Pogba Hangat Dikaitkan Dengan Perpindahan Ke Barcelona Selepas Bertemu Messi Di Dubai

Pemain tengah Manchester United, Paul Pogba menghangatkan lagi spekulasi yang mengaitkannya dengan perpindahan ke Sepanyol untuk menyertai Barcelona selepas berjumpa dengan Lionel Messi di Dubai.

Messi dan Pogba masing-masing tidak terlibat dengan tugasan antarabangsa bersama Argentina dan Perancis tetapi itu tidak menghalang mereka untuk berjumpa di Dubai.

Messi masih lagi berteka-teki mengenai masa depannya bersama Argentina dan mengambil keputusan untuk berehat buat sementara waktu. Manakala Pogba pula tidak dapat dipanggil Perancis kerana mengalami kecederaan yang memaksanya berada di tempat duduk penonton ketika Manchester United tumpas di tangan Manchester City minggu lalu.

Sempena cuti antarabangsa selama dua minggu, Pogba dan Messi meluangkan masa berharga bersama keluarga dengan berkunjung ke United Arab Emirates.

Messi dan Pogba sebenarnya berjumpa secara tidak sengaja ketika membawa keluarga masing-masing makan malam di restoran terkenal Nusr-Et yang dimiliki oleh Salt Bae.

Dalam video yang dimuatnaik pemilik restoran, Nusret Gokce atau lebih dikenali sebagai Salt Bae, Messi dan Pogba berada dalam keadaan gembira bersama keluarga masing-masing menjamah steak yang dipotong sendiri oleh Salt Bae.

Messi dan Pogba sempat berbual dan berbincang mengenai beberapa topik dan menurut laporan, N’Golo Kante merupakan antara topik yang dibualkan mereka berdua kerana Kante bertanggungjawab mengawal Messi ketika Perancis menang ke atas Argentina dalam Piala Dunia 2018 yang lalu.

Perjumpaan tidak rasmi ini nyata membuatkan peminat Setan Merah tidak senang duduk kerana mereka mungkin kehilangan khidmat pemain tengah berpengaruh yang dibeli pada harga rekod kelab pada tahun 2016.

Pogba jumpa Messi di Dubai tetapi media anggap Pogba akan menyertai Barcelona. Boleh jadi Messi ke Old Trafford ?

Berdasarkan beberapa laporan daripada Itali, bekas pemain Juventus itu telah bersetuju untuk menyertai Barcelona dengan yuran perpindahan dianggarkan berjumlah €100 juta. Pogba juga dikatakan bakal menandatangani kontrak selama 5 tahun untuk bermain di Nou Camp.

Ejen kepada Pogba, Mino Raiola telah menyatakan hasratnya kepada umum yang Pogba berminat untuk meninggalkan Old Trafford kerana kerap menjadi mangsa kritikan Jose Mourinho.

Kapten Barcelona, Gerard Pique juga telah mengeluarkan kenyataan yang kelab tersebut akan mengalu-ngalukan ketibaan Pogba dengan tangan terbuka sekiranya pemain tersebut berminat untuk bermain dengan Barcelona.

Pique gembira jika Pogba benar-benar sertai Barcelona. Tetapi masih belum kedengaran kenyataan yang berbunyi Pogba ada DNA Catalan.

“Kami akan berasa gembira untuk menerima Pogba di Barcelona.”

“Saya tidak berapa tahu mengenai situasi semasa beliau di Manchester United dan hubungannya dengan Mourinho.”

“Pogba merupakan pemain yang sangat baik, tetapi beliau adalah pemain Manchester United buat masa sekarang. Kita hanya perlu tunggu dan lihat sahaja apa yang bakal berlaku pada masa hadapan.”

BACA:  United Siapkan Dana £290 Juta Untuk Jendela Perpindahan Musim Panas