Pogba Bengang Dengan Solskjaer Dan Mungkin Akan Tolak Tawaran Baru

Paul Pogba dilaporkan bengang dengan Ole Gunnar Solskjaer kerana mengetepikan beliau dari kesebelasan utama skuad ketika beraksi bertemu Liverpool.

Beliau terkilan kerana dirinya tidak diberikan peluang untuk turun sebagai pemula dalam perlawanan yang memperlihatkan bagaimana setan merah dibelasah teruk oleh Liverpool itu.

Beliau hanya sekadar dimasukkan pada aksi babak kedua permainan, dan hanya sempat bertahan beberapa minit sahaja di atas padang, sebelum dilayangkan kad merah.

Sebelum dibuang padang, Paul Pogba telah melakukan kesilapan dungu yang menyebabkan gawang gol United dibolosi buat kali kelima dalam perlawanan tersebut.

Beliau melepaskan bola kepada Jordan Henderson yang kemudiannya melorongkan bola tersebut terus mencari Mohamed Salah sebelum bintang Mesir itu melengkapkan hat-trick beliau dalam perlawanan ini.

Beliau kemudiannya melakukan terjahan menggunakan dua kaki ke atas Naby Keita dan menyebabkan pengadil perlawanan terpaksa melayangkan kad merah padanya.

Pemenang Piala Dunia bersama Perancis itu turut menyatakan permohonan maaf beliau kepada rakan sepasukannya, namun beliau tidak bercakap dengan Solskjaer.

Pogba sebelum ini dilaporkan sedang mempertimbangkan untuk menandatangani kontrak baru bersama Manchester United, namun rundingan tentang hal tersebut ditangguhkan buat seketika.

Kontrak asal pemain kebangsaan Perancis itu bersama kelab akan berakhir pada Jun 2022, bermaksud beliau bakal dibenarkan untuk berunding dengan mana-mana kelab lain pada Januari nanti.

Beliau juga akan dibenarkan untuk meninggalkan kelab sebagai pemain berstatus free ejen pada jendela perpindahan musim panas nanti.

Laporan terbaru dari media UK menyatakan yang komen lantang dari pemain berusia 28 tahun itu selepas tamat aksi kekalahan 4-2 bertemu Leicester City tidak diterima dengan baik oleh Solskjaer.

“Kita sudah lama mengharungi permainan seperti ini.”

“Kita masih tak jumpa masalah, terlalu mudah untuk bolos, kita perlu menjadi lebih matang, bermain dengan lebih pengalaman dan keangkuhan dalam cara yang lebih baik.”

“Kita perlu cari sesuatu, kita perlu ubah.”

Pogba sejak dari itu sepertinya lebih kerap diketepikan dari skuad utama, dengan beliau turut terpinggir ketika aksi kemenangan dramatik United menewaskan Atalanta 3-2 dalam saingan Champions League.

Beliau juga masih gagal untuk menjaringkan sebarang gol selepas membuat 12 penampilan dalam semua pertandingan sepanjang musim ini.

Beliau walau bagaimanapun berjaya mencatatkan tujuh assists dari empat perlawanan pertama dalam saingan Premier League pada awal musim sebelum ini.

Beliau memulakan saingan musim ini dengan sangat cemerlang selepas berjaya mencatatkan empat assists dalam satu perlawanan ketika membantu United membelasah Leeds 5-1.

Walau bagaimanapun prestasi beliau sepertinya sedikit demi sedikit menunjukkan kemerosotan dan menyebabkan beliau terpinggir dari kesebelasan utama pilihan Solskjaer.

Paul Scholes anggap Pogba tak layak terus beraksi bersama United

Paul Scholes memberikan kritikan pedas ke atas Paul Pogba dan menganggap bintang Perancis itu tidak sepatutnya bermain untuk Manchester United lagi.

Beliau menganggap yang Manchester United tidak memerlukan khidmat pemain midfield Perancis itu, apa lagi selepas melihat bagaimana Pogba dengan mudah menerima kad merah ketika beraksi bertemu Liverpool kemarin.

Legenda Manchester United itu percaya yang Pogba sebenarnya telah banyak diberikan kesempatan untuk membuktikan mengapa beliau bernilai untuk kelab.

Scholes turut mempertikaikan tentang kontroversi luar padang yang sering dicetuskan oleh Pogba dan ejennya sendiri, Mino Raiola sebagai satu hal yang tidak boleh diterima.

Dek kerana itu, beliau menegaskan yang lebih baik untuk Paul Pogba pergi sahaja meninggalkan kelab dari terus menjadi beban.

“Paul Pogba dimasukkan ke padang lepas rehat separuh masa untuk membantu pasukan dan mungkin dapatkan kembali maruah kelab, cuba untuk kawal bola, cuba untuk buktikan betapa kuatnya dia di tengah padang… Tapi akhirnya dia beri gol kepada lawan.”

Jelas Paul Scholes kepada Premier League Productions.

“Dan kemudian dia dilayangkan kad merah kerana tackle yang mengarut, sekarang mereka ketinggalan 5-0 dan terpaksa bermain dengan 10 orang pemain. Kamu perlu untuk fikir, jika Ole masih pengurus di sana, adakah kita akan lihat Pogba kembali menyarung jersi United?”

“Dia cetuskan kekecohan sejak beberapa tahun kebelakangan ini. Semua orang tahu betapa berbakatnya dia, semua orang percayakan dia, semua pengurus percayakan dia, cuba bagi dia muka dan biarkan dia jadi pemain yang dia mahu.”

“Tapi dengan semua hal ini, tidak mahu tandatangani kontrak baru, hampir menghantar kelab ke lembah hina, dan kemudian dia datang, lepas tu lakukan hal seperti itu.”

“Ini bukan salah Ole, jangan salah faham, tapi hal ini sebahagian dari sebab rosaknya persembahan United hari ini.”

“Lihat, dia berkemungkinan akan bermain lagi, betul bukan? Tapi saya tak fikir mereka akan rasa kehilangan andai dia tidak bermain.”

“Dia ada banyak peluang, dia selalu kata yang dia kurang konsisten, tapi dia sebenarnya kurang berdisiplin dan tidak menghormati pengurus dia dan rakan sepasukan dia yang lain atas apa dia buat hari ini.”

United akan kembali beraksi dalam saingan Premier League pada Sabtu ini bertemu Spurs di Tottenham Hotspur Stadium.

Mereka selepas itu bakal berkunjung ke Atalanta untuk aksi dalam saingan Champions League, sebelum bertemu Manchester City tiga hari selepas itu di Old Trafford.

Sumber: SPORTbible

BACA:  Adidas Beri Lampu Hijau Benarkan Greenwood Kembali Selepas Pertemuan Rahsia Bersama Pengurusan Setan Merah