Pogba Berterima Kasih Kepada Mourinho Kerana Menjadikan Dirinya Pemain Lebih Baik

Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba mengucapkan terima kasih kepada Jose Mourinho kerana membentuk beliau menjadi pemain yang lebih baik sepanjang bersama lebih dua tahun sebelum Mourinho dipecat minggu lepas.

Mourinho bertanggungjawab membawa kembali Pogba ke Old Trafford dalam perjanjian rekod dunia ketika itu bernilai £89 juta, tetapi hubungan di antara mereka sering dilanda pelbagai kontroversi.

Senakal-nakal Pogba, beliau masih ingat jasa Mourinho terhadapnya selama ini. Sejuk ibu mengandung

Walaupun sering diketepikan Mourinho musim ini, Pogba tetap memberikan pujian kepada Mourinho. Beliau berkata demikian selepas Manchester United mencatatkan kemenangan besar ke atas Cardiff City awal pagi tadi, yang juga kemenangan pertama Ole Gunnar Solskjaer selaku pengurus sementara United.

“Kami berjaya memenangi beberapa trofi di bawah Jose dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepadanya atas perkara tersebut.” Ujar Pogba.

“Beliau menjadikan saya pemain yang lebih bagus, dan juga dari segi peribadi. Kami tetap berusaha keras walaupun semua perkara yang kami lalui tidak berjalan dengan lancar. Tetapi itu semua perkara yang lepas dan saya mahu mengucapkan terima kasih kepada beliau.”

Jelingan tajam Pogba terhadap Mourinho suatu ketika dahulu. Jiwa rebel

Dalam aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi, Manchester United mempamerkan persembahan terbaik mereka musim ini dengan menjaringkan 5 gol melepasi Cardiff City.

Dan buat pertama kali selepas Sir Alex Ferguson meninggalkan Old Trafford, Red Devils berjaya menjaringkan 5 gol dalam satu perlawanan. Kali terakhir ia berlaku adalah pada perlawanan terakhir Sir Alex Ferguson menjadi pengurus United, iaitu ketika mereka seri 5-5 menentang West Brom.

Marcus Rashford membuka jaringan untuk United seawal minit ke-3. Tidak lama selepas itu, Ander Herrera dan Anthony Martial menambah jaringan untuk United bagi menjadikan kedudukan 3-1 sebelum tamat separuh masa.

Lingard yang pernah dikritik Mourinho sebelum ini, menambah derita Cardiff dengan menyumbat dua gol pada separuh masa kedua untuk menjadikan kedudukan akhir 5-1.

Pogba beraksi cemerlang menentang Cardiff. 4 daripada 5 gol United datang dari kaki Pogba

“Kami sangat gembira perlawanan pertama pengurus baru bermula dengan keputusan tersebut. Amat penting untuk kami meneruskan momentum ini.”

“Kami tidak boleh bermain seperti ini dan menjaringkan 5 gol tetapi dalam perlawanan seterusnya, kami tewas.”

Manchester United dilihat akan meneruskan momentum kemenangan mereka apabila melayan kunjungan Huddersfielddi Old Trafford dalam aksi Boxing Day pada 26 Januari nanti.

BACA:  Manchester United 'Tertidur' Ketika Cubaan Mendapatkan Pedro