arsenal.
Walaupun sesetengah pihak menganggap pinjaman ini sebagai strategi pintar, terdapat juga pihak lain melihatnya sebagai perancangan yang kurang baik. Pada musim panas nanti Fulham dijangka kembali aktif dalam pasaran pinjaman.
Ipswich
Menjelang promosi ke Championship pada musim panas 2023, Ipswich memanfaatkan pasaran pinjaman untuk mendapatkan pemain muda dari kelab Liga Perdana. Ipswich meminjam Omari Hutchinson, Brandon Williams dan Dane Scarlett. Hubungan baik Kieran McKenna (pengurus) dengan bekas kelabnya, Manchester United dan Tottenham membantu menarik bakat-bakat muda ke Ipswich.
Dalam usaha mendapatkan promosi ke Liga Perdana, mereka mula meminjam pemain berpengalaman seperti Lewis Travis dan Kieffer Moore untuk membantu mereka menamatkan saingan Championship dengan cemerlang.
Di Liga Perdana, mereka membawa masuk Jens Cajuste, Kalvin Phillips dan Ben Godfrey untuk menambah pengalaman dalam skuad utama mereka.
Ipswich juga meminjam pemain muda dari Brighton dalam 2 musim perpindahan berturut-turut. Julio Enciso mendedahkan bahawa dia bercakap dengan Jeremy Sarmiento, yang juga pernah dipinjamkan ke Ipswich sebelum ini sebelum membuat keputusan untuk berpindah.
Untuk pemain akademi, Ipswich sering menghantar mereka ke kelab liga bawahan di kawasan sekitar seperti Colchester United (League Two) dan Chelmsford City (divisyen ke-6 England).
Leicester City
Leicester City melihat pasaran pinjaman sebagai peluang penting untuk pembangunan pemain muda dan mengurangkan risiko dalam pembelian pemain baru.
Produk akademi mereka seperti Ben Chilwell, Harvey Barnes dan Kiernan Dewsbury-Hall telah dipinjamkan sebelum menjadi tonggak utama skuad Leicester dan mereka akhirnya dijual dengan nilai keseluruhan £110 juta.
Untuk pemain masuk, Leicester menggunakan pinjaman sebagai langkah berjaga-jaga sebelum membelinya secara tetap. Sebagai contoh, mereka meminjam Abdul Fatawu dan selepas berpuas hati dengan prestasinya, mereka membelinya dengan harga £14 juta.
Namun, strategi pinjaman musim panas lalu tidak berjalan lancar. Leicester menggunakan 2 slot pinjaman Liga Perdana untuk mendapatkan Facundo Buonanotte dan Odsonne Edouard tetapi hanya Buonanotte yang menunjukkan prestasi baik, sementara Edouard gagal memberikan impak.
Liverpool
Kali terakhir Liverpool membuat pinjaman pemain adalah pada September 2022, apabila mereka mengambil Arthur Melo dari Juventus. Namun pinjaman itu bertukar menjadi bencana kerana Arthur langsung tidak bermain di liga. Kes itu mungkin menyebabkan Liverpool lebih berhati-hati dengan pinjaman.
Liverpool kini lebih menumpukan kepada pembelian pemain yang boleh menyumbang dalam jangka masa panjang. Mereka membuat kajian menyeluruh terhadap pemain sebelum merekrut mereka untuk mengurangkan risiko kegagalan.
Namun, pasaran pinjaman masih berguna. Selepas membeli Giorgi Mamardashvili dari Valencia, mereka membenarkan penjaga gol itu kekal di kelab Sepanyol itu sepanjang musim ini.
Liverpool juga memberi perhatian khusus kepada pembangunan pemain muda melalui pinjaman. Pemain seperti Ben Doak (Middlesbrough), Lewis Koumas (Stoke City) dan Owen Beck (Blackburn Rovers) telah dihantar ke kelab lain untuk mendapatkan pengalaman.
Proses ini diawasi oleh Matt Newberry (ketua bahagian pinjaman) yang bekerjasama rapat dengan staf kejurulatihan untuk memastikan setiap pemain mendapat manfaat maksimum daripada pengalaman pinjaman mereka.
Manchester City
Manchester City menggunakan pasaran pinjaman dengan 3 cara utamantetapi 2 daripadanya lebih kerap digunakan.
Pertama, mereka mengambil pemain seperti Juma Bah pada Januari dan segera meminjamkannya ke kelab lain, kadangkala kelab dalam kumpulan City Football Group seperti Girona. Matlamat utama ialah untuk membantu pemain berkembang sebelum dijual dengan harga lebih tinggi seperti yang berlaku kepada Pedro Porro.
Kedua, untuk pemain akademi yang dipinjamkan City memilih kelab berdasarkan gaya permainan. Contohnya, mereka pernah menghantar pemain ke Rochdale kerana pendekatan penguasaan bola oleh Brian Barry-Murphy.
Mereka juga mempertimbangkan jumlah penyokong dan sasaran kelab tersebut. Contohnya, Sunderland (League One) dan Hamburg (2. Bundesliga) adalah kelab besar yang pernah mereka gunakan.
Ketiga, ini lebih jarang berlaku tetapi masih digunakan, pemain senior yang tersisih seperti Joao Cancelo (2023) dan Kyle Walker (2025) yang dipinjamkan tanpa perancangan jangka panjang. Dalam kes ini, City tidak terlalu memilih ke mana mereka akan dipinjamkan.
Manchester United
United lebih banyak menggunakan pasaran pinjaman kerana kekangan kewangan, bukan kerana strategi yang terancang. Mereka sering meminjamkan pemain bergaji tinggi yang sukar dibeli oleh kelab lain.
Marcus Rashford adlaah contoh paling jelas. Aston Villa hanya diberikan pilihan untuk membelinya pada harga £40 juta tetapi Villa tidak wajib membelinya.
Jadon Sancho pula mempunyai struktur pinjaman yang memberi bonus kepada United selepas Borussia Dortmund mara ke final Liga Juara-Juara. Tetapi kerana Dortmund tidak mampu menampung gajinya, dia akhirnya dipinjamkan ke Chelsea dengan kewajipan pembelian antara £20 juta hingga £25 juta, bergantung pada prestasi.
Pada Januari lepas, Antony dan Tyrell Malacia juga dipinjamkan kelaur untuk mengurangkan beban gaji kelab.
United turut menggunakan pasaran pinjaman untuk pembelian sementara kerana kekangan kewangan. Contohnya, Wout Weghorst dan Marcel Sabitzer dibawa masuk pada Januari 2023, sebelum Sofyan Amrabat tiba dengan bayaran pinjaman sebanyak €10 juta pada musim panas berikutnya.
Mereka juga mempertimbangkan beberapa pinjaman pada Januari lepas seperti Mathys Tel, Christopher Nkunku dan Leon Bailey, tetapi kelab itu enggan membayar yuran pinjaman sebanyak £5 juta untuk Tel.
Bagi pemain muda, United sering meminjamkan mereka untuk menaikkan nilai pasaran atau membangunkan mereka sebelum dimasukkan ke skuad utama. Contohnya, Alvaro Fernandez Carreras dipinjamkan ke Granada dan kemudian Benfica yang mempunyai pilihan pembelian €6 juta.
Pada Januari lepas, Ethan Wheatley, Dan Gore dan Joe Hugill dihantar ke kelab liga bawahan. Manakala Toby Collyer diputuskan untuk terus bersama pasukan oleh Erik ten Hag dan Ruben Amorim.
Newcastle United
Dari sudut pemain masuk, Newcastle jarang menggunakan pasaran pinjaman. Mereka hanya berbuat demikian dalam kes terdesak seperti Matt Targett pada Januari 2022.
Eddie Howe lebih sukakan perpindahan tetap terutama pada jendela perpindahan musim sejuk. Beliau percaya pemain yang tersedia untuk pinjaman biasanya sedang bergelut dengan prestasi atau ada masalah lain.
Pada musim ini tiada pemain masuk secara pinjaman tetapi Lloyd Kelly dipinjamkan ke Juventus adalah satu kes khas kerana ia pinjaman dengan kewajipan pembelian.
Untuk pemain keluar, beberapa nama seperti Isaac Hayden (Portsmouth) dan Jamal Lewis (Sao Paulo) dipinjamkan kerana mereka bukan lagi sebahagian daripada perancangan pasukan.
Beberapa pemain muda seperti Harrison Ashby dan Joe White dipinjamkan ke kelab lain untuk menimba pengalaman. Namun, peminat Newcastle tidak berpuas hati dengan cara kelab memilih destinasi pinjaman. Contohnya, Garang Kuol menghadapi beberapa pinjaman yang tidak berjaya manakala Alex Murphy (Bolton) dan Charlie McArthur (Carlisle) menyertai kelab yang akhirnya memecat pengurus mereka tidak lama kemudian.
Namun, Yankuba Minteh adalah contoh kejayaan Newcastle dalam pasaran pinjaman. Selepas dibeli dari Odense (2023), dia dipinjamkan ke Feyenoord dan kemudian dijual kepada Brighton dengan harga £30 juta. Ia membantu Newcastle mematuhi PSR.
Nottingham Forest
Nottingham Forest bergantung kepada pinjaman untuk kekal dalam Liga Perdana tetapi keputusan mereka dalam beberapa jendela perpindahan terakhir agak bercampur-baur.
Mereka berjaya naik ke Liga Perdana dengan barisan pemain pinjaman seperti Philip Zinckernagel, Djed Spence, James Garner, Max Lowe dan Keinan Davis.
Selepas promosi, pemain pinjaman seperti Renan Lodi, Dean Henderson dan Keylor Navas membantu mereka mengelak dari penyingkiran. Chris Wood juga tiba secara pinjaman sebelum pembelian tetap dilakukan pada harga £15 juta.
Namun pada musim lalu, hampir semua pemain pinjaman mereka gagal memberi impak termasuk Gio Reyna, Nuno Tavares, Divock Origi, Andrey Santos dan Rodrigo Ribeiro.
Pada musim ini, mereka lebih berhati-hati. Alex Moreno dari Aston Villa ialah pinjaman yang berjaya manakala James Ward-Prowse memberikan sumbangan positif sebelum West Ham memanggilnya pulang.
Forest juga menggunakan pinjaman untuk mengembangkan bakat muda dan memberi peluang kepada pemain simpanan.