Pique Untung Besar Kerana Berjaya Pindahkan Spanish Cup Ke Arab Saudi

Pemain pertahanan Barcelona, Gerard Pique telah dituduh mengutip keuntungan berjuta-juta dari penganjuran saingan Spanish Super Cup di Arab Saudi sebelum ini.

Keputusan FA Sepanyol memindahkan arena penganjuran saingan Super Cup dari di negara sendiri ke Arab Saudi telah mencetuskan kontroversi di kalangan peminat dan kelab.

Pique didakwa telah membantu broker dalam rundingan dengan Presiden FA Sepanyol, Luis Rubiales untuk memindahkan venue pertandingan ke negara Timur Tengah itu.

Menurut sumber laporan dari The Telegraph, akhbar Sepanyol, El Confidential telah mendakwa yang RFEF telah memasukkan dua klausa dalam kontrak rundingan bersama wakil Arab Saudi.

Antara klausa yang dimaksudkan adalah syarikat milik Pique, Kosmos yang baru ditubuhkan pada tahun 2018 itu akan menerima €4 juta (£3.3 juta) untuk setiap pertandingan yang dilangsungkan di Arab Saudi selama tempoh enam tahun, yang mana secara keseluruhannya mereka akan menerima €24 juta (£19.9 juta).

Laporan sama turut menjelaskan yang RFEF akan menerima €40 juta (£33.1 juta) untuk setiap edisi Spanish Super Cup yang akan dilangsungkan di negara itu.

El Confidencial mendakwa yang mereka telah berjaya mendengar rakaman suara dan dokumen berkait rundingan itu dan menuduh Rubiales mencuba untuk menyembunyikan nama Pique dari rundingan tersebut.

Dalam satu rakaman yang ada, Pique menjawab kenyataan dari Rubiales yang menyatakan bahawa Real Madrid tidak akan bermain di luar Sepanyol andai mereka menerima kurang dari €8 juta (£6.6 juta).

“Jika ia melibatkan duit dan Real Madrid mahukan €8 juta, maka mereka akan dapat €8 juta dan Barcelona juga akan dapat €8 juta, sementara pasukan lain pula, mereka akan dapat €2 juta dan €1 juta.”

Jelas Pique.

“Itu dah €19 juta dan kamu, persatuan, simpan €6 juta. Kita boleh desak Arab Saudi untuk bagi lebih, cakap saja jika tak nanti Real Madrid tak nak datang.”

“Berbanding kamu anjurkan di Sepanyol, yang mana kamu tak akan dapat walau €3 juta sekalipun, cuba fikirkan betul-betul.”

Penglibatan Gerard Pique dalam rundingan itu telah menimbulkan kontroversi dek kerana beliau pada ketika ini masih lagi pemain dalam skuad Barcelona.

Laporan sama sebenarnya turut menyatakan yang Pique tidak mengenakan cas terus kepada RFEF bagi mengelakkan dari pelanggaran etika.

Satu lagi rakaman lain yang didedahkan oleh El Confidencial adalah mesej yang dikirim dari Rubiales kepada Pique selepas rundingan itu berjaya dimuktamadkan.

“Kerja yang bagus Geri, dan saya tak bercakap tentang persembahan kamu atau gol kamu jaringkan semalam.”

Ujar Rubiales dalam rakaman tersebut.

“Saya bercakap tentang hal berkait perjanjian dengan Arab Saudi. Terima kasih untuk semuanya dan saya ada di sini kalau kamu perlukan apa-apa.”

Mesej itu dikatakan telah dihantar sejak September 2019 lalu dengan ia merupakan edisi pertama pertandingan itu dianjurkan di Arab Saudi pada bulan Januari tahun 2020.

Real Madrid berjaya memenangi Piala tersebut dengan Atletico Madrid, Valencia dan kelab yang Pique wakili, Barcelona turut bersaing di kejohanan tersebut.

The Mirror melaporkan yang wakil jurucakap Pique telah memberitahu El Confidencial yang pemain pertahanan Barcelona itu tidak menerima apa-apa layanan istimewa dari Rubiales sepanjang rundingan berlangsung hingga ke selepas kejohanan tamat.

RFEF turut mengeluarkan kenyataan umum kemarin yang menyatakan:

“Maklumat tersebut tidak menambah apa-apa yang baru sejak dari 2019.”

“Semua angkat tersebut telah dibentangkan dan disokong oleh semua yang terlibat.”

Sumber: SPORTbible

BACA:  Gerard Pique Umumkan Persaraan Dari Arena Antarabangsa