Pogba Dedah Senarai Pemain Lebih Baik Daripada Beliau

Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba mendakwa bekas pemain Arsenal yang sering ditimpa kecederaan yang bertubi-tubi, Abou Diaby merupakan pemain yang lebih baik daripada beliau.

Paul Pogba meletakkan Diaby sebaris dengan beberapa pemain ternama dan handalan dunia yang lain seperti Toni Kroos, Andres Iniesta, David Silva, dan Kevin De Bruyne.

Pogba menyertai Manchester United dari Juventus pada tahun 2016 dalam perjanjian bernilai £89 juta dan turut memecahkan rekod dunia ketika itu.

Beliau juga menjadi pemain termahal pernah dibeli Manchester United sehingga ke hari ini.

 Pogba tidak anggap dirinya sebagai pemain tengah terbaik dunia. Humble down to earth

Walau bagaimanapun, pemain antarabangsa Perancis ini sering menjadi sasaran pengkritik bolasepak kerana gagal mempamerkan prestasi yang sepadan dengan harga beliau.

Pogba juga beberapa kali dikritik Jose Mourinho kerana gagal menunjukkan persembahan yang konsisten dengan kualiti yang ada pada dirinya.

Setiap kali musim Liga Perdana Inggeris telah melabuhkan tirainya, akan muncul spekulasi yang bertiup kencang mengatakan Pogba akan berpindah pada jendela perpindahan.

Beberapa kelab besar Eropah seperti Real Madrid dan Juventus telah dikaitkan untuk mendapatkan khidmat Pogba sekiranya Manchester United berminat untuk melepaskan pemain tersebut.

Pogba anggap Diaby pemain yang lebih bagus daripadanya

Walaupun demikian, Pogba mengambil sikap merendah diri dengan menyatakan terdapat beberapa pemain di luar sana yang lebih hebat daripada beliau.

Ketika ditemu ramah oleh stesen televisyen Canal+, Pogba telah ditanya siapakah pemain tengah yang lebih baik daripada beliau ketika ini.

“Andres Iniesta, beliau mempunyai karier yang sangat menakjubkan. Luka Modric, Toni Kroos, David Silva, Kevin De Bruyne, Yaya Toure dan mungkin juga Abou Diaby.”

“Dari segi box to box, Diaby merupakan pemain yang hebat tetapi malangnya beliau sering ditimpa kecederaan. Anda boleh lihat kemampuan beliau ketika bermain untuk Arsenal. Beliau merupakan pemain yang cukup hebat, tetapi umum telah melupakan beliau.”

“Dalam pasukan kebangsaan Perancis, beliau pemain yang ‘besar’. Saya sangat menghormati beliau. Saya tidak akan melupakan Diaby kerana saya banyak belajar dari beliau.”

Diaby bermain untuk Arsenal selama 9 tahun bermula dari tahun 2006 sehingga 2015. Malangnya, waktu beliau bersama Arsenal dihimpit dengan kecederaan dan beliau hanya mampu melakukan 180 penampilan sahaja.

Masalah kecergasan semakin meruncing pada musim-musim terakhirnya di Emirates, dan Diaby hanya mampu beraksi sebanyak 22 perlawanan sahaja dari 4 musim terakhir beliau di Arsenal.

Selepas meninggalkan Arsenal, beliau berkelana ke Perancis untuk bermain dengan Marseille tetapi masalah kecederaan masih lagi berulang.

Diaby yang semakin dilupakan membawa diri ke Perancis tetapi kecederaan masih membelenggu beliau

Beliau hanya mampu bermain 6 perlawanan dalam dua musim dan dilepaskan Marseille pada tahun 2017.

Beliau masih lagi belum bersara dari bolasepak dan berharap mampu meneruskan karier bolasepaknya sebaik sahaja sembuh dari kecederaan.

BACA:  Manchester United Lancar Bidaan Mendapatkan Aaron Wan-Bissaka