Pochettino: Tottenham Hotspurs Adalah Kelab Terbaik Dunia

Pengurus Tottenham, Mauricio Pochettino memberitahu beliau tidak akan menukar kerjanya sekarang dengan mana-mana kelab. Ini berikutan terdapat laporan dari Sepanyol yang mengaitkan beliau dengan Real Madrid bagi menggantikan tempat Zinedane Zidane.

Pochettino berkata beliau komited dengan kerjanya bersama Spurs kerana bagi beliau, Spurs adalah kelab terbaik dunia pada masa kini.

Pengurus yang berasal dari Argentina ini telah dikaitkan dengan jawatan pengurus di Santiago Bernabeu selepas berjaya memimpin pasukannya menewaskan Real Madrid 3-1 pada saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara minggu lalu.

Spurs kelab terbaik dunia. Gambar –  Viva

Walaupun dikaitkan dengan jawatan paling glamour dalam bolasepak, Pochettino masih setia dan berikrar untuk memberikan komitmen sepenuhnya kepada Spurs. Bercakap menjelang pertemuan penting menentang Crystal Palace di Wembley, Pochettino dipetik berkata:

“Kelab paling penting dalam dunia sekarang adalah Tottenham Hotspurs. Dan Spurs juga adalah kelab terbaik dunia sekarang. Saya mesti berfikiran sebegitu kerana saya tidak mahu perasaan saya terhadap Spurs menjadi palsu. Sangat sukar untuk menjadi amanah jika kamu tidak percaya terhadap sesuatu.”

“Hari ini, hanya Spurs 100% dalam fikiran saya. Saya juga tidak akan menukar kerja saya sekarang bersama Tottenham dengan mana-mana jawatan pengurus kerana saya sangat fokus dengan kelab ini.”

“Kelab ini mesti mempunyai pekerja yang hanya memikirkan mengenai kelab, peminat, pemain, dan struktur kelab secara keseluruhannya. Jadi adalah sangat penting untuk mengetahui kehendak peminat terhadap pasukan. Spurs adalah kelab yang sangat menakjubkan, jadi adalah sangat penting untuk kami membalas balik layanan baik kelab ini terhadap pemain dan jurulatih.”

Pochettino ketika bersama Argentina. Gambar – footballwhispers

Pochettino telah melanjutkan kontraknya bersama Spurs pada Mei tahun lepas, yang mana bakal menyaksikan beliau mengemudi kelab utara London ini sehingga tahun 2021. Bekas pengurus Espanyol dan Southampton ini turut berbicara mengenai hubungan istimewanya dengan pengerusi Tottenham, Daniel Levy.

“Sebelum saya tiba di Tottenham, semua orang memberitahu saya adalah sukar untuk membentuk hubungan yang baik dengan Daniel Levy. Tidak lama selepas berada di kelab ini, saya mengetahui beliau adalah seorang yang amat bagus.”

“Hari ini, saya berpendapat beliau percayakan saya dan saya percayakan beliau. Itu adalah perkara yang bagus. Tambahan pula, saya tidak terlalu memikirkan mengenai masa depan saya kerana saya hanya memikirkan apa yang berlaku hari ini.”

“Saya tidak hiraukan perkara yang berlaku di sekeliling kerana saya tahu saya amat gembira disini dan kami mempunyai hubungan yang amat cemerlang. Ia bukan hanya mengenai menang atau kalah sahaja, ia lebih kepada perasaan percaya.”

“Dan apabila kamu berjaya meyakinkan semua pihak dalam kelab ini mengenai keupayaan kamu, kamu mesti mencipta sesuatu yang besar buat kelab ini dan membantu kelab untuk memenangi sesuatu.”

Baca Juga

Baca Juga