Penyerang prolifik Tottenham Hotspurs, Harry Kane mungkin terpaksa melupakan baki saingan musim ini selepas mengalami kecederaan serius ketika perlawanan Liga Juara-Juara Eropah menentang Manchester City awal pagi tadi.
Dalam perlawanan yang berkesudahan dengan Spurs memperolehi kemenangan tipis 1-0 ke atas The Citizens, Kane terpaksa diusung keluar meninggalkan padang selepas bertembung dengan Fabian Delph pada awal separuh masa kedua.
Kane cuba merampas bola dari kaki Delph dengan melakukan terjahan tetapi kedudukan kaki kirinya yang tidak stabil menyebabkan kakinya terseliuh dalam masa yang sama.
Sejurus mengalami kecederaan, Kane terpaksa diusung masuk ke bilik persalinan bagi mendapatkan rawatan susulan. Kane dapat dilihat meninggalkan stadium dalam keadaan bertongkat selepas tamat perlawanan.
Walaupun bermain tanpa kelibat Kane untuk majoriti separuh masa kedua, Spurs tetap mengekalkan disiplin dan kesabaran mereka akhirnya terbalas apabila bintang K-Pop, Heung-Min Son menjaringkan gol tunggal perlawanan pada minit ke-78.
Walaupun hanya membawa bekalan tipis, ia merupakan kemengan yang mampu melonjakkan moral anak buah Mauricio Pochettino bagi mengharungi baki kempen musim ini, lebih-lebih lagi mereka bakal bermain tanpa kelibat pemain berpengaruh, Harry Kane.
Kane turut mengalami kecederaan yang sama ketika Spurs bertemu Manchester United pada 13 Januari lalu, yang mana kecederaan itu menyebabkan beliau tidak dapat bermain selama sebulan.
https://twitter.com/footyclantv/status/1115713443997396992
Buat masa sekarang, tempoh masa yang diperlukan Kane untuk sembuh masih belum diketahui kerana perlu menunggu bengkak pada kaki Kane surut terlebih dahulu.
Pochettino yang ditemu ramah selepas tamat perlawanan, tidak menaruh harapan yang tinggi untuk melihat Kane beraksi lagi musim ini.
“Ya, kami perlu membuat ujian terlebih dahulu esok. Tetapi ia kelihatan sama seperti yang dialami beliau sebelum ini ketika perlawanan menentang Manchester United.”
“Saya berasa sangat sedih dan kecewa. Keadaan akan menjadi sukar untuk baki kempen musim ini.”
“Kami berharap kecederaan Kane tidak akan menjadi satu isu yang besar tetapi beliau tidak mempunyai masa yang cukup untuk kembali sembuh. Kakinya terseliuh dan kami perlu menilai bagaimana reaksi Kane dalam masa beberapa jam yang akan datang.”
Harry Kane's night from hell could mean the end of his season following tussles with Otamendi, an elbow from Fernandinho and the foul from Delph https://t.co/wlKt8wVmdR pic.twitter.com/MXvxiQYmVF
— MailOnline Sport (@MailSport) April 9, 2019
Spurs bakal melalui perlawanan yang agak mencabar selepas ini bermula dengan melayan kunjungan pasukan Huddersfield yang sudah tersingkir dari Liga Perdana Inggeris.
Beberapa hari selepas itu, mereka akan berkunjung ke Etihad Stadium untuk perlawanan timbal balik suku akhir Liga Juara-Juara Eropah sebelum bertemu lawan yang sama di stadium yang sama pada hujung minggu hadapan bagi saingan liga.